Agama
Islam satu-satunya cara hidup menepati kehendak fitrah manusia. Segala hukum
aturan hidup Muslim ditetapkan berdasarkan tuntutan lahiriah dan rohaniah. Allah mengetahui segala keperluan setiap hamba-Nya dan menetapkan apa
diperlukan.
Salah satu aturan hidup Islam ialah
menepati janji. Firman Allah bermaksud: “Wahai mereka yang beriman! Sempurnakan
janji-janjimu.” - (Surah al-Maidah, ayat 1).
Menepati janji merupakan sifat
terpuji yang diamalkan para rasul dan nabi. Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya dia (Nabi Ismail)
adalah benar menepati janji, dan adalah dia seorang Rasul lagi berpangkat
Nabi.” (Surah Maryam, ayat 54).
Islam mementingkan menepati janji
kerana ia merupakan keperluan membentuk hubungan dengan Allah dan sesama
manusia. Setiap masa manusia perlu menunaikan janji dan kesetiaan yang
diucapkan.
Perkara utama ialah menepati janji
dengan Allah. Setiap Muslim telah mengikat janji mengabdikan diri kepada Allah.
Ia bertepatan dengan tujuan Allah menjadikan manusia sebagai khalifah di muka
bumi.
Firman Allah bermaksud: “Tidak Aku
jadikan jin dan manusia, melainkan untuk mengabdikan diri dan beribadat
kepada-Ku.” - (Surah adz-Dzariyat, ayat 56).
Dalam ucapan khalimah syahadat,
setiap Muslim mengakui kekuasaan Allah dan kerasulan Nabi Muhammad. Pengakuan
tersebut adalah satu janji untuk mematuhi segala syariat ditetapkan Allah dan
mengikuti contoh amalan ditunjukkan oleh Rasulullah.
Hubungan janji sesama manusia
merupakan sendi kehidupan bermasyarakat. Setiap hari kita tidak terlepas
daripada mengungkapkan perkataan bermaksud janji.
Janji bermaksud kesediaan dan
persetujuan untuk melakukan, tidak melakukan, memberi, mendapatkan dan
menjadikan sesuatu, benda atau keadaan. Kesediaan tersebut biasanya berkaitan
tempoh masa akan datang atau selepas itu.
Orang berjanji sebagai pihak pertama
dan orang mengharapkan janji ditunaikan (dijanjikan) sebagai pihak kedua. Jika
terdapat pihak menyaksikan perjanjian, dianggap pihak ketiga.
Pentingnya menunaikan janji sebagai
akhlak orang mukmin. Sebaliknya, sifat tidak menepati janji menjadikan
seseorang munafik.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
“Tiga perkara sesiapa yang berada di dalam dirinya, maka dia munafik, walaupun
dia berpuasa, sembahyang dan mengaku dirinya Muslim. Apabila bercakap dia
berbohong, apabila berjanji dia memungkiri janjinya dan apabila dipercayai dia
khianat.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Sifat munafik itu kekal dalam diri
mereka yang tidak menunaikan janji, melainkan setelah dia benar-benar bertaubat
dan bersungguh-sungguh tidak mahu mengulangi perbuatan tersebut.
Amat rugi sesiapa tergolong sebagai
munafik. Balasan paling berat ditetapkan kepada golongan munafik. Justeru,
berusahalah mengelak diri daripada melakukan dusta berkaitan janji.
Janji wajib ditunaikan hanya bagi
maksud kebaikan. Janji melakukan keburukan haram diucapkan dan haram ditunaikan.
Sesiapa berjanji melakukan perbuatan haram perlu mengubah niat dan segera
bertaubat.
Sikap memegang janji perlu
diutamakan bagi menjaga hubungan baik dengan pihak dijanjikan. Sesungguhnya
apabila membuat janji, bermakna telah terbentuk satu tanggungjawab
melaksanakannya. Tanggungjawab
samalah dengan amanah, yakni perlu dilaksankan sedaya mungkin.
Rasulullah pernah menunjukkan contoh
baik dalam usaha menunaikan janji. Kisahnya, Baginda berjanji menemui seorang sahabat di satu
tempat atas urusan tertentu. Maka, tepat pada masa dijanjikan, Rasulullah telah
pergi ke tempat itu.
