Tuesday 25 June 2019

BERSIKAP TERBUKA JIKA ANAK TANYA SOAL SEKS

Sesekali apabila anak bertanya tentang isu seks, apakah reaksi anda? Tergamam? Gugup? Malu? Cemas? Bimbang?

Rata-rata ibu bapa kurang pasti apakah yang harus diperkatakan dan bagaimana menjawab soalan berhubung tentang seks. Ada ibu bapa terdiam tanpa memberi sebarang jawapan, membiarkan anda terus tertanya-tanya mengenainya.

Sebahagian ibu bapa lain menunjukkan sikap tidak senang dan marahkan anak bertanyakan soalan itu. Mereka menganggap membincangkan soal seks bersama-sama anak satu topik paling sulit, memalukan, tidak bermoral, dilarang adat dan ada yang mengatakan larangan agama. 

Ibu bapa perlu membuat persediaan untuk menangani soalan berkaitan seks yang ditanyakan anak supaya tidak menunjukkan reaksi kurang senang, memarahi anak, menipu mereka dengan fakta yang salah atau berdiam diri.

Alangkah baik jika kita dapat bersifat terbuka dan menggalakkan anak bertanya apa pun soalan yang ada di benak mereka dan menunjukkan reaksi spontan seperti menjawab soalan lain. Bahkan, adalah lebih baik jika ibu bapa yang mengajak anak memulakan perbincangan mengainya, jika difikirkan perlu. 

Jika dikekang dan dipendam, mereka akan bertambah musykil dan akan bertanya daripada orang lain atau teman yang mungkin memberi fakta yang kurang tepat atau tidak sesuai bagi umur mereka.

Walaupun usia anak masih kecil, berilah anak pengetahuan yang sesuai dengan peringkat usia.  Kita mengajar mereka mengenali anggota badan seperti tangan, mata, hidung dan sebagainya. 

Mengapa apabila menyebut nama bahagian sulit diguna nama yang tidak tepat.  Salahkah jika menyebut perkataan rahim, zakar dan faraj atau nama lain yang diguna mengikut loghat tempatan. Tidak perlu kita menukar nama bahagian sulit dengan alasan untuk bersopan.    

Ibu bapa tidak harus berasa malu kerana anak harus diajar menghargai dan mengenal tubuh sendiri. Mereka perlu mengetahui jantina mereka. Apa tanda bahawa mereka itu lelaki atau perempuan berdasarkan kepada alat sulit yang dimiliki. 

Perkara ini bukan sesuatu yang pantang dan dijauhi. Gunakan buku bergambar jika perlu. Cara ini lebih mudah difahami atau membolehkan mereka ‘ulangkaji’ melihat gambar itu.

Ibu bapa perlu bijak menguasai tahap kefahaman anak masing-masing.  Ajarkan atau jawablah soalan bersesuaian dengan umur anak. Anak kecil tidak perlu diberitahu tentang proses hubungan seks, tetapi memadai memberi tahu bahawa yang boleh melahirkan anak ialah perempuan dan bukannya lelaki.

Kalau ditanya mengapa, itu telah tabie yang ditetapkan oleh Allah. Ia secara tidak langsung sebagai kesempatan mengajar mereka bahawa Allah yang mencipta manusia.   

Apabila mereka lebih memahami, anak boleh diajar mengenai mengapa perempuan mengandung dan melahirkan anak. Beritahu mereka tentang perlunya lelaki untuk menyebabkan perempuan mengandung. Ini tidak bermakna menceritakan satu persatu kepada mereka bagaimana melakukan hubungan seks.

Terdapat banyak buku bergambar di pasaran dan perpustakaan yang akan menyenangkan ibu bapa berbincang tentang pembentukan bayi dan isu seks. Di sini anak-anak akan faham potensi tubuh mereka bahawa seorang perempuan boleh menjadi hamil dan orang lelaki boleh menyebabkan kehamilan. 

Ajarkan tidak ada sesiapa pun yang berhak menyentuh bahagian tubuh terutama bahagian sulit mereka tanpa kerelaan mereka. Ajarkan tentang aurat lelaki dan perempuan, yang halal dan haram, bahawa lelaki dan wanita yang bukan mahram dan belum bernikah tidak boleh bersentuhan.

Jika anak sudah di bangku sekolah, ajarkan bahawa lelaki dan perempuan tidak wajar bermain secara fizikal sesama sendiri seperti bertepuk tampar apalagi jika anak sudah baligh. Beritahu mereka bahawa tentang batasan pergaulan. Wujudkan di dalam diri mereka perasaan malu dan bersalah jika melakukan perbuatan itu.   

Bincang dengan anak perempuan dan lelaki tentang haid, mengapa wanita mengalaminya, waktu ia tiba dan proses haid sebelum anak baligh. Anak perempuan tidak berasa cemas dan terkejut bila ia tiba.

Mengapa perempuan perlu merasa malu dan tersisih ketika datang haid. Tidakkah itu tandanya dia perempuan yang normal? 

Anak lelaki juga harus diberi pengetahuan tentang haid wanita agar tiada salah faham bahawa ia sesuatu yang memalukan, jijik atau menjadi bahan ejekan terhadap kaum wanita. 

Selitkan juga bahawa orang yang sudah berkahwin sahaja boleh menunjukkan kasih sayang jika anak tertengok rancangan khusus untuk orang dewasa di televisyen. Jangan berdiam diri atau marah. 

Jadikan televisyen sebagai medium atau alat bantu mengajar. Beritahu kepada mereka mana yang betul dan salah. Rancangan televisyen dari Barat yang mempamerkan aksi bertentangan dengan budaya dan ajaran agama boleh dijadikan contoh tentang perbuatan yang tidak patut mereka lakukan.   

Dengan pengetahuan yang tepat dan sesuai dengan umur mereka, ibu bapa dapat merubah dan mengekang salah sangka, mengajar anak menghargai diri dan tubuh masing-masing. Mudah-mudahan mereka akan mampu mengambil keputusan yang bijak.

No comments:

Post a Comment