Wednesday, 13 February 2019

NAFSU TIDAK KENAL USIA


Kehidupan manusia sememangnya sentiasa dibayangi oleh bisikan syaitan agar manusia melakukan yang ditegah oleh Allah dan mendatangkan keburukan kepada kehidupan. Syaitan mempengaruhi nafsu agar inginkan kesenangan hidup di dunia semata-mata dan melupai kehidupan kahirat.

Firman Allah bermaksud: “Dihiasi kepada manusia nafsu yang inginkan perempuan, anak keturunan, harta benda emas perak, kuda, binatang ternakan serta kebun tanaman, semua itu kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah) di sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (yakni syurga).” - (Surah Ali Imran, ayat 14).

Segala unsur yang dikehendaki oleh nafsu hanya bersifat sebagai perhiasan hidup di dunia semata-mata. Ia tidak memberi apa-apa makna lagi apabila manusia meninggal dunia.

Kesan nafsu yang berjaya dipengaruhi oleh syaitan amat buruk. Sememangnnya syaitan telah bersumpah ingin mendatangkan keburukan kepada kehidupan manusia. Seseorang itu hanya dapat menjauhkan penguasaan syaitan terhadap dirinya jika sentiasa mendekatkan kepada Allah dengan melakukan apa yang diruauh dan menjauhkan apa yang dilarang.

Sesungguhnya nafsu tidak mengenal usia. Justeru masih ramai orang sudah di ambang maut, tetapi masih tidak insaf untuk memperbaiki kehidupan. Hidup masih bergelumbang dosa dan perasaan seperti masih muda dan ingin hidup seribu tahun lagi.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Anak Adam boleh tua, tetapi akan tetap tinggal bersamanya dua perkara iaitu kemahuan keras (nafsu) dan panjang angan-angan.” - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Rasulullah menjelaskan dorongan nafsu adalah sebahagian daripada penyakit yang menyebabkan banyak berlaku kerosakan dan penderhakaan.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesungguhnya umatku akan ditimpa oleh penyakit umat-umat dahulu; sombong, suka bermegah-megah, mengumpulkan kekayaan (dengan cara yang tidak sah), berlumba-lumba merebut kemewahan dunia, pulau memulau, saling berdengki hingga mengakibatkan berlakunya penderhakaan dan keadaan kacau bilau.” - (Hadis riwayat Hakim).

Sesungguhnya penyakit itu hanya dapat diubati dengan mengamalkan sikap takwa yang sebenar-benarnya. Mukmin sejati tidak sekali-kali mengamalkan sikap yang bertentangan dengan apa yang disyariatkan.

No comments:

Post a Comment