Kepentingan
sungai kepada kehidupan manusia amat besar. Sungai Nil di Mesir menjadi latar
belakang kisah beberapa orang Nabi. Sungai tersebut juga menjadi faktor
menyumbang kepada tamadun Mesir purba dan terus membekalkan air kepada Mesir
hingga kini. Tanpa Sungai Nil, Mesir menjadi kering kontang.
Manakala
Sungai Tigris di Iraq pula adalah memberi sumbangan besar kepada tamadun
Babylon purba serta kemegahan kota Baghdad pada zaman kegemilangan Islam.
Masyarakat
dahulu menggunakan sungai sebagai jalan menghubungkan sesuatu tempat. Penduduk
Melaka menjadikan Sungai Muar, dan seterusnya memasuki cabang Sungai Pahang
sebagai laluan menuju ke Pahang dan negeri di Pantai Timur.
Kuala
Lumpur dibuka dan kemudian membangun disebabkan adanya Sungai Kelang yang
menjadi nadi kemajuan. Di Sarawak peranan sungai sebagai jalan pengangkutan
masih penting sehingga ke hari ini.
Jelaslah,
kepentingan sungai kepada kehidupan manusia amat besar. Namun, masyarakat
sekarang telah menjadikan sungai sebagai mangsa pembangunan. Sungai dinodai
dengan sampah sarap, bahan kumuhan dan sisa kimia berbahaya. Sungai menjadi longkang
sampah bagi penghuni di tebingnya.
Kerajaan
terpaksa mengeluarkan belanja besar untuk membersihan dan memelihara sungai
akibat pencemaran. Perbelanjaan besar itu dapat dikurangkan jika sungai tidak
dicamari teruk dan wang itu dapat digunakan tujuan lain untuk kepentingan
rakyat. Usaha murni menjaga kebersihan sungai memerlukan kerjasama semua
rakyat.
Penjagaan
terhadap sungai daripada pencemaran amat penting dilakukan. Sungai membekalkan
air yang menjadi sumber kehidupan manusia dan seluruh makhluk hidup lain. Tanpa
air, semua unsur hidup akan mati.
Firman
Allah bermaksud: “Dan kamu lihat dahulunya bumi ini kering tanpa tumbuhan,
kemudian apabila telah Kami turunkan air atasnya, hiduplah bumi itu dan
suburlah ia dan menumbuhkan pelbagai macam tumbuh-tumbuhan yang indah.” -
(Surah al-Hajj, ayat 5).
Sebab
itu soal air bukan perkara kecil. Manusia sanggup melakukan apa sahaja demi
mendapatkan bekalan air. Dua negara atau puak sanggup berperang dan bunuh
membunuh disebabkan hak bekalan air.
Allah
menganugerahkan air sebagai satu rahmat. Banyak ayat al-Quran yang menyebut air
sebagai anugerah Allah yang besar manfaatnya secara langsung untuk manusia dan
yang mempunyai kaitan dengan kehidupan manusia. Kira-kira dua pertiga daripada
permukaan bumi diliputi air. Manakala di dalam badan manusia terdiri kira-kira
70 peratus adalah air.
Antara
firman-Nya menyebut mengenai air bermaksud: “Dan Dia yang menurunkan air hujan
dari langit (awan), untukmu, sebahagiannya untuk minuman dan sebahagian untuk
(menyuburkan) pokok-pokok yang kamu gunakan untuk makanan ternakanmu.” - (Surah
an-Nahl, ayat 10).
Air
hujan tidak turun berterusan sepanjang masa. Hujan berterusan menyebabkan
banjir yang disebut pula malapetaka, atau lebih tepat disebut balasan Tuhan
atas sesuatu sebab. Air diperlukan untuk kehidupan, tetapi air juga menjadi perantaraan
untuk Allah membinasakan manusia yang ingkar kepada perintah-perintah
diturunkan.
Banyak
kaum terdahulu dimusnahkan dengan didatangkan banjir besar sebagai balasan
kemungkaran dilakukan oleh kaum tersebut. Antara kaum yang menerima bala
melalui banjir ialah kaum Saba. Saba (negeri) mengalami pembangunan hasil
pengeluaran pertanian yang subur dengan adanya pembinaan ampangan untuk
membekal air berterusan.
Malangnya
kaum Saba tidak bersyukur dengan nikmat air yang kurniakan. Maka, melalui air
juga Allah mengirimkan balasan di atas kekufuran kaum Saba. Perkara itu
dinyatakan oleh Allah melalui firman-Nya brmaksud: “Tetapi mereka
membelakangkan (tiada bersyukur), lalu Kami kirimkan kepada mereka banjir
besar.” – (Surah Saba, ayat 16).
Justeru,
kita perlu berhati-hati dalam soal air. Air merupakan anugerah daripada Allah. Airlah
sumber rezeki kepada penghidupan manusia. Manusia tidak mengharagi air samalah
tidak sayangkan nyawa sendiri.
Firman
Allah yang bermaksud: “Dialah yang telah menjadikan bumi ini terhampar, langit
sebagai atap untukmu, dan Dia telah menurunkan air hujan dari langit, lalu
mengeluarkan buah-buahan sebagai rezeki untukmu.” - (Surah al-Baqarah, ayat
22).
Air
hujan yang diturunkan ‘disimpan’ di dalam sungai, tasik, laut dan air bawah
tanah. Ia menjadi bekalan semulajadi. Bekalan air perlu dijaga agar sentiasa
selamat untuk digunakan dan mempunyai bekalan mencukupi. Kegawatan kekurangan
bekalan air lebih parah berbanding kegawatan ekonomi.
Perkara
ini ditekankan, disebabkan sikap manusia yang tidak bertanggungjawab banyak
sumber air menjadi tidak selamat digunakan. Selain itu masalah kekurangan
sumber air juga sering berlaku. Ini semua angkara perbuatan manusia sendiri.
Manusia yang melakukan kebinasaan di muka bumi sebenarnya memperlihatkan sifat
tidak bersyukur dengan nikmat Allah.
Perbuatan
itu dinyatakan oleh Allah dalam surah ar-Rum ayat 41 bermaksud: “Telah
kelihatan kerosakan di darat dan di laut, disebabkan usaha tangan manusia,
kerana Tuhan hendak merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan
mereka, supaya mereka kembali.”
Diharapkan
usaha pemulihan dilakukan segera sebelum malapetaka lebih besar diturunkan oleh
Allah. Allah Maha Pembalas terhadap hamba-Nya. Jika bala diturunkan, ia tidak
memilih orang yang bertanggungjawab menyebabkan sungai tercemar sahaja, tetapi
semua orang. Justeru, menjadi tanggungjawab semua pihak untuk menjaga anugerah
Allah.
Nasib
dan ‘maruah’ sungai perlu dipulihkan. Kesan pembangunan setempat bukan alasan
mengapa sungai tercemar. Banyak sungai di kota-kota utama di seluruh dunia
kekal dalam keadaan bersih dan menjadi daya tarikan pelancong. Kita perlu
mencontohi negara maju dalam usaha penjagaan dan pemulihraan. Rakyat di negara
maju menghargai sungai sebagai aset negara.
No comments:
Post a Comment