Thursday, 6 September 2018

PERKASA JATI DIRI PERTAHAN AGAMA BANGSA


Islam menuntut agar setiap umatnya berjuang mempertahankan dan memperkasakan agama, bangsa dan negara. Perkara ini termasuk dalam pengertian jihad, yakni berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kebaikan yang diredai Allah.

Pengertian jihad amat luas. Jihad adalah usaha untuk membangunkan masyarakat, memelihara dan memastikan maslahat masyarakat Islam dan manusia keseluruhannya terbela atas prisnsip keadilan.

Fahaman yang menterjemahkan maksud ayat al-Quran dan hadis bahawa jihad bermaksud ‘berperang’ membuktikan fahaman yang salah.

Sekiranya perkataan jihad dalam al-Quran dan hadis ditafsir sebagai perjuangan mengangkat senjata menentang kezaliman dan taghut, hal ini boleh mencetuskan perang saudara di kalangan umat Islam. 

Puak pelampau sendiri mempunyai takrif yang berbeza mengenai kezaliman dan taghut. Pendirian pelampau agama adalah jelas, berjihad dan sanggup mengorbankan diri yang dianggap syahid. Pihak yang tidak menyokong perjuangan mereka dianggap sebagai musuh.

Inilah punca berlakunya penentangan puak pelampau terhadap kerajaan. Mereka meletupkan tempat awam, menculik dan melakukan keganasan untuk memberi tekanan kepada kerajaan agar menunaikan tuntutan mereka. 

Sesungguhnya harus kita akui bahawa umat Islam hari ini telah kalah dalam menghadapi serangan-serangan Barat. Kita kalah dalam bidang ketenteraan, ekonomi, pendidikan dan moral. Buat apapun kita akan kalah sebelum berperang.

Pun, hal ini tidak seharusnya menghalang kita daripada berusaha. Kedudukan umat Islam di seluruh dunia perlu diperbaiki, agar tidak lagi menjadi mangsa kepada keangkuhan pihak yang memusuhi Islam.

Bagaimanapun, usaha mengembalikan maruah umat Islam bukan dengan cara perbuatan ekstrem dan keganasan. Cara itu nyata bukan cara yang disuruh dalam Islam. Islam mengajar umatnya berhemah dan bijaksana dalam menghadapi semua cabaran. 

Dalam al-Quran dan hadis banyak menjelaskan mengenai tanggungjawab setiap Muslim membangunkan ummah. Kualiti hidup individu Muslim perlu dipertingkatkan bagi menyumbang pada kekuatan Islam secara keseluruhan. 

Setiap individu Islam mesti meningkatkan penguasaan ilmu, memiliki kekayaan, mempunyai jati diri, berjihad dalam ertikata sebenar, dan membina kesatuan ummah. 

Seluruh umat Islam perlu berada di atas landasan misi dan visi yang sama. Perbezaan keturunan, budaya, negara dan pemerintahan tidak wajar dijadikan alasan tidak boleh bersama-sama. Hakikatnya, seluruh umat Islam adalah bersaudara.

Perpecahan yang berlaku di kalangan umat Islam melemahkan lagi keadaan yang sememangnya sudah lemah ini. Sebarang perbezaan pendapat dan cara perlu dilihat dalam skop yang luas agar semuannya mendatangkan kebaikan.

Kefahaman terhadap apa yang diperjuangkan merupakan intipati meletakkan asas perjuangan agar tidak terpesong daripada landasan sebenar. Oleh itu, penghayatan terhadap konsep sikap terbuka, berfikiran luas, menerima kelemahan diri, tidak mementingkan diri dan ikhlas perlu dijadikan asas kepada perjuangan.

Tegasnya, setiap perjuangan hendaklah dilakukan di atas kalimah melaksanakan tugas sebagai hamba-Nya di muka bumi. Konsep kepatuhan ialah melakukan apa yang diperintahkan dan menjauhkan apa yang ditegah. 

Sesiapa berpegang kepada tatacara tersebut, dialah hamba yang berjaya. Allah menganugerahkan Islam sebagai cara hidup yang dijamin kebenarannya.

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya agama yang sebenarnya di sisi Allah itu adalah agama Islam.” (Surah Ali Imran, ayat 19). 

Umat Islam perlu bijak untuk mengambil pengajaran agar tidak mengulangi kesilapan generasi terdahulu. Sebarang kekusutan yang berlaku mengenai permasalahan hidup perlu dilakukan melalui pendekatan berorientasikan pemikiran ilmu kritis, luas dan telus.

Kurang menghayati kandungan al-Quran dan pengajaran hadis membawa kepada kelemahan umat Islam. Akibatnya, kekuatan dan kekuasaan umat Islam menjadi lemah dan seterusnya dikuasai oleh kuasa lain.

Kejatuhan kerajaan Islam berlaku berulang-ulang kali. Kali terakhir empayar Islam yang runtuh ialah kerajaan Othmaniah yang berpusat di Turki. Kejatuhan kerajaan Othmaniah, bermakna seluruh tanah takluknya di rantau Arab dipecah-pecah dan diperintah oleh penjajah Eropah.

Kemegahan kerajaan Othmaniah pada era kemuncaknya sekadar catatan sejarah.  Turki kemudiannya dikenali The Sick Man of Europe. Gelaran yang pahit untuk ditelan itu kini menular pula kepada beberapa negara Islam lain.

Kejatuhan Iraq kepada kerakusan kuasa besar adalah satu lagi episod kejatuhan Iraq dalam era moden. Sebenarnya Iraq sudah berkali-kali ditawan dan dirobohkan oleh beberapa kuasa asing. 

Biarpun kejatuhan kali ini lebih bersifat menggantikan rejim yang mana rakyat Iraq sendiri mengambil alih pemerintahan, tetapi hakikatnya Iraq telah menjadi boneka kuasa besar. Keamanan dan kemajuan yang diimpi-impikan masih jauh dan samar-samar lagi. Apa yang lebih jelas ialah kemusnahan dan kerugian yang terpaksa ditanggung seluruh penduduk.

Pada waktu sekarang bilangan umat Islam kira-kira 1.6 bilion orang di seluruh dunia. Satu pertiga negara di dunia ini merupakan negara Islam. Banyak negara Islam kaya dengan hasil petrolium yang menjadi bahan utama menjana ekonomi dunia. Sekiranya negara-negara Islam bersatu, hasil petrolium dapat dijadikan senjata memperkasakan ummah.

Malangnya disebabkan umat Islam tidak bersatu dan berjuang berdasarkan fahaman kelompok tertentu, maka kekuatan sebenar umat Islam tidak terbina. Hasil petrolium pula menjadi punca perebutan dan kehancuran. Umat Islam bertelagah dan sanggup menikam sesama Islam semata-mata ingin meraih keuntungan sendiri.

Keadaan ini telah diberi peringatan oleh Rasulullah yang menyebut tentang bilangan umat Islam yang ramai pada akhir zaman, tetapi dari segi kekuatan berada dalam kedudukan amat lemah. 

Keperibadian dan wawasan umat Islam menjadi kucar kacir apabila lebih banyak berbalah sesama sendiri. Kedudukan umat Islam diumpamakan seperti buih-buih di tepi pantai yang kelihatan banyak tetapi tidak mempunyai kekuatan.

Apa yang jelas, puak yang kononnya bersemangat memperjuangkan Islam sebenarnya tidak memahami kaedah pemikiran kritis, terbuka, nyata dan profesional. Sebaliknya, ramai yang mengambil tindakan hanya berdasarkan kepada emosi dan jumud. 

Sebab itu, apabila timbul permasalahan melibatkan kepentingan Islam, mereka terus melaungkan jihad tanpa memahami keperluan sebenar. Disebabkan terlalu ghairah ingin melakukan apa didakwa memperjuangan Islam, maka sesiapa yang menentang dianggap musuh.

Ironisnya, pihak yang sepatutnya dianggap musuh dijadikan pula sebagai rakan. Inilah akibat terlalu gopoh dan terlampau inginkan kejayaan sehingga tidak dapat membezakan mana kawan dan mana musuh. 

Kesempatan ini diambil oleh musuh Islam untuk memperdayakan umat Islam dan melaga-lagakan sesama Islam agar kekuatan Islam menjadi lemah. Sebab itu konflik umat Islam di seluruh dunia tidak pernah dapat diselesaikan.   

Di kalangan negara Islam sendiri sering bercanggah pendapat dalam perkara untuk kepentingan umat Islam, disebabkan mereka terpaksa mengikut telunjuk kuasa besar yang menaungi dan memberi bantuan untuk terus berkuasa.  

Satu sindrom lain melanda di kalangan umat Islam ialah jahil, jumud dan tidak berprinsip. Hakikatnya, mereka tidak layak menjadi pemimpin, kerana mereka sendiri tidak memahmi apa yang dilakukan.   

Banyak individu Islam semakin hebat diserang oleh penyakit ‘mind your own business’ yang menjadikan keegoan sebagai raja. Individu ini tidak mahu dikritik kerana merasakan dirinya serba sempurna, tambah lagi ramai pengikut yang suka mengampu untuk kepentingan sendiri.  

Sudah tiba masanya pendekatan pejuangan orang Islam dicetuskan dari kematangan fikiran, kewarasan, kesedaran, keikhlasan dan mempunyai hala tuju yang selari dengan tuntutan syariat. 

Prinsip moral Islam adalah lambang pejuang Islam sebenar. Islam mementingkan perpaduan, menolak amalan kekerasan, komitmen yang berterusan, tidak menyalahgunakan kuasa dan sedia berkorban.

No comments:

Post a Comment