Thursday, 14 March 2019

SEJARAH TERUSAN SEMERAK TOK BALI

Terusan Semerak menjadi nadi pembangunan kawasan Tok Bali di Pasir Putih. Pengunjung akan terpegun melihat terusan yang luas dan suasana keluar masuk kapal dan bot nelayan laut dalam melaluinya.

Namun, kebanyakan orang lebih mengenali Terusan Semerak sebagai Sungai Semerak. Secara fizikalnya, tiada beza antara sungai dengan terusan. Namun, secara istilahnya, terusan dan sungai berbeza.

Terusan adalah laluan air yang dibina atau digali. Manakala sungai pula adalah laluan air terbentuk secara semulajadi.

Terusan Semerak digali sebagai sebahagian daripada rancangan pembangunan kawasan Kemasin Semerak melibatkan dua jajahan (daerah) Bachok dan Pasir Putih.

Rancangan itu dikenali Projek Kemasin Semerak (Perkasa). Manakala kawasan yang diliputi dalam rancangan itu pula dikenali Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Kemasin Semerak (IADA). IADA merupakan badan yang bertanggungjawab menyelia aktiviti pembangunan di kawasan berkenaan.

Jambatan Tok Bali yang menjadi mercu tanda di kawasan itu ketika proses pembinaannya dibina di atas darat. Setelah siapa jambatan, baru terusan dibina di bawahnya.

Panjang jambatan melengkung yang menjadi kebanggaan itu kira-kira 300 meter. Jambatan dibina melengkung bertujuan membolehkan kapal melalui di bawahnya. Jambatan Tok Bali dibuka kepada kegunaan awam pada tahun 1996.

Terusan Semerak merupakan nadi utama kepada pembangunan bandar perikanan di Tok Bali dan memberi kemudahan kepada lebih 300 bot nelayan laut dalam dan nelayan tradisional mendaratkan hasil tangkapan di Pelabuhan Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tok Bali.

Selain jeti LKIM, di Terusan Semerak menjadi pangkalan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) Kelantan, serta beberapa agensi lain serta pihak swasta yang memanfaatkan kegunaan terusan sepanjang kira-kira 7.5 kilometer itu. 
 

No comments:

Post a Comment