Bagaimanapun, sahabat itu tidak
datang tepat pada masanya seperti dijanjikan. Namun, Rasulullah terus
menunggunya sehingga beberapa lama. Akhirnya, Baginda beredar meninggalkan
tempat tanpa menemui sahabat yang ditunggu itu.
Pada keesokannya Baginda pergi
sekali lagi ke tempat tersebut. Baginda berbuat demikian dengan anggapan
mungkin sahabat itu terlupa pada hari semalam dan mungkin akan datang pada hari
tersebut pula. Bagaimanapun, sahabat Rasulullah itu tetap juga tidak datang
pada hari kedua itu.
Demi menunaikan janji, pada hari
ketiga sekali lagi Rasulullah ke tempat tersebut. Namun, sahabat itu tidak juga
datang pada hari ketiga. Pada hari keempat Rasulullah tidak lagi pergi menunggu
sahabat di tempat yang dijanjikan.
Sikap Rasulullah itu membuktikan betapa
pentingnya menunaikan janji, walaupun telah melepasi masa dijanjikan. Jika
difikirkan tentulah tidak perlu lagi Rasulullah pergi ke tempat dijanjikan
kerana telah melakukannya pada masa dijanjikan. Tujuan Rasulullah berbuat
demikian untuk memberi peluang kepada sahabat
menunaikan janjinya biarpun telah lepas dari masa sebenarnya.
Berjanji memang mudah mudah
dilakukan. Dengan mengucapkan beberapa patah perkataan, tulisan atau pergerakan
bahagian badan yang difahami, maka terbentuk dan terikatlah satu perjanjian. Janji
hanya terbentuk jika pihak pertama menyebut kesediaan menunaikannya.
Ada perjanjian ditentukan oleh pihak
kedua. Contohnya seseorang ‘dipaksa’ melakukan sesuatu. Pihak pertama yang
perlu melakukan perkara itu tidak pula menyatakan kesediaan, sebaliknya
membantah. Dalam soal ini tidak wujud janji. Mana-mana janji mesti disanggupi
untuk melakukannya oleh pihak pertama dan pihak kedua juga sanggup menerima
(turut melakukan, setuju atau mengiakannya).
Ironinya, janji amat sukar untuk
ditunaikan oleh mereka yang kurang kesedaran dalam mematuhi perintah agama.
Mereka menganggap janji sekadar hubungan sesama manusia. Justeru, mereka
melihat perkara itu perkara biasa.
Perkara ini terutama dilakukan oleh
orang lebih berkuasa terhadap pihak kedua. Pangkat, kedudukan dan kekayaan
dijadikan ‘kuasa’ membuat janji. Pada fikiran mereka, kalaupun tidak
melaksanakan janji itu, pihak kedua tidak dapat melakukan apa-apa perkara yang
boleh mendatangkan kesan buruk.
Sebab itu, ramai orang menabur janji
tanpa memikirkan kemampuan menunaikan. Bahkan ramai berjanji ‘kosong’ atau
tidak berniat menunaikannya. Janji dilakukan sekadar untuk menyedapkan hati
pihak kedua. Disebabkan terlampau mudah, ada membuat janji sehingga berpuluh-puluh
dan mungkin beratus kali dalam sehari. Apabila terlalu banyak berjanji, ia
mudah dilupakan atau tidak mampu menunaikannya.
Amalan banyak berjanji perlu
dihentikan, jika dirasakan tidak mampu menunaikannya. Berjanjilah jika yakin
mampu menunaikannya. Kemudian terserahlah kepada izin Allah sama ada
benar-benar dapat ditunaikan atau tidak.
Perbuatan berjanji dan tidak
menunaikannya bukan sahaja berdosa, tetapi juga merugikan diri sendiri. Sekali
terkena, orang lain akan berhati-hati kemudiannya. Jika kerap mungkir janji,
orang lain tidak mempercayainya lagi, walaupun benar-benar berjanji ingin
ditunaikan.
Gambar sekadar hiasan
No comments:
Post a Comment