Monday, 3 September 2018

BENCANA DISEBABKAN TIDAK MENJAGA MULUT

Mulut (keupayaan bercakap dan lidah) adalah pencaindera terpenting. Mulut membolehkan manusia berhubung antara satu sama lain dengan lebih mudah. Biarpun penggunaan bahasa isyarat juga membolehkan manusia berhubung antara satu sama lain, ia agak terbatas dan lebih sukar.

Justeru, mereka yang dikurniakan kebolehan bercakap perlu insaf akan nikmat yang dianugerahkan oleh Allah itu. Gunakan mulut untuk mengucapkan perkataan-perkataan baik. Sebaik-baik ucapan ialah perkataan zikir kepada Allah.

Sebaliknya, jauhkan daripada menggunakan mulut untuk mengeluarkan perkataan-perkataan yang tidak baik maksudnya dan memberi kesan tidak baik akibatnya. Perbuatan mengumpat, mencela, berbohong, mencarut dan bersaksi dusta adalah antara perbuatan buruk melalui mulut.

Seperti juga amalan lain yang wujud dalam diri seseorang, mulut juga perlu diasuh. Apa yang sering diucapkan, sama ada baik atau buruk adalah bergantung kepada asuhan dan amalan yang biasa dilakukan.

Justeru, didikan melibatkan pekerti mulut perlu dilakukan sejak kanak-kanak. Setiap anak dilahirkan dalam keadaan suci bersih. Ibu bapalah yang bertanggungjawab mencorakkan kehidupan anak-anak, termasuk dalam soal tutur kata.

Tutur kata adalah sebahagian didikan akhlak. Baik dan buruk akhlak anak-anak bergantung kepada bagaimana didikan, contoh dan amalan seharian dilakukan oleh ibu bapa dan pengaruh masyarakat sekeliling.

Ibu bapa sebagai guru dan cermin kehidupan bagi anak-anak. Setiap apa yang dicakapkan dan dilakukan oleh ibu bapa akan mempengaruhi pembentukan akhlak anak-anak. Justeru, ibu bapa perlu menentukan setiap tutur kata dan perlakuan yang baik agar dicontohi oleh anak-anak.

Pembentukan akhlak anak-anak akan menentukan hala tuju kehidupan pada masa hadapan. Akhlak yang terbentuk itu terus menjadi amalan kecuali satu usaha mengubahnya dilakukan. Jika akhlak baik terbentuk sejak kecil, maka akhlak baik itulah diamalkan terus menerus dalam menjalani perjalanan hidup.

Akhlak baik adalah perhiasan diri yang menjadi perhatian orang lain. Orang berakhlak baik mudah didampingi dan disukai orang lain. Akhlak baik juga menjadi ‘pagar’ kepada diri daripada mudah melakukan perkara yang tidak disukai oleh orang lain atau mendatangkan kerugian kepada diri sendiri.

Dalam masyarakat kita, akhlak mulut amat dijaga. Sebab itu ada pepatah Melayu yang berkaitan mulut seperti kerana mulut badan binasa, mulut murai, mulut tempayan, mulut becok dan sebagainya. Pepatah itu mengingatkan tentang kesan dan peranan mulut. Justeru, ia perlu dijaga dan diberi perhatian agar tidak mendatangkan kesan buruk.

Untuk mendidik akhlak mulut anak-anak, maka ajarlah mereka dengan perkataan-perkataan yang baik. Perkataan tanda hormat seperti salam, ucap selamat, terima kasih, tolong, minta maaf dan sebagainya perlu dibiasakan kepada kanak-kanak semasa berinteraksi dengan orang lain.

Ucapan salam bukan sekadar tanda keutuhan budi pekerti, tetapi adalah amalan yang amat dituntut oleh Islam. Natijah ucapan salam amat besar dalam membentuk hubungan baik sesama Islam.

Sebaliknya, anak-anak perlu dimarahi sekiranya melakukan perkara biadab berkaitan mulut. Anak-anak perlu ditegah sama sekali daripada mengeluarkan perkataan bermaksud mencarut, menyumpah, memaki hamun, berdusta, mencaci dan sebagainya.

Setiap patah perkataan yang ditutur mestilah perkataan baik dan mendatangkan kebaikan. Perkataan mencarut dan kosong akan mencerminkan peribadi buruk seseorang. Perkataan yang buruk dan tiada nilai hanya sia-sia. Kata-kata orang sedemikian tidak akan diambil peduli, kecuali untuk maksud buruk.

Islam dengan tegas menghalang umatnya mencarut dan memperkatakan sesuatu yang tidak mendatangkan faedah. Perkataan mencarut bukan saja tidak elok didengar, bahkan mengandungi niat tidak baik. Mencarut juga bermaksud mencaci dan memaki orang lain dengan menyamakan perkataan mencarut dengan orang yang ditujukan perkataan itu.

Orang yang mencarut keadaan fikirannya bercelaru dan tidak mudah mengawal diri. Perasaannya menyimpan dendam, marah dan bongkak. Pada mereka, hanya dirinya yang lebih baik dan lebih berkuasa daripada orang lain sehingga sanggup mengatakan apa saja kepada orang lain.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Memaki seorang Muslim adalah perbuatan derhaka dan membunuhnya adalah perbuatan kafir.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

No comments:

Post a Comment