Friday, 5 June 2026

POTENSI BESAR INDUSTRI KENAF

 
Kenaf salah satu sektor agrikomoditi di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) kini mencatat nilai jualan sebanyak RM23.81 juta sehingga 31 Ogos 2025. Ini merupakan peningkatan 160.7 peratus berbanding nilai jualan RM14.81 juta pada tahun 2024.

Kejayaan ini hasil usaha berterusan KPK melalui Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) dalam memperkukuh pembangunan industri kenaf bagi memastikan ia kekal berdaya saing dan memberi manfaat ekonomi kepada penduduk luar bandar.

Perkembangan penanaman kenaf memang menggalakkan. Bermula tahun 2004 dengan hanya berkeluasan 0.4 hektar dengan seorang penanam, bertambah mendadak sehingga 778 hektar pada tahun 2010 melibatkan 409 penanam. 

Keluasan tanaman pada tahun 2026 telah mencecah 2,500 hektar di seluruh negara. Sebanyak 555 pekebun kecil dan 4 usahawan terlibat.

Kalau pada awal penanaman kenal hanya tertumpu di Kelantan, kini ia telah melebar sehingga ke Sabah dan Sarawak, selain kawasan utara Semenanjung seperti Padang Besar dan Chuping di Perlis.

Mulai tahun 2024, LKTN turut melaksanakan pelan transformasi industri kenaf di Sabah dan Sarawak, dipacu oleh sektor swasta. Kerjasama strategik antara LKTN dan Lembaga Kemajuan Negeri Sabah (SLDB) kini sedang dilaksanakan dengan projek perintis tanaman kenaf berasaskan makanan ternakan di Sook, Keningau seluas 100 hektar.

Pada tahun 2008, Kementerian Perusahan, Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengumumkan bahawa tanaman kenaf bakal menjadi sumber tanaman baru kepada penduduk luar bandar, khususnya di kawasan tanah yang sesuai dengan tanaman berkenaan.

Tumpuan LKTN bukan saja melibatkan bekas penanam tembakau berhijrah bertukar kepada tanaman kenaf, tetapi mana-mana individu yang berhasrat menceburi penanaman komoditi yang mempunyai masa depan cerah dalam industri ini.

Serat yang dituai daripada kenaf mempunyai kegunaan dalam penghasilan produk mesra alam seperti produk biokomposit dan pelbagai perkakas rumah termasuk perabot dan bingkai gambar.

Selain daripada itu, batang kenaf sesuai untuk dijadikan bahan asas penghasilan kertas berkualiti tinggi, di samping mempunyai potensi dalam nilai bioperubatan yang wajar diterokai dengan lebih lanjut.

LKTN memfokuskan hiliran kenaf kepada lima produk bernilai tinggi iaitu bahan binaan, tekstil teknikal, produk biodegradasi, biokomposit, dan makanan ternakan.

Diharapkan pembangunan industri kenaf dapat dilaksanakan secara tersusun dan terancang agar industri ini menjadi lebih kompetitif, berdaya maju dan mampan serta menyumbang kepada nilai tambah yang lebih tinggi.

No comments:

Post a Comment