Wednesday, 22 August 2018

Makan daging ke tahun ni?

Jiran sebelah rumah bapa saudara bertanya: "Makan daging ke tahun ni? Tergaman juga aku dengan soalan itu? Apa maksudnya? Tetapi nasib baik sel-sel otak aku masih dapat bersambung dengan baik biarpun line tidak berapa baik.

Lalu aku jawab: Makan juga.. tetapi esoklah. Tu hari ini boleh mari sini.

Bila terjadi kes seumpama ini, aku teringat tentang cadangan seorang pensyarah di Universiti Malaya agar ada seseorang membuat kajian peringkat sarjana mahupun Ph D perbezaan dialek di antara Jajahan Pasir Putih dengan Jajahan Kota Bharu.

Kalau difikirkan, kedua-dua jajahan itu terletak di Kelantan. Tidak jauhpun. Jika dikira jarak antara dua bandar sekitar 40 kilometer sahaja. Kedua-duanya bersempananan. Jadi, pada lojik tidak  patut ada perbezaan dialek.

Dalam kes aku, jiran bapa saudara itu tinggal di jajahan Bachok. Dari rumah aku hanya sekitar 10 kilometer. Dan sebenarnya, aku juga dilahirkan dan sentiasa pergi ke rumah bapa saudara aku yang juga tempat tinggal nenek aku. 

Manakala yang dikatakan jiran bapa saudara aku itu sebenarnya aku telah kenal sejak berpuluh-puluh tahun lalu walaupun jarang bercakap dengannya.

Memang maksud kepada kata-kata tidak sama antara satu tempat dengan tempat lain. Bahkan, ada kes perkataan itu hanya diucapkan oleh orang tertentu sahaja di tempat itu. Perkataan itu bukan digunakan secara meluas di tempat berkenaan, bahkan mungkin tidak difahami oleh orang di situ juga.

Jadi, kalau bercakap kena berhati-hati untuk memahami setiap patah perkataan yang diucapkan. Kalau tidak, mungkin akan berlaku silap faham. 

Banyangkan jika aku tidak dapat faham maksud 'makan daging ke tahun ini' yang boleh membawa maksud aku ni miskin sangat sehingga tidak boleh beli daging atau aku ni ada penyakit yang tidak boleh makan daging.

Sebenarnya maksud jiran bapa saudara aku itu ialah "tahun ni melakukan korban ke?" Tujuannya, jika aku tidak melakukan korban, dia nak beri sedikit daging korban kepada aku.

Nasib baik aku pergi ke rumah dia masa majlis korban. Kalau aku pergi masa lain, rasanya payah juga sel-sel otak aku hendak menterjemahkan maksud perkataan itu.

Jiran bapa saudara aku menggunakan perkataan 'makan daging ke tahun ni' sebenarnya sebagai tanda sopan untuk bertanya. Kalau ditanya terus 'korban ke tahun ni' mungkin dianggap boleh mengecilkan hati seseorang yang tidak 'mampu' atau 'tidak mahu' berkorban, sedangkan ibadat itu amat dituntut.

Begitu halus bahasa digunakan orang tua. Jauh bezanya dengan bahasa golongan muda yang tidak fikir panjang kesan setiap perkataan yang diucapkan. Sesungguhnya bahasa menunjukkan bangsa.

No comments:

Post a Comment