Friday, 20 January 2017

Malu elak buat dosa

Selain fizikal, manusia juga diciptakan Allah SWT dengan ada sifat semulajadi yang antara lainnya ialah perasaan malu, yakni berasa aib (hina, rendah) kerana membuat sesuatu yang salah atau tidak sopan, berasa tidak senang melakukan perkara yang dilarang Allah SWT.

Nafsu ghairah hingga sanggup berkongsi isteri, mertua main dengan menantu, ghairah bapa terhadap anak, isteri cari lelaki lain, adik beradik laku sumbang mahram, abang ipar main adik ipar, anak dara bersama suami orang dan sebagainya satu amalan amat memalukan.
Justeru, sifat malu mampu menjadi perisai daripada melakukan perbuatan buruk dan dosa. Oleh sebab itu, sifat malu perlu ada dalam diri setiap muslim yang juga untuk membentuk sikap takwa, yakni malu atau takut untuk melakukan perkara yang ditegah.

Kajian ahli psikologi mengatakan, sifat malu dapat membantu membantu tingkahlaku dan akhlak manusia ke arah yang baik. Bagaimanapun sifat pemalu yang tidak betul pada tempatnya boleh menjejaskan imej dan peluang seseorang untuk mendapat kebaikan.

Oleh sebab itu, sifat malu mesti bertempat dan kita ditegah berperasaan malu melakukan perbuatan yang memberi keuntungan dan kebaikan. Justeru, tidak sepatutnya ada orang malu melakukan kerja-kerja yang rendah taraf seperti sebagai buruh dan petani, sedangkan perkerjaan itu halal dan memberikan kebaikan kepada pelakunya.  

Malu diwajibkan kerana perasaan itu termasuk sebahagian daripada iman sepertimana dijelaskan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Malu itu sebahagian daripada iman." (Hadis riwayat Muslim dan Tirmizi)

Jika manusia mengetahui Allah SWT sudah memberikan pelbagai kenikmatan kepada mereka seperti mata yang dapat melihat, telinga yang boleh mendengar dan lidah boleh berkata-kata, sepatutnya mereka malu melakukan maksiat dengan nikmat diberikan itu.

Amat malang sekali apabila manusia secara angkuh menggunakan nikmat diberikan oleh Allah SWT untuk melakukan maksiat dan mengatakan perbuatan itu tidak salah, malah berbangga dapat melakukannya. Mereka mendedahkan dan mendabik dada memberi tahu orang lain tentang perbuatan dosa yang telah dilakukan itu. 

Sabda Rasulullah SAW bersabda: "Setiap umatku dimaafkan (dosanya) kecuali orang-orang menampak-nampakkannya dan sesungguhnya di antara menampak-nampakkan (dosa) adalah seorang hamba yang melakukan amalan di waktu malam sementara Allah telah menutupinya kemudian di waktu pagi dia berkata: 'Wahai fulan semalam aku telah melakukan ini dan itu, ' padahal pada malam harinya (dosanya) telah ditutupi oleh Rabbnya. Ia pun bermalam dalam keadaan (dosanya) telah ditutupi oleh Rabbnya dan di pagi harinya ia menyingkap apa yang telah ditutupi oleh Allah" (Hadis riwayat Bukhari)

Golongan yang telah tersesat jauh akan mempengaruhi orang lain agar melakukan perbuatan dosa dan berasa bangga apabila berjaya mengajak orang lain melakukan sama. Sikap itu seperti apa yang dilakukan syaitan apabila ingkar perintah Allah SWT agar sujud kepada Adam dan berjanji akan mengajak manusia melakukan penderhakaan terhadap Allah SWT.

Manusia yang hilang rasa malu, akan berbuat semahunya apa yang diingini tanpa mempedulikan adanya aturan dan kesopanan yang ada dalam masyarakat. Tidak hairan jika berlaku gejala bohsia, lari dari rumah, bersekedudukan, terbabit penagihan dadah dan perzinaan.

Perbuatan yang semakin menular dalam masyarakat itu berjaya mempengaruhi orang lain sehingga menjadi satu perbuatan lumrah atau biasa terjadi. Kejadian itu menyebabkan pelakunya tidak lagi merasa malu dan menganggapnya perkara biasa. