Wednesday, 30 January 2019

UNTUNG BIJAK URUS MASA

Janganlah bertangguh lagi untuk melakukan perkara kebaikan. Rebutlah setiap kesempatan masa masih hidup ini untuk mengabdikan diri kepada Allah, melaksanakan apa yang disuruh dan menjauhkan apa dilarang.

Orang yang tidak bijak menguruskan masa berdepan dengan kegagalan melaksanakan tugas seharian. Tugas yang sepatutnya dapat dilakukan dalam tempoh masa yang singkat terpaksa pula dilakukan lebih lama. 

Bangsa yang berjaya ialah bangsa yang mementingkan penggunaan masa. Kita dapat lihat bagaimana bangsa Jepun dapat mencapai kemajuan dan kejayaan disebabkan mereka amat menghargai masa. Orang Jepun memenuhi masa seharian dengan bekerja dan membaca yang dapat menambah ilmu bagi mendapat kehidupan yang lebih baik.

Orang yang mengurus masa dengan baik sentiasa mengharapkan sesuatu yang lebih baik dalam hidupnya. Setiap masa yang berlalu bermakna semakin banyak perkara kebaikan telah dilakukan dan semakin banyak pula bekalan hidupnya di akhirat. 

Beruntunglah sesiapa berjaya mengurus masa dengan baik kerana dia tidak terjermus dalam melakukan perkara sia-sia. Perbuatan sia-sia bukan saja tidak mendatangkan kebaikan, tetapi menambah lagi beban dosa yang terpaksa ditanggung. 

Sebab itu Syaidina Umar menasihatkan seluruh orang Islam agar mementingkan peningkatan kebaikan dalam kehidupan seharian. Kata-kata beliau yang paling hikmah berkaitan nilai kehidupan berbunyi: “Celakalah bagi orang Muslim yang hari ini lebih buruk dari hari semalam dan hari esoknya lebih buruk dari hari ini.”

Imam Hasan al-Bana pula mengungkapkan: “Waktu adalah kehidupan. Kehidupan manusia adalah waktu yang dilaluinya dari mula dia lahir hingga meninggal dunia.” 

Oleh itu sesiapa mensia-siakan masa bermakna dia telah mensia-siakan kehidupannya atau menghabiskan sebahagian daripada nyawanya tanpa mendapat sebarang manfaat. Mereka itulah orang yang rugi hidup di dunia ini, yang menghabiskan masa hidup tidak ubah seperti binatang, hanya memuaskan nafsu semata-mata.  

Sesungguhnya Allah akan mempersoalkan di akhirat nanti masa yang kita habiskan di dunia ini. Jadi, menguruskan masa adalah satu amanah daripada Allah yang perlu dilakukan oleh setiap orang. Allah memberi peringatan agar sentiasa membuat persediaan untuk hari esok.

Firman Allah bermaksud: “Wahai orang beriman, hendaklah bertawakal kepada Allah dan buatlah perhitungan untuk menyahut kedatangan hari esoknya (hari kiamat). Dan (sekali lagi diingatkan) bertakwallah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat meliputi pengetahuan-Nya segala yang apa kamu kerjakan.” (Surah al-Hasyr, ayat 71).

Sebaik-baik Muslim ialah yang berjaya menguruskan masa dengan baik. Dia beroleh kejayaan hidup di dunia dan akhirat di atas kebijaksanaan menguruskan masa dengan perkara takwa dan keimanan. 

No comments:

Post a Comment