Tampoi sinonim dengan Hospital Permai sama dengan
Tanjung Rambutan yang tidak dapat dipisahkan dengan Hospital Bahagia.
Hospital Permai telah wujud lama di negara kita
iaitu sebelum Perang Dunia Kedua. Lebih tepat lagi Hospital Permai telah siap
dibina pada tahun 1937 di atas sebidang tanah seluas 110 ekar kawasan hutan di
Tampoi. Ia telah dirasmikan pada 30 Oktober 1937.
Luas kawasan diperuntukkan kawasan Hospital Permai
sebenarnya 620 ekar, tetapi binaan hospital hanya menggunakan 110 ekar sahaja
dan dikelilingi pagar besi perimeter dan pagar dinding konkrit untuk
menghalangi para pesakit mental daripada melarikan diri.
Hospital ini terletak kira-kira 16 km dari
Bandar Johor Bahru. Pada awalnya hospital ini dinamakan Johor Mental Hospital.
Ia adalah salah sebuah hospital sakit jiwa yang termoden ketika itu.
Dalam akhbar Malay Tribune keluaran 1937
menyatakan bahawa hospital ini adalah yang kedua terbaik selain dari yang ada
di Australia ketika itu.
Sesuai dengan aspirasi kewujudannya sebagai
sebuah institusi rawatan dan pemulihan sakit jiwa, ia telah membina asas yang
kukuh dalam melaksanakan fungsi-fungsi rawatan dan pemulihan psikiatri.
Perubahan dan perkembangan dari masa kesemasa
dalam dunia psikiatri, menjadikan Hospital Permai mengambil inisiatif,
keterlibatan dan bertindak selaras dengan dasar negara.
Perkhidmatan Hospital Permai bukan sahaja
meletakkan aspirasi tersebut dalam rangka pemikiran semata-mata, malah berusaha
bersama-sama keseluruhan anggotanya, menterjemah kerangka pemikiran itu dalam
bentuk pelaksanaan.
Merujuk Akta Kesihatan Mental yang digubal
pada 2001, Seksyen 49, menyatakan tiap-tiap hospital psikiatri hendaklah
mempunyai rancangan dan kegiatan bagi memastikan kualiti kesesuaian, kemudahan
dan perkhidmatan jagaan kesihatan yang disediakan kepada para pesakit mental
tentang penahanan, pengawalan dan perlindungan.
No comments:
Post a Comment