Friday 21 October 2016

Gerak saraf perang saraf

Gerak saraf (GS) bermaksud: “Penggunaan propaganda dan tindakan lain yang dirancang untuk mempengaruhi pendapat, emosi, sikap dan tingkahlaku kumpulan sasar pihak sahabat dan golongan berkecuali bagi mencapai matlamat pihak penganjur” 

Manakala perang saraf (PS) pula ditujukan khusus kepada pihak seteru atau bakal musuh atau musuh sebagai kumpulan sasarnya.

Maksud “propaganda” pula sering disalaherti oleh banyak pihak dengan mendakwa bahawa apa yang diperkatakan oleh pihak lawan adalah propaganda dan apa yang diperkatakan sendiri bukan propaganda.

GSPS merupakan antara elemen terpenting dalam transformasi rakyat untuk memastikan kedudukan kerajaan stabil dan mampu melaksanakan tugasan untuk kepentingan rakyat.

Kita sering keliru apabila disebut GSPS, maka dirujuk kepada suasana pilihan raya semata-mata.  Hakikatnya, GSPS itu perlu dilakukan sepanjang masa untuk mencapai apa-apa matlamat yang diingini.

Amat penting sekarang ini kerana GSPS juga perlu digunakan untuk mendepani Peperangan Informasi dan juga Peperangan Persepsi. Sudah semestinya media baru (siber) menjadi landasan utama untuk penyebaran propaganda sekali gus berlakulah perang propaganda yang bersifat maklumat benar, separuh benar dan pembohongan.

Dengan ertikata lain, dalam mempuat propaganda, tidak hanya bersandarkan kepada fakta benar, sebaliknya yang separuh benar dan pembohongan itu perlu dilakukan.

Justeru, jika ada sesuatu isu dibangkitkan, para propaganda tidak perlu menanti atau mencari fakta sebenar baru hendak bertindak. Bertindak segera dengan apa saja 'fakta' yang ada untuk menangkis propaganda musuh. 

Perlu diingat, kebanyakan propaganda musuh sebenarnya tidak berasaskan kepada fakta atau kebenaran. Maka, bagaimana hendak tunggu kebenaran baru hendak bertindak? Secara tuntasnya, yang palsu perlu juga dipadamkan dengan yang palsu.

Nilai keberkesanan propaganda bergantung kepada tema, simbol dan mesej yang tersurat bagi mencapai objektif atau matlamat yang diinginkan yang tersirat.

Kejayaan GSPS berkait rapat keupayaan Propagandists dalam menganalisis kekuatan, kelemahan, persekitaran dan susceptibility kumpulan sasar supaya ianya berimpak tinggi.

Justeru, penguasaan GSPS khususnya dalam War of Perceptions di kalangan rakyat perlu dilakukan sepenuhnya terutama golongan pertengahan (terutamanya di kawasan bandar yang ada kemudahan dan akses kepada Internet!).

Dalam mendepani permasalahan GSPS ini, kerajaan melalui agensi tertentu telah mewujudkan sistem pemantauan serta amaran awal kepada kerajaan melalui penyediaan maklum balas perisikan yang lengkap, tepat, bersepadu serta berwibawa di peringkat negeri, nasional dan antarabangsa.

Hal itu amat penting dalam mengekal dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan melalui pendekatan komunikasi dengan tumpuan kepada kaedah-kaedah bagi memenangi minda rakyat.

Maklumat yang dibekalkan juga diharapkan dapat mewujudkan kesedaran dan penghayatan rakyat berbilang kaum yang mantap dan kukuh bagi memupuk nilai-nilai murni, semangat patriotisme dan cintakan negara.

No comments:

Post a Comment