Tuesday 25 June 2019

PENDIDIKAN SEKS DARI SUDUT PANDANGAN ISLAM


Dalam masyarakat kita apabila disebut perkataan ‘seks’, sekilas maksud terus membawa kepada ‘sesuatu yang sulit, tidak wajar dibincangkan secara terbuka, memalukan, tidak sopan, nafsu dan bersifat buruk’. 

Sebab itu cadangan pendidikan seks secara formal di sekolah ditentang kebanyakan orang tanpa sebarang perbincangan. Ibu bapa juga sekali-kali tidak akan memperkatakan mengenai seks dengan anak-anak.

Sedangkan ia menjadi tanggungjawab ibu bapa mendidik anak mengenai pengetahuan seks, sesuai dengan maksud yang sebenarnya. 

Mengikut Kamus Dewan perkataan seks bermaksud sifat-sifat yang membezakan lelaki dan perempuan, jantina. Maksud lain ialah keinginan syahwat. Berdasarkan maksud itu tidak melambangkan satu perkara yang perlu takut dan malu untuk membincangnya. 

Keinginan mengetaui berkaitan seks lahir secara fitrah, sama juga untuk mengetahui perkara lain. Oleh itu, sepatutnya ia tidak dipandang dari sudut negatif. Kita perlu mengetahui tentang apabila yang akan berlaku, dilalui dan perlu dilakukan berkaitan seks.

Pendedahan pengetahuan mengenai seks perlu diajar oleh ibu bapa secara telus dan jelas. Ia sebahagian daripada pendidikan penting yang termasuk dalam fardu ain dan fardu kifayah.

Sebab itu dalam al-Quran menyebut secara telus berkaitan seks. Dalam al-Quran menyebut mengenai zakar, faraj, air mani, persetubuhan suami isteri, zina, haid, nifas, homoseksual, ghairah dan keperluan manusia terhadap seks. 

Dengan kata lain soal seks bukan perbincangan tertutup yang hanya melibatkan orang dewasa. Apa yang disebut dalam al-Quran turut dibaca dan diketahui oleh sesiapa saja yang membacanya, termasuk kanak-kanak.

Tidak ada larangan bagi kanak-kanak membaca al-Quran, termasuk ayat-ayat yang menyentuh mengenai seks. Ini jelas membuktikan tidak ada sekatan untuk kanak-kanak mengetahui mengenai seks.

Perbincangan mengenai seks dalam konteks ilmu adalah sesuatu yang murni dan mulia. Pada tahap tertentu, hukumnya wajib bagi ibu bapa menerangkan mengenai seks kepada anak. Banyak berkaitan seks melibatkan hukum fardu ain seperti berkenaan haid dan mandi wajib.

Disebabkan ibu bapa terlalu merahsiakan berkaitan seks sehingga anak gadis tidak mengetahui permulaan baligh apabila keluar haid pertama dan anak lelaki pula tidak sedar dirinya sudah remaja.

Pengetahuan dalam hal tiba masa baligh penting diketahui setiap anak kerana ia menentukan batasan dosa dan pahala sudah dicatatkan untuknya. Anak perlu mengetahui bahawa dirinya telah ada tanggungjawab berkaitan perlaksanaan ibadat apabila masuk usia baligh.

Dengan kata lain, ibu bapa perlu mendedahkan secara jelas berkaitan seks kepada anak-anak. Ia tidak setakat mengenai haid dan hadas besar semata-mata, tetapi merangkumi pengetahuan lain yang bersangkutan seks.

Ibu bapa perlu bijak dalam memperkatakan soal berkaitan hubungan seks. Penjelasan mengenai halal dan haram hubungan seks mampu memberi pengukuhan iman dan takwa kepada anak. 

Sekiranya ibu bapa gagal mendedahkan pengetahuan seks kepada anak, kemungkinan besar mereka mempelajarinya melalui sumber yang salah seperti VCD dan buku lucah. Keinginan mengetahui mengenai seks adalah fitrah yang wujud dalam diri setiap orang.

Pada peringkat usia remaja adalah tempoh perubahan psikologi dan biologi diri paling cepat. Pada usia remaja biasanya mudah dikuasai imaginasi seks.  

Ibu bapa perlu melihat soal seks mengikut preskripsi lebih luas. Soal berkaitan seks bukan sekadar perbincangan dalam bilik semata-mata. Mengapa ibu bapa cuba menyekat anak daripada mengetahui hal penting ini.   

Kejahilan seks menyebabkan ramai remaja perempuan menjadi mangsa. Gejala sumbang mahram banyak berpunca daripada kejahilan ini. Mereka malu hendak bertanya atau bercerita kepada orang lain kerana ia satu ‘rahsia’ besar dalam budaya Melayu.

Hubungan seks keperluan setiap individu perlu dipenuhi secara murni. Ikatan perkahwinan merupakan gerbang kehidupan seksual yang dihalalkan. Malah ia satu suruhan agama. 

Islam menyuruh setiap individu cenderung kepada keinginan seks dan berkemampuan menunaikan amanah hidup berpasangan agar berkahwin.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Wahai pemuda-pemuda, barangsiapa di antara kamu telah mampu berkahwin, maka kahwinlah, kerana sesungguhnya perkahwinan itu menutup pandangan dan menjaga kehormatan. Dan barangsiapa belum mampu, maka hendaklah dia berpuasa, kerana puasa itu mengurangi nafsu syahwat.” - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

No comments:

Post a Comment