Friday 21 September 2018

SEJARAH DAN FUNGSI JALAN RAYA TIMUR BARAT

Pembinaan Jalan Raya Raya Timur Barat yang menghubungkan Gerik, Perak dengan Jeli, Kelantan sepanjang 125 kilometer mencatatkan sejarah tersendiri. Matlamat pembinaan jalan raya tersebut bukan sekadar memendekkan perjalanan dari Utara ke Pantai Timur, khususnya Kelantan, tetapi juga mempunyai agenda keselamatan.

Pada ketika itu, pengguna dari Kelantan yang ingin ke Utara akan melalui Rantau Panjang dan terus menggunakan laluan di Selatan Thailand sebelum masuk semula di Bukit Kayu Hitam, di Kedah atau Padang Besar di Perlis. 

Dengan kata lain, keperluan jalan raya baharu tidak begitu mendadak atau diberi perhatian untuk tujuan memendekkan perjalanan.

Namun, kerajaan mengambil keputusan memberi keutamaan membina Jalan Raya Timur Barat atas tujuan serampang dua mata iaitu sebagai penghubung dan satu lagi atas aspek keselamatan.

Pengganas komunis menggunakan kawasan hutan di sampadan Malaysia - Thailand untuk berlindung apabila diasak oleh anggota keselamatan. Mereka juga mengambil kesempatan menggunakan orang di pekan-pekan kecil di pedalaman Perak seperti Gerik, Lenggong dan Pengkalan Hulu yang didiami orang Cina untuk mendapat sokongan.

Dalam usaha memerangi pengganas komunis itu, Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra, mencetuskan idea pembinaan Jalan Raya Timur Barat pada 1967. Matlamat pembinaannya adalah menjadikan jalan raya itu sebagai "jalan raya pertahanan", sebagai salah satu strategi melumpuhkan pergerakan komunis.

Ini sejajar dengan usaha kerajaan ketika itu memperkenalkan Program Keselamatan dan Pembangunan (Kesban) yang memberi penekanan kepada hal ehwal ketenteraan dan awam. Melalui program ini kerajaan merancang pelbagai strategi memerangi komunis dengan melaksanakan projek-projek pembangunan khususnya di kawasan luar bandar. Antaranya pembinaan jalan, sekolah, hospital, klinik kesihatan serta kemudahan awam seperti elektrik dan bekalan air.

Pembinaan Jalan Raya Timur Barat yang bermatlamat menghapuskan rangkaian hubungan komunis termasuk dalam skop ini. Apabila kawasan belantara di sepanjang jalan raya yang dicadangkan itu dibersihkan, tempat persembunyian dan laluan komunis akan terjejas. Ini memudahkan operasi tentera menggempur serta memusnahkan kedudukan mereka, di samping memutuskan laluan mereka melarikan diri ke Thailand.

Operasi tentera lebih mudah dilakukan apabila anggota tentera mudah digerakkan ke kawasan yang dipercayai terdapat anggota komunis. Anggota tentera juga mudah untuk menguasai kawasan tersebut untuk mengelak komunis bergerak.

Kerja-kerja pembinaan bermula pada 1970 di bawah kendalian Jabatan Kerja Raya (JKR). Pastinya ia tugas yang sukar dan mencabar kerana kedudukan muka bumi yang berbukit bukau, bergunung-ganang, berlurah dan berbatu batan merentasi laluan pembinaan yang dicadang, selain hutan belantara yang tebal.

Perlalatan terpaksa dibawa dari jauh dan tidak terdapat laluan alternatif yang dekat. Jalan raya ini melalui dua banjaran utama itu Banjaran Bintang dan Banjaran Titiwangsa.

Komunis adalah ancaman utama projek pembinaan ini. Mereka memberi tentangan, mengganggu dan mensabotaj dalam usaha menggagalkan projek berkenaan. Mereka juga mendatangkan kemudaratan, kemusnahan dan kesusahan kepada para pekerja serta membinasakan peralatan yang digunakan.

Untuk melindungi para pekerja dan peralatan, pihak tentera mengadakan kawalan ketat di lokasi pembinaan. Pihak tentera membuat pembersihan kawasan daripada gangguan pengganas komunis. Tentera juga memusnahkan jerangkap samar yang dipasang komunis. Pos tentera diwujudkan pada setiap kilometer laluan pembinaan. Pembinaan jalan raya dijalankan serentak dari arah Gerik dan dari Jeli.

Pada peringkat awal, pembinaan dijalankan dalam keadaan serba kekurangan. Pekerja dan peralatan yang digunakan tidak mencukupi. Hanya pada awal 1973 peralatan dan pekerja sepenuhnya diperoleh bagi membolehkan pembinaan berjalan lancar.

Dua buah Kem Pangkalan (Base Camps) diwujudkan, sebuah di Gerik dan sebuah lagi di Jeli. Di kem inilah keseluruhan tenaga kerja dan kaum keluarga mereka yang terlibat dalam pembinaan jalan raya itu ditempatkan. 

Kedua-dua kem tersebut kini telah digunakan oleh Rejimen Sempadan yang dahulu dikenali Batalion Askar Wataniah. Satu kem di Pulau Banding kini dijadikan Markas Tektikal Batalion yang terlibat dalam operasi di kawasan Hutan Simpan Belum. Manakala satu pos kawalan dikekalkan berhampiran dengan Hentian Titiwangsa.

Tugas penerokaan awal amatlah sukar, dimulai dengan pembinaan laluan ke kawasan pembinaan, diikuti dengan menebang dan membersihkan hutan. Apabila kerja-kerja pembinaan bertambah rancak dan jarak perjalanan antara kem pangkalan ke lokasi pembinaan semakin jauh, kem-kem baru dibina berhampiran kawasan pembinaan.

Dalam susah payah inilah juga komunis terus memberi ancaman, mensabotaj dan menyerang hendap. Kawalan keselamatan diperketat dan operasi memburu komunis terus menerus dilancarkan menerusi `Ops Pagar’ yang dijalankan sepanjang tempoh pembinaan jalan raya ini.

Dalam serangan komunis pada 23 Mei 1974 sebanyak 63 jentolak diletup dan dimusnahkan. Serangan bermula dari pukul 8.00 malam sehingga pagi. Kemusnahan ini bukan sahaja menyebabkan kerugian tetapi menyebabkan kerja-kerja pembinaan tergendala seketika.

Lebih menyedihkan, dalam satu lagi serangan pada 27 Ogos 1974,  tiga pekerja JKR terkorban dan ada yang tercedera. Serangan hendap ini berlaku ketika para pekerja yang menaiki lori dari Kem Pangkalan di Gerik dalam perjalanan ke Banding, dengan diiringi oleh trak tentera. Mereka yang terkorban hanya dikenali sebagai Ismail, Husin dan Ali.

Peristiwa menyayat hati ini menggambarkan betapa air mata, duka dan ancaman menjadi sebahagian daripada kisah di sebalik pembinaan jalan raya ini. Jumlah ini tidak termasuk mereka yang terkorban kerana kemalangan semasa bekerja. Sesungguhnya inilah pengorbanan tidak ternilai yang telah mereka sumbangkan demi keselesaan dan kemudahan generasi masa kini dan akan datang.

Kesukaran pembinaan lantaran hutan belantara, rupa bumi yang berbukit bukau serta batu batan dan lembah, ditambah ancaman komunis menjadikan tempoh pembinaan menjangkau selama 12 tahun.

Kosnya juga meningkat daripada bajet awal sebanyak RM85 juta. Jalan raya sepanjang 125 kilometer antara Gerik dengan Jeli ini akhirnya disiapkan dengan kos RM396 juta dan dibuka kepada lalu lintas mulai 1 Julai 1982.

Memandangkan jalan raya ini dalam kawasan keselamatan, pihak tentera terus mengawal laluan keluar-masuk jalan raya ini selepas dibuka. Pengguna hanya dibenarkan melalui jalan raya ini pada waktu siang atas faktor keselamatan. Tiada kenderaan dibenarkan melalui jalan raya ini selepas pukul 6.00 petang dari kedua-dua belah hala Gerik dan Jeli.

Jika dari arah Gerik, pos kawalan tentera pertama terletak di Kem Sungai Rui. Apabila sampai di pos ini, selepas pukul enam, pengawal tentera akan bertanya arah tujuan. Jika hendak ke Felda Bersia (lebih kurang tiga kilometer dari pos ini), pemandu dibenarkan masuk. Jika hendak ke Jeli mereka akan diminta berpatah balik.

Jika pemandu membuat helah, mereka tidak akan terlepas kerana ada satu lagi pos kawalan keselamatan selepas simpang Felda Bersia. Tiada siapa dibenarkan melintasi sekatan ini yang ditutup sepenuhnya selepas pukul enam petang.

Kawalan tentera ini akhirnya dihentikan pada 1989 berikutan termetrainya perjanjian damai di Haadyai dan anggota Parti Komunis Malaya (PKM) meletakkan senjata dan menyerah diri.

Pembinaan Jalan Raya Timur Barat bukan sahaja memudahkan pengguna dari pantai barat ke pantai timur atau sebaliknya, tetapi juga menjadi faktor kepada pembangunan dua pekan di penghujung negeri iaitu Gerik di Perak dan Jeli di Kelantan. Tanpa kewujudan jalan raya  tersebut, pembangunan kedua-dua pekan itu diyakini tidak serancak sekarang.

Terdapat lima jambatan di sepanjang jalan raya ini iaitu Jambatan Sungai Rui (256 meter), Jambatan Tasik Temenggor (sebelah barat sepanjang 880 meter), Jambatan Tasik Temenggor (sebelah timur sepanjang 640 meter), Jambatan Hulu Sungai Pergau sepanjang 159 meter dan Jambatan Hilir Sungai Pergau sepanjang 158 meter.

Selain itu terdapat lima kawasan Rawat dan Rehat (R&R) di sepanjang jalan raya iaitu di Perah (Gerik), Pulau Banding, Air Banun, Titiwangsa (1,050 meter di atas paras laut) dan Tasik Pergau.

No comments:

Post a Comment