Wednesday, 2 October 2019

ANCAMAN GERAKAN ZAMAN BARU NEW AGE MOVEMENT


Asal usul Gerakan Zaman Baru (New Age Movement  - NAM) adalah bersumberkan kepada ajaran agama Hindu, Buddha, falsafah Yunani, Yahudi dan Mesir Kuno termasuk falsafah Tao.

Menurut Dr. Fouz A. Kurdi, ajaran ini masuk ke dalam Islam seawal akhir abad pertama Hijrah dan menjadi lebih kukuh pada abad ke-2 H seiring dengan bertambahnya bilangan penganut Islam dan pengaruh penterjemahan ajaran falsafah Yunani.

Di sinilah muncullah kelompok gnostisime dalam bentuk tasawwuf yang menyeleweng, Syiah yang ekstrem, Isma’iliyyah Batiniyyah, dan selainnya.

NAM mula terbentuk secara lebih tersusun pada separuh kedua abad ke-19 dan digerakkan oleh 4 gerakan utama iaitu Transcendentalism yang diwakili oleh Ralph Emerson, New Thought oleh Phineas Quimby, Spiritualism oleh Emanuel Swedenborg danTheosopical Society oleh Helena Balavatsky.

Di sinilah munculnya bibit awal NAM yang dianggap sebagai gerakan spiritual di Barat yang akan menjadi penyelamat kepada generasi pemuda Amerika pada ketika itu yang dikenali dengan nama hippies dan punks.

Sehingga kini, NAM terus berkembang menyelusup masuk dalam pemikiran manusia melalui buku, seminar dan lain-lain yang membawa tema kebahagiaan, ketenangan dan kejayaan dalam hidup melalui amalan kerohanian yang bersifat trans-agama.

Apa yang merisaukan kita selaku umat Islam, kita sudah pasti tidak menginginkan identiti dan pemahaman Islam luput sedikit demi sedikit atas nama keterbukaan.

Daripada Abu Sa’id al-Khudri bahawa Nabi SAW bersabda bermaksud: “Kamu semua pasti akan mengikut jalan orang-orang sebelum kamu semua sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehinggalah jika mereka masuk ke dalam lubang biawak pun kamu semua akan memasukinya.

Kami (iaitu para sahabat) bertanya: Ya Rasulullah, adakah mereka itu Yahudi dan Nasrani? Baginda menjawab: Siapa lagi (kalau bukan mereka)?” (Riwayat al-Bukhari, no. 3456)

Ibn Hajar al-‘Asqalani menyatakan: Ibnu Battal berkata: Rasulullah SAW memberitahu bahawa umatnya akan mengikuti perkara-perkara baru daripada hal-hal bidah dan yang mengikut hawa nafsu sebagaimana yang berlaku kepada umat sebelum mereka.

Baginda telah memberi amaran dalam banyak hadis tentang keadaan akhir zaman yang buruk. Kiamat tidak akan berlaku kecuali kepada manusia-manusia yang buruk. Ketika itu agama hanya dipegang oleh orang-orang tertentu sahaja.

Ibnu Hajar berkata: Sesungguhnya telah berlaku kebanyakan daripada apa yang Nabi SAW berikan amaran tentang dan akan berlaku yang selebihnya.

No comments:

Post a Comment