Wednesday, 25 December 2019

TOLERANSI SUBURKAN SIFAT PEMAAF

Hidup bertoleransi dan saling menghormati menjadi agenda penting masyarakat bertamadun. Tidak ada perkara menakutkan dalam menjalin hubunan sesama manusia. Hakikatnya tidak ada individu yang kebal bebas melakukan apa saja diingini, kerana kita dibatasi undang-undang dan hukum agama.

Sikap ego dan mementingkan diri bukan mendatangkan kebaikan kepada pelakunya, sebaliknya menimbulkan kesan emosi yang tidak stabil dalam diri. Sebab itu, satu amalan terbaik ialah sentiasa merendahkan diri dan bersedia untuk memaafkan orang lain.

Setiap hari kita sentiasa berdepan dengan situasi menimbulkan perasaan marah.  Kejadian itu berlaku di rumah, jalan raya, dalam kenderaan awam, pejabat, kedai dan di mana saja, disebabkan oleh orang yang kita kenal dan tidak kenal.

Keadaan itu hanya dapat diredakan jika adanya sifat pemaaf di dalam diri yang bertindak seperti air mematikan api. Sifat pemaaf menjadi benteng yang menghalang daripada timbulnya sifat pemarah.     

Justeru, pemaaf adalah sifat luhur yang perlu ada pada diri setiap muslim. Sifat itu mempunyai kesan amat besar dalam kehidupan kerana ia dapat menyelamatkan seseorang daripada terjebak dalam tindakan yang tidak sepatutnya dilakukan. 

Allah berfirman bermaksud: "Dan orang yang menahan amarahnya dan memanafkan orang lain, Allah menyintai orang yang berbuat kebajikan." (Surah Ali Imran, ayat 132)

Orang yang bersifat pemaaf adalah insan yang tidak berdendam dan buruk sangka terhadap orang lain. Biarpun pernah diperlakukan dengan sesuatu yang menimbulkan perasaan marah, dia memaafkan perbuatan itu dan menerimanya dengan fikiran positif. 

Sifat itu memberi keyakinan diri bahawa yang berhak menghukum hanyalah Allah. Biarlah Allah yang menentukan balasan terhadap apa yang dilakukan oleh orang lain terhadap kita. Individu pemaaf dan sabar sentiasa tenang dan sentiasa muhasabah diri apa yang berlaku.    

Memang orang dizalimi berhak membalas balik perbuatan itu, namun lebih baik jika  memberi kemaafkan. Tindakan tidak membalas balik akan mengelak diri daripada melakukan kezaliman jika membalas balik itu melebihi apa yang sepatutnya.   

Firman Allah yang bermaksud: "Dan bagi orang yang dizalimi mereka akan membela diri. Dan balasan sesuatu kejahatan adalah kejahatan yang sama.  Maka sesiapa yang memaafkan dan berbuat baik, maka pahalanya adalah tanggungan Allah. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang zalim." (Surah asy-Syura, ayat 39-40)     

Gambar hiasan - Masjid Sultan Mansor, Kampung Sireh, Kota Bharu Kelantan.

No comments:

Post a Comment