Apa hukum agih atau beri makan daging keroban kepada bukan Islam? Pendapat
umum dan amalan orang Islam di Malaysia mengatakan daging korban tidak boleh
diberi makan kepada bukan Islam. Namun, elok kita melihat pendapat dikemukakan
ulama mazhab lain dalam isu ini.
Penulis Kitab Kasyf al-Qina menyatakan mazhab Maliki berpendapat
makruh memberi makan daging korban kepada orang Yahudi dan Nasara. Mazhab
Hambali pula mengharuskan memberi hadiah daging korban sunat kepada bukan
Islam, tidak harus menghadiahkan daging korban wajib kepada mereka.
Dalam al-Bajrimi dinyatakan tidak harus memberi makan daging
korban kepada bukan Islam. Dinyatakan juga dalam Kitab al-Majmu` disebutkan
harus memberi makan daging korban sunat kepada fakir miskin ahli zimmah, tidak
harus memberi mereka makan daging korban wajib.
Al-Majmu' Syarh al-Muhazzab, disebutkan bahawa Ibn al-Munzir
menyatakan ulama sepakat daging korban boleh diberi makan kepada fakir miskin
Islam, namun mereka khilaf mengenai memberi makan daging korban kepada fakir
miskin kafir ahli zimmah.
Imam Hasan al-Basri memberi keringanan mereka memakannya. Abu Thur
juga berpendapat demikian. Disebutkan juga Imam Malik lebih suka ia diberi
makan kepada selain fakir miskin bukan Islam. Al-Lith menganggapnya makruh,
namun berpendapat jika dimasak harus diberi makan kepada mereka berserta fakir
miskin Islam.
Ibnai Qudamah dalam al-Mughni wa al-Syarh al-Kabir dan al-Syarbini
dalam al-Iqna' menyebutkan mazhab Maliki berpendapat makruh menghadiahkan dan
memberi makan daging korban kepada orang Yahudi dan Nasrani.
Mazhab Hambali, al-Hasan, Abu Thur, berpendapat harus memberi
hadiah dan memberi makan orang bukan Islam, kafir zimmi daging korban sunat,
tetapi daging korban wajib, seperti korban nazar tidak harus.
Hukumnya sama dengan hukum zakat dan kifarat sumpah. Mazhab Syafie
pula berpendapat tidak boleh memberi hadiah dan memberi makan orang bukan Islam
daging korban sunat atau wajib.
Ibh Hazmin dari Mazhab Zahiriyah dalam kitabnya al-Muhalla
menyatakan tuan punya korban boleh memberi makan kepada orang kaya dan orang
bukan Islam atau dia menghadiahkan sedikit daripadanya.
Berdasarkan pendapat itu, kesimpulan yang boleh dibuat: Mazhab
Syafie berpendapat haram memberi makan daging korban sunat atau wajib kepada
bukan Islam. Mazhab Maliki berpendapat makruh memberi makan daging korban sunat
kepada bukan Islam dan tidak harus (haram) memberi mereka makan daging korban
wajib, seperti korban yang dinazarkan, sama seperti hukum zakat.
Mazhab Hambali berpendapat harus menghadiahkan daging korban sunat
kepada orang bukan Islam dan haram menghadiahkan kepada mereka daging korban
wajib.
Semua ulama mazhab sepakat (ijma') memberi atau memberi makan
daging korban atau aqiqah wajib kepada bukan Islam adalah haram. Ini bererti
hanya ulama Mazhab Syafi`ie saja yang berpendapat daging korban sunat atau
wajib tidak boleh (haram) diberi atau diberi makan kepada bukan Islam. Majoriti
ulama lainnya berpendapat harus memberi mereka makan daging korban sunat, tidak
harus jika korban wajib.
Dalam konteks Malaysia yang rakyatnya terdiri daripada penganut
pelbagai agama, pendapat majoriti ulama yang mengharuskan orang bukan Islam
diberi atau diberi makan daging korban sunat lebih baik diterima pakai.
Tujuannya adalah untuk menunjukkan kepada masyarakat bukan Islam
bahawa Islam memang ada sistem yang mesra bukan Islam dan dapat memelihara
perhubungan silang agama.
Di samping itu, menerima pakai pendapat majoriti dapat memberi
ketenangan kepada orang Islam sendiri, kerana mereka tidak berasa bersalah
untuk menjemput jiran kalangan bukan Islam menghadiri majlis kenduri mereka.
Persoalan ini berlaku kerana adanya perbezaan pendapat ulama
(khilaf) disebabkan tiada nas yang jelas. Oleh itu, ulama berijtihad bagi
menyelesaikan masalah ini. Hujah qias menjadi asas penghujahan. Ia diqias
kepada hukum memindahkan harta zakat ke tempat lain. Maka mereka berpendapat
boleh dan menambah lagi hujah dengan menggunakan hujah maqasid syarak.
Dr Yusof Qardhawi berpendapat, jika sesebuah negeri itu susah dan
rakyat memerlukan daging, sembelihan itu lebih baik di tempat itu. Jika negeri
itu kaya dan ramai rakyatnya melakukan korban, maka bersedekah wang yang
dinilaikan dengan nilai binatang korban itu lebih baik, kerana sedekah mesti
diutamakan di tempat lebih memerlukannya.
Oleh itu, mengagihkan sembelihan korban di tempat yang memerlukan
lebih afdal dalam keadaan ini. Menurut buku fiqh, keutamaan berdasarkan
al-Quran dan sunnah mengatakan dalam memberi pertimbangan kepada sesuatu
kemaslahatan, umat Islam harus mendahulukan kepentingan yang besar.
Maka berpegang kepada pendapat inilah, banyak badan bukan kerajaan
dan persatuan Islam mempromosikan ibadat korban secara talian bertujuan
mengumpul wang untuk melaksanakan korban di tempat umat Islam memerlukan
seperti Kemboja, Afghanistan, Sudan, Indonesia (daerah yang tertimpa musibah
tsunami dan gempa bumi), Filipina (Mindanao), Palestin, Thailand (wilayah
selatan) dan Sri Lanka.
Kita juga melihat bagaimana daging korban dari Arab Saudi dihantar
ke Afrika sejak sekian lama untuk orang fakir yang jarang menjamah daging.
Fatwa bekas muftinya, Almarhum Ben Baz mengatakan daging sembelihan ‘dam’ juga
boleh dihantar ke Afrika yang sangat memerlukan.
Mengenai memberi daging korban kepada bukan Islam, ada perbezaan
pendapat antara ulama kerana ada yang membenarkan dan sebaliknya. Mazhab Maliki
menyatakan binatang korban makruh dijamu kepada orang Yahudi dan Nasrani.
Mazhab Hambali berpendapat orang bukan Islam harus dihadiahkan
daging korban (yang bertaraf sunat) tetapi daging korban wajib tidak harus
dihadiahkan kepada mereka walau sedikit. Pendapat membolehkan orang bukan Islam
dihadiahkan juga mestilah untuk berdakwah di mana diharap terbuka pintu hati
kepada agama Allah ini.
Namun melihat kepada dalil mengenai pengagihan daging korban, ia
menjurus maksud yang umum. Firman Allah yang bermaksud: “Makanlah
sebahagiannya, dan beri makanlah orang yang tidak meminta-minta dan orang yang
meminta.” (Surah al-Hajj, ayat 36)
No comments:
Post a Comment