Thursday, 11 August 2016

Jering rebus dimakan dengan kelapa parut

Jering atau dipanggil juga jengkol terkenal di Malaysia dan Nusantara. Khasiat buah jering diperakui sajak turun temurun. Selain dibuat ulam ketika buah masih muda atau lembut, buah jering tua atau isi yang telah keras boleh juga direbus. 

Rasa jering rebus enak dan sedap. Jadi, tidak hairan jika jering rebus mendapat sambutan dan diminati penggermarnya.

Di Kelantan, jering rebus merupakan salah satu makanan tradisional yang agak popular. Sehingga kini jering rebus masih lagi menjadi santapan dan masih ada kelihatan dijual di pasar-pasar sekitar Kelantan apabila tiba musim buah jering.

Jering rebus biasanya akan dihidangkan bersama kelapa parut yang diadun dengan sedikit garam dan gula. Bagi mereka yang mengemari makanan ini sudah pasti akan mendapatkan jering rebus biarpun sukar ditemui sekarang ini.

Bagi mereka yang tidak pernah makan jering rebus, elok mencubanya. Sekali mencuba, pasti anda anda akan menyukainya. Paling tidak pun anda akan berkata 'boleh tahan'. 

Jering rebus dihasilkan daripada jering tua yang direbus selama berjam-jam lamanya. Cara rebus jering amat mudah. Jering itu direbus dalam air yang dicampur dengan berbagai bahan seperti beberapa jenis daun dan kulit pokok jering itu sendiri. 

Selain itu turut dimasukkan paku, abu, kulit batang kelapa dan sebagainya. Ini adalah untuk membuang kandungan getah atau 'bisa' jering ini.

Kaedah memasak cara ini perlu dilakukan untuk mengelak masalah apabila makan jering rebus, terutama jika makan dengan banyak. Antara kesan yang dialami ialah kencing tidak lawas atau dalam istilah Kelantan dipanggil kapit atau kepit

Cara merebus jering yang diamalkan itu dapat mengelak kesan buruk makan jering rebus. Tujuan dimasukkan bahan-bahan itu untuk 'tarik' kerluar bahan kimia di dalam buah jering menjadikan ia lembut dan kurang berbau, selain mengurangkan kesan 'racun' yang terdapat di dalamnya.   

Buah jering rebus sedap dimakan bersama kelapa muda parut yang dicampurkan dengan gula dan sedikit garam. Memang sedap dan unik rasanya. Makan jering rebus tidak memberi kesan kepada bau air kencing yang tidak menyenangkan berbanding makan jenis tanpa direbus.

Dari segi sains permakanan, biji jering mengandungi sejenis bahan alkoloid yang memberi rangsangan untuk membuang air kecil. 

Bagi pesakit penyakit kencing manis, jering boleh menjadi penawar yang berkesan sekiranya diambil berterusan dengan kadar yang sedikit. Kerana kandungan sebatian alkoloid di dalam jering mampu meneutralkan kandungan gula dalam badan.

Namun, jering tidak baik jika dimakan dalam kuantiti yang banyak atau setiap hari. 
 
Jering dikelaskan sebagai racun sedarhana kerana ia mempunyai asid yang menyebabkan keracunan. Ia menyebabkan sakit mencucuk atau berdenyut (spasmodic pain), penyakit gout, salur kencing tersekat dan kegagalan renal akut (acute renal failure).

No comments:

Post a Comment