Saya
tidak pasti kekuatan politik perokok dalam menentukan menang kalahnya mana-mana
parti di negara ini.
Tidak ada
satu pun badan pemikir, lebih baik dipanggil “badan statistik” sahaja yang
dapat mengukur, apakah kemenangan BN dalam pilihan raya kecil (PRK) Cameron
Highlands kerana undi protes oleh perokok terhadap kerajaan Pakatan Harapan
(PH)?
Selalunya
badan yang mendakwa mereka “pemikir” hanya mengukur keputusan sesuatu pilihan
raya dari sudut isu-isu kaum, maka hasilnya juga berlegar tentang sentimen kaum
sahaja.
Sedangkan
perokok tak kira kaum. Ia melampaui warna kulit dan agama.
Melayu,
Cina, India, orang asli dan lain-lain, semua ada yang merokok. Lantaran itu,
undi protes kepada kerajaan PH yang dilihat melaksanakan dengan tergesa-gesa
larangan merokok di premis makan, selepas selesai PRK Cameron Highlands, masih
jadi misteri. Apakah suara perokok itu cukup kuat untuk mengalahkan calon
PH? Wallualaham.
Sehari
sebelum tarikh keluar mengundi di Cameron Highlands 26 Januari lalu, sebuah
esei saya yang mengecam larangan gopoh itu terbit di Malaysiakini.
Tajuknya, 'Kalau perokok tidak undi PH lagi'.
Saya
dapat merasakan yang saya meletakkan diri dalam risiko ketika menulis sebuah
karangan yang dilihat sebagai satu pembelaan kepada perokok. Nanti akan ada
yang menuduh saya tak faham bahawa merokok membahayakan kesihatan.
Maklumlah,
dalam arena politik Malaysia, kejujuran bukan selalunya bagus. Lagi seseorang
itu menjadi hipokrit dan munafik, berlagak maksum dan poyo, lagi dia dianggap
‘bijak’ dan selamat.
Namun
jangkaan saya sedikit meleset. Rupa-rupanya tulisan pembelaan berkenaan
mendapat perhatian.
Bukan
sahaja yang mengecam, sepertimana yang diduga, tapi di kalangan yang memahami
secara waras menyentuh hujah budaya yang saya bawa.
Lebih
memeranjatkan, yang ‘menyokong’ itu bukan sahaja di kalangan perokok, ada juga
di kalangan yang tidak merokok.
Maknanya
selama ini, menteri kesihatan cuma syok sendiri. Tanpa pemahaman terhadap
budaya sesuatu masyarakat, sesuatu undang-undang yang dibuat akan pula
menimbulkan satu lagi masalah lain.
Undang-undang
bukan penyelesaian kepada semua masalah. Budaya yang melibatkan perokok dan
yang tidak merokok di negara ini intinya adalah amalan tolak-ansur dan saling
memahami. Kekuatan budaya itu melampaui undang-undang apa pun! Samalah sifat
tolak ansur yang harmonis di kalangan penganut-penganut agama yang tidak boleh
diatur atau dicapai dengan pemaksaan undang-undang.
Contoh
yang saya bawa ialah suasana biasa di restoran mamak dan kedai makan. Sejak
puluhan tahun, kehidupan antara perokok dan yang tidak merokok tidak pernah
mendatangkan masalah besar, menimbulkan ketegangan dan jauh sekali peperangan.
Kedua
kelompok itu saling memahami. Boleh duduk semeja dan berbual-bual dengan mesra.
Tanpa mengira bangsa.
Hanya
apabila kerajaan dengan terburu-buru nafsu dan angkuh melaksanakan
undang-undang larangan merokok, maka rasa tertindas pun timbul. Segelintir yang
anti perokok tiba-tiba mendabik dada dan dengan angkuh mahu menggunakan
larangan berkenaan untuk menyisihkan golongan yang tidak mereka sukai.
Di
sebalik keangkuhan segelintir yang menggunakan alasan “asap dihembus ke muka
anak sendiri,” dan seperti yang tidak saya sangka selama ini, ada juga mereka
yang tidak merokok telah turut sama menegakkan akal yang sihat. Bagi mereka,
perokok yang tidak mahu menghembus asap ke muka anaknya, mengapa dia difitnah
hendak menghembus asap ke muka anak orang lain?
Apa
yang lebih penting ialah, mengapa harus dihancurkan budaya saling memahami dan
bertolak ansur hanya kononnya mahu berlagak sebagai negara maju?
Semua
orang yang waras dapat melihat, ketika larangan dibuat, dalam waktu sama duit
cukai perokok tetap dikaut! Tidakkah menteri merasa rendah hati bahawa
sebahagian duit itu jugalah yang digunakan untuk membayar gaji menteri.
Kemunafikan tahap dewa apakah ini?
Hujah
yang lebih tajam ialah, sedangkan binatang seperti anjing pun boleh dibawa ke
restoran, mengapa manusia hanya kerana dia merokok, dia disisihkan, dikenakan
denda, diaibkan dan dihukum penjara.
Lebih
membuktikan larangan kerajaan itu bersifat tidak manusiawi dan tidak demokratik
ialah dalam waktu sama tidak disediakan pun kawasan khusus bagi perokok
sepertimana yang selalunya wujud di negara-negara maju yang selalu diangkat
sebagai model sebelumnya.
Ya,
Malaysia mahu menjadi negara maju, tapi dengan sifat yang separuh-separuh.
Lebih tepat lagi, Malaysia mahu menjadi negara maju, tapi dengan tidak memahami
budaya masyarakatnya sendiri. Semua mahu dibaratkan, diamerikakan atau
dijepunkan. Kalau dalam perihal agama, semuanya mahu diarabkan.
Oleh itu,
apakah pilihan yang ada pada perokok? Sebagai rakyat, bagi saya mereka perlulah
akur dan patuh dengan undang-undang. Pergilah jauh tiga meter untuk merokok,
dan tunjukkanlah teras moral yang tinggi walaupun dalam peraturan yang
menjengkelkan.
Tetapi
perokok juga sedar bahawa pilihan lain yang ada ialah pada undi yang menjadi
hak dan kuasa mereka. Sifat perokok lazimnya tidaklah sampai perlu menjalankan
kempen “ayuh merokok” sepertimana kempen-kempen isu hak asasi lainnya.
Hanya
dalam diam, mereka tetap memprotes. Ketika perokok dipaksakan dengan
undang-undang, ada saluran lain dan kuasa undi untuk tidak lagi memangkah pihak
yang tidak faham dan mahu menghancurkan budaya.
Undi
dan protes senyap itu sesungguhnya sangat bahaya. Lebih bahaya daripada semua
isu perkauman sama ada yang dimainkan oleh DAP mahupun Umno; sama ada oleh PH
mahupun BN.
Apa pun
tawaran lain, janji-janji untuk memperbaiki ekonomi negara, melawan rasuah,
menegakkan keadilan atau menangkap mereka yang terlibat dengan skandal 1MDB,
tidak lagi berguna kepada perokok. Sejuta kali pun Najib Razak dihadap ke
mahkamah selepas ini, tidak membawa apa-apa makna lagi.
Saya dapat
merasakan bahawa bagi perokok keputusan dalam hati mereka sudah bulat, “PH
harus diajar!”
Saya dapat
merasakan perasaan itu ketika ditegur perokok yang tidak saya kenal di
ceruk-ceruk tempat merokok yang hanya menyediakan tong sampah bercampur tahi
gagak. Perokok yang saya temukan itu kelihatan bukan calang-calang orangnya
melainkan mungkin di kalangan golongan profesional dan ada kelasnya sendiri.
Betapa
perihnya hati mereka yang bersusah-payah menyokong PH tetapi kini mereka
diperlakukan ibarat seorang pelacur. Atau mungkin juga lebih hina lagi.
Dan
seperti pelacur, mereka hanya boleh makan-minum di restoran atau kedai makan.
Untuk menjalankan aktiviti ‘pelacurannya’, mereka harus ke tempat lain yang
jauh, tersembunyi dan bercampur tahi gagak. Menghisap rokok secara
terang-terangan, ibarat melacur secara terang-terangan. Akan ditangkap dan
boleh dihukum.
Dalam
tempoh terdekat, ada dua lagi PRK di DUN Semenyih, Selangor dan Rantau, Negeri
Sembilan. Saya bimbang berbuih pun pemimpin PH memburukkan Umno, PAS atau BN,
perokok hanya ingin menghantar mesej lebih besar dan jelas supaya kerajaan dan
pemimpin yang ada jangan jadi poyo, munafik atau biadab.
Poyo
kerana PH dipilih untuk melaksanakan manifesto; munafik kerana di kalangan
pemimpin PH sendiri ada yang merokok; dan biadab kerana PH tidak memahami
budaya.
Kuasa undi
itu tiada sesiapa yang mampu mengukurnya—walau sehebat mana pun kononnya sebuah
badan pemikir. Perokok kini bergerak dalam sunyi, kerana mereka telah dipaksa
tersisih ke tempat yang sepi. Sedangkan pelacur pun tidak diperlakukan sebegitu
keji.
Oleh HASMI HASHIM
Penulis juga dikenali Budi Hekayat seorang penulis lirik dan
otai komuniti Jalan Telawi.
No comments:
Post a Comment