Sikap segelintir anggota masyarakat hanya
memasang Jalur Gemilang jika diberi subsidi atau percuma oleh kerajaan atau
swasta. Sebab itu, mereka akan bertanya di manakah boleh dapatkan bendera
percuma. Mereka akan marah-marah jika tidak ada yang menyediakan bendera
percuma untuk menjayakan kempen kibarkan Jalur Gemilang.
Sikap mengharapkan Jalur Gemilang subsidi amat memalukan. Harganya bukan
ratusan ringgit, tetapi hanya di antara RM1 hingga RM10 bergantung saiznya. Rasanya
tidak mungkin disebabkan keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang rakyat
kita tidak mampu untuk membeli sendiri Jalur Gemilang.
Semangat mengibarkan Jalur Gemilang tidak seharusnya kerana mendapatnya
secara percuma, tetapi biarlah didasarkan kepada keutuhan jiwa dan semangat
sayangkan negara. Jalur Gemilang adalah simbol semangat patriotik setiap
warganya yang sanggup berkorban apa saja demi mempertahankan negara.
Cuba kita fikirkan, apa yang mampu diharapkan terhadap rakyat yang tidak
sanggup mengeluarkan sejumlah wang yang amat kecil untuk membeli Jalur
Gemilang. Mereka ini tidak sanggup berkorban untuk menunjukkan tanda cinta
terhadap negara.
Ketika Jalur Gemilang telah dibawa ke angkasa lepas oleh angkasawan negara,
malang sekali masih ada rakyat yang menganggap ia hanya tidak ubah seperti
kain-kain lain yang dicorakkan dengan lambang tertentu saja.
Rakyat sepatutnya menghayati kata pujangga berkaitan bendera: "Bendera
adalah suatu perkara yang mudah iaitu tidak lebih daripada secebis kain
berwarna. Walau bagaimanapun kerananya manusia sanggup bermati-matian."
Dalam peperangan, bendera dijadikan lambang kepada bahawa pasukan itu masih
'kuat' selagi bendera negaranya masih berkibar. Sebab itu, dalam peperangan
terbuka melibatkan dua negara, contohnya ketika era peperangan yang membawa
kepada penjajahan, bendera akan dinaikkan di tengah-tengah kubu pertahanan.
Jika pihak musuh berjaya menurunkan bendera pasukan di satu-satu kawasan
pertempuran, maka kawasan itu telah dianggap dikuasai atau dijajah.
Satu lagi yang perlu diberi perhatian ialah keadaan bendera dan cara ia
diletakkan. Sedih rasanya melihat Jalur Gemilang yang dikibarkan dalam keadaan
warna lusuh, malah sesetengah tempat ia korak rabak. Sudahlah pula ia
dikibarkan secara kedudukan yang tidak betul. Kedudukan Jalur Gemilang mesti
diutamakan atau disusun mengikut kedudukan yang betul jika ia dikibarkan
bersama-sama bendera lain, termasuk logo syarikat.
Sebenarnya, Galur Gemilang yang dijadikan 'penanda' rasmi kepada kawasan
atau premis, perlu dinaikkan pada waktu siang dan diturunkan pada waktu malam.
Ini seperti yang diamalkan di kem-kem tentera yang mana ada anggota khas
ditugaskan untuk menurun dan menaikkan bendera secara tertib. Malah, acara
menurunkan bendera di kem tentera pada sebelah petang diadakan secara kawat
khas yang turut disertai pegawai yang akan bertugas pada sebelah malam.
Jadi, sepatutnya perkara ini diamalkan, menaikkan bendera pada waktu pagi
dan menurunkan semula pada waktu sebelum malam. Ini secara langsung lebih
menaikkan rasa hormat dan sayang kepada Jalur Gemilang. Jika dibiarkan berpanas
dan berhujan dari mula ia dinaikkan atau diletakkan di situ sehinggalah lusuh
dan seterusnya koyak rabak sehingga jatuh sendiri, di manakah semangat
patriotik kita terhadap negara.
Jika dalam peperangan musuh yang
akan menurunkan bendera kita sebagai tanda kalah, apakah kita akan membiarkan
Jalur Gemilang lusuh dan koyak yang melambangkan betapa rapuh dan lemahkan
semangat patriotik kita?
Kibarkan Jalur Gemilang dan serlahkan semangat patriotik yang perlu subur
dalam setiap sanubari rakyat Malaysia.
No comments:
Post a Comment