Di Malaysia apabila disebut Melayu
maka dia adalah Islam. Maka, bila disebut Islam pula maka dikatakan
Melayu. Kita kena faham betul tentang
perkara ini. Memang betul Melayu itu Islam, kerana seseorang Melayu yang bukan
Islam akan hilang kelayakannya untuk menjadi Melayu. Jadi, Melayu itu mesti
Islam.
Ketetapan ini terkandung dalam
Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan memperincikan definisi 'Melayu'
sebagai seseorang yang beragama Islam, mengamalkan adat dan budaya Melayu,
melazimi pertuturan dalam bahasa Melayu dan a) lahir sebelum Hari Merdeka, di
Persekutuan atau di Singapura, atau ibu atau bapanya telah lahir di
Persekutuan, atau pada hari Merdeka itu, ia adalah berdomisil di Persekutuan
atau Singapura; atau b) ia adalah keturunan seseorang yang tersebut.
Tetapi, tidaklah pula ada mana-mana
Perkara dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan seseorang Islam itu
mesti Melayu.
Dengan kata lain, adalah salah
untuk mengkhususkan perspektif Islam di Malaysia hanya dari sudut 'kemelayuan'
semata-mata. Ini kerana, penganut Islam di Malaysia bukan hanya terbentuk
daripada kelompok Melayu sahaja.
Berdasarkan laporan Banci Penduduk
dan Perumahan 2010 (Banci dijalankan setiap 10 tahun sekali), meskipun Melayu
menjadi kelompok majoriti dengan mewakili 50.4 peratus daripada keseluruhan
28,908,795 penduduk Malaysia, namun harus diingat peratus penduduk beragama
Islam di Malaysia ialah 60.4 peratus.
Dalam kata lain, terdapat 10
peratus atau 2.9 juta rakyat Malaysia dari kalangan umat Islam yang bukan
berbangsa Melayu. Atau dalam kata lebih mudah, bagi setiap enam orang Muslim di
Malaysia, satu daripadanya adalah bukan Melayu.
Justeru, perbincangan mengenai
Islam di Malaysia tidak wajar dieksklusifkan dari perspektif Melayu sahaja.
Islam perlu diterjemahkan dalam
bentuk yang lebih inklusif menjangkau sempadan perkauman sesuai dengan sifatnya
sebagai rahmat kepada sekalian alam.
Namun, tidak dinafikan Melayu dan
Islam itu amat rapat di Malaysia. Kebanyakan
orang Islam bukan keturunan Melayu pada dasarnya sudah kelihatan seperti orang
Melayu.
Mereka hidup dalam masyarakat
Melayu sesuai dengan saudara seagama.
Perhubungan dalam hal-hal keagamaan dan melakukan amalan yang sama
berkaitan Islam menjadi mereka seperti Melayu. Tambahan, Melayu yang ada pada
hari ini pada hakikatnya bukan Melayu jati. Mereka memenuhi Perkara 160 (2)
Perlembagaan Persekutuan untuk menjadi Melayu, sedangkan bukan keturunan Melayu
asli. Inilah uniknya Melayu.
Kembali kepada isu bukan Melayu
yang memeluk Islam menjadi seperti Melayu memang tidak dapat dinafikan.
Lebih-lebih lagi apabila mereka berkahwin dengan pasangan Melayu. Mereka akan
hidup dalam keluarga Melayu. Jadi segala yang berkaitan dengan Melayu akan
menjadi sebahagian daripada indentiti mereka.
Mungkin, fakta itulah yang
menyebabkan orang beranggapan memeluk Islam itu sebagai masuk Melayu.
No comments:
Post a Comment