Setiap negara merdeka dan berdaulat mempunyai bendera
masing-masing. Bahkan, pertubuhan parti politik, persatuan dan syarikat juga
mempunyai bendera sebagai lambang identiti mereka. Bendera menjadi lambang
kemegahan setiap rakyat yang cintakan negara. Kita dapat mengenali sesebuah
negara berdasarkan benderanya.
Bendera Malaysia dikenali dengan nama Jalur Gemilang
dalam satu majlis pengiystiharan pada 30 Ogos 1997, pukul 11.58 malam di
Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Sejarah Jalur Gemilang bermula apabila akhbar The Malay
Mail menjalankan pendapat umum terhadap tiga reka bentuk yang terpilih di peringkat
akhir pertandingan mereka bentuk bendera Persekutuan Tanah Melayu yang
dianjurkan oleh Majlis Perundangan Persekutuan pada tahun 1949.
Persekutuan Tanah Melayu perlu memiliki bendera sendiri
kerana negara dalam proses mencapai kemerdekaan. Ketika itu bendera rasmi di
negara kita adalah Union Jack iaitu bendera negara British yang menjajah negara
kita.
Pada 28 November 1949, majoriti rakyat memilih reka
bentuk ketiga ciptaan seorang pekerja Jabatan Kerja Raya, Johor bernama Mohamad
Hamzah. Reka bentuk itu telah dibuat beberapa pindaan dan telah mendapat
pekenan Mesyuarat Majlis Raja-rajya pada 23 Febuari 1950.
Selanjutnya, pada 19 Mei 1950, kerajaan British telah
meluluskan reka bentuk berdera itu, sama seperti Jalur Gemilang sekarang, Cuma
bezanya pada masa itu hanya terdapat 11 jalur merah putih.
Bendera Persekutuan Tanah Melayu dikibarkan secara
rasminya pada 26 Mei 1950 di pekarangan Istana Sultan Selangor yang dihadiri
oleh semua raja-raja Melayu, pembesar Melayu dan wakil kerajaan British.
Namun, Jalur Gemilang belum lagi dianggap bendera kepada
sebuah negara berdaulat pada ketika itu kerana Persekutuan Tanah Melayu masih
dijajah oleh Brisith. Jalur Gemilang menjadi saksi kedaulatan negara apabila
kali pertama dikibarkan di Dataran Merdeka pada jam 12.00 malam 31 Ogos 1957
dan serentak dengan itu bendera Union Jack diturunkan sebagai tanda tamatnya
pemerintahan British di negara kita.
Itulah sejarah bermulanya Jalur Gemilang yang menjadi
lambang kemegahan negara.
Bendera tidak sekadar sehelai kain yang diwarnakan,
tetapi menjadi lambang yang menunjukkan kedaulatana sesebuah negeri atau
negara. Pujangga berkata: "bendera adalah suatu perkara mudah iaitu tidak
lebih daripada secebis kain berwarna. Namun, kerananya manusia sanggup bermati-matian."
Bendera dikaitkan dengan semangat dan kecintaan terhadap
negara. Sebab itu, bendera atau panji-panji dibawa dalam peperangan pada zaman
dahulu. Bendera dibawa oleh tentera paling gagah dan berada di bahagian depan
pertempuran.
Jika sekiranya pembawa bendera maut atau tidak lagi mampu
menjalankan tanggungjawab itu, maka cepat-cepat akan diambil oleh tentera lain.
Ketiadaan bendera boleh dianggap bahawa pasukan itu telah kalah.
Tentulah sedih jika melihat Jalur Gemilang tidak
dihormati. Contohnya apabila bendera dikibarkan dalam keadaan lusuh warnanya,
malah ada yang telah koyak dan sukar dipanggil bendera.
Jalur Gemilang dibiarkan di kedudukannya sepanjang masa tanpa diturunkan, termasuk waktu malam, hujan dan panas. Sebab itu
keadaan menjadi lusuh dan koyak.
Sepatutnya, bendera dinaikkan pada waktu pagi dan
diturunkan pada waktu malam.
Surat Pekeliling Am Bil. 3 Tahun 1994 yang dikeluarkan
oleh Kerajaan Persekutuan menetapkan supaya bendera dikibarkan dan diturunkan
di bangunan-bangunan kerajaan mengikut waktu pejabat biasa dan di
sekolah-sekolah mengikut waktu kelas pertama dan menurunkan selepas kelas
terakhir tamat.
Manakala dalam tradisi tentera di negara kita, Jalur
Gemilang dikibarkan mulai pukul 7.00 pagi dan diturunkan pada pukul 7.00 malam.
Bendera
merupakan lambang kepimpinan, simbol penghormatan dan maruah bagi sesebuah
negara. Setiap negara mempunyai bendera yang tersendiri untuk mewujudkan
perasaan bangga, hormat dan rasa kecintaan terhadap tanah air.
No comments:
Post a Comment