Friday 21 September 2018

LARANG GUNA STRAW PLASTIK

Semua perniagaan makanan dan minuman di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, tidak lagi dibenar menggunakan straw plastik Bermula 1 Januari tahun 2018,. Mana-mana perniagaan yang didapati masih menggunakan straw palstik pada tarikh atau selepas 1 Januari 2018, bakal berdepan tindakan pembatalan lesen perniagaan. Pemilik perniagaan juga akan dikenakan denda, hilang deposit, barangan perniagaan dirampas atau boleh dipenjara.

Larangan terhadap straw plastik adalah sebagai tambahan kepada larangan beg plastik dan polysterin yang bermula September tahun 2017. Perintah itu tercatat jelas dalam lesen perniagaan dan ianya bukan menjadi alasan kepada pemilik perniagaan untuk tidak mematuhinya. Semua pusat perniagaan diharapkan akan bekerjasama dan mematuhi keperluan itu demi persekitaran yang lebih baik. 

Perkara ini sebenarnya bukan perkara baru. Di kebanyakan negara sudah mengamalkan perkara ini demi untuk menjaga alam sekitar. Malah, ada syarikat yang mengambil langkah tanpa arahan pihak kerajaan. Rangkaian restoran makanan segera KFC di Singapura tidak menyediakan straw dan cawan plastik di kesemua 84 cawangannya bermula Jun 2018.

Ini merupakan sebahagian usaha syarikat itu memulihara alam sekitar dan langkah itu dapat mengurangkan sekitar 17.9 tan plastik setiap tahun.

Britain sebelum ini mengikut jejak langkah Taiwan sebagai negara perintis yang mengharamkan langsung penyedut minuman diperbuat daripada plastik  di pasaran sebagai usaha memelihara kelestarian alam sekitar.

Majlis Pemuliharaan Marin menganggarkan penduduk Britain menggunakan 8.5 bilion batang straw pada setiap tahun dan bahan plastik itu adalah antara 10 jenis sampah yang paling banyak ditemukan di kawasan pantai.

Dalam pada itu Taiwan merancang pengharaman penggunaan barangan plastik, serta mempromosikan beg dan cawan plastik menjelang 2030, dengan semua restoran berdepan dengan banyak sekatan baharu mulai tahun 2019.

Langkah ini merupakan usaha terbaru Taiwan untuk mengurangkan pembuangan sampah dan pencemaran selepas memperkenalkan program kitar semula dengan mengenakan caj tinggi ke atas penggunaan beg plastik.

Selain itu, usaha mesra alam sekitar turut mengehadkan pembakaran colok di kuil dan acara pesta bagi melindungi kesihatan awam. Rancangan baharu ini memaksa rangkaian restoran besar berhenti menyediakan straw plastik.

Ia bermula di semua restoran mulai 2019 sebelum ia diperluaskan kepada semua kedai makan menjelang 2020. Pelanggan perlu membayar tambahan bagi straw, beg plastik, perkakas pakai buang dan cawan plastik mulai 2025.

Sisa plastik mencemari laut dan juga rantaian makanan yang akan menjejaskan kesihatan manusia. Secara purata setiap penduduk Taiwan menggunakan 700 beg plastik setiap tahun. EPA merancang untuk mengurangkan jumlah tersebut kepada 100 menjelang 2025 dan sifar sebelum 2030.

Pemerintah sudahpun mengharamkan beg plastik percuma di semua kedai runcit besar, termasuk pasar raya dan kedai serbaneka dan akan diperluasa kepada perniagaan kecil termasuk kedai roti dan kedai kopi mulai tahun 2018.

Taiwan juga sudah memulakan kitar semula plastik dan berusaha untuk mengurangkan plastik pakai buang sejak 2017. Pada tahun itu sahaja sebanyak 200,000 tan plastik dikitar semula.

Rakyat perlu menyokong peraturan baru dalam soal menyelematkan alam sekitar itu. Dalam segi kaedah hukum ia dinamakan Sad al-zariah. Sad al-zariah berasal dari perkataan sad dan al-zariah. 

Dari segi bahasa, sad memberi maksud sekat atau halang. Manakala alzariah bermaksud jalan. Dari segi istilah mengikut al-Qarrafi, sad al-zariah ialah menghentikan jalan-jalan yang pada kebiasaannya menuju kerosakan. 

Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 195 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan”.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tidak boleh memberi mudarat dan membalas dengan kemudaratan”(Hadis riwayat Ahmad, Malik, Ibn Majah dan al-Daraqutni)

Tidak menggunakan straw plastik tidak bermakna sejarah penggunaan straw semenjak ribuan tahun digunakan manusia sejak dicipta masyarakat Sumeria yang membentuk tamadun Mesopotamia 3,500 Sebelum Masihi di selatan Iraq kini, straw  bakal tinggal sejarah!

Sejarah straw atau peleting dalam dailek Kelantan bukan bermula dari plastik. Malah, di Kelantan ada sejenis buluh dipanggil buluh peleting yang berukuran kecil yang sesuai dijadikan straw. Jadi, selepas ini akan ada inovasi menghasilkan straw bukan dari plastik. Tunggu dan lihat. Ini kerana straw dianggap satu keperluan apabila minum ais. Tidak lengkap minum ais dan air batu campur tanpa straw.

No comments:

Post a Comment