Friday, 11 August 2023

AK 37 – ISU AIR, PEMIMPIN PAS KELANTAN KEBAL DIKRITIK

 
Pemimpin Pas Kelantan terus mengkritik pihak yang menggambarkan masalah air Kelantan berlaku di seluruh negeri.
 
Timbalan Pesuruhjaya PAS I Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah menegaskan, isu itu tidak pernah dinafikan kerajaaan negeri tetapi ia hanya melibatkan kawasan tertentu.
 
“Selama 33 tahun tak selesai masalah air? Kalau ambo (saya) cakap hodoh sekali, orang Machang ni selama mana dah tak mandi?
 
“Selama 33 tahun orang Machang ni tak mandi, pasal tak ada air? Tak khabar (sedar) sesetengah tu tiga kali sehari mandi wajib pun ada.
 
“Ketawa macam betul,” katanya secara berseloroh ketika berucap di ceramah grand final Perikatan Nasional (PN) sempena pilihan raya negeri (PRN) peringkat Parlimen Machang, di Machang malam tadi (10 Ogos 2023).
 
Sebenarnya isu air bersih di Kelantan telah lama berlarutan. Memang ia tidak melibatkan semua kawasan atau tempat. Tetapi diakui banyak kawasan yang terkesan. Kalau setakat dua tiga kawasan, itu perkara biasa berlaku di mana-mana negeri pun.
 
Selain kekurangan air di bekal ke rumah-rumah, satu masalah lagi ialah air karat. Karatnya bukan sebarangan. Karat pekat dan tidak layak untuk dibuat mandi atau membasuh pakaian, apalagi untuk dijadikan minuman atau untuk memasak.
 
Untuk mengatasi masalah kekurangan bekalan air, penduduk terpaksa menggali telaga tiub. Masalahnya tidak semua telaga tiub mengeluarkan air yang jernih dan selamat. Banyak kawasan jika digali telaga tiub akan mengeluarkan air karat dan berbau.
 
Kerajaan Pas Kelantan perlu peka dan bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan permasalahan ini. Imej kerajaan yang berteraskan keislaman perlu dibuktikan dengan kejayaan dan contoh yang baik.
 
Tindakan kerajaan Pas Kelantan mengkritik dan menyalahkan pihak lain sebagai punca kegagalan tidak akan menyelesaikan masalah. Malah rakyat semakin tertekan dan meluat dengan sikap pemimpin Pas Kelantan yang dilihat berasa diri “kebal” dari dipersalahkan oleh rakyat.

No comments:

Post a Comment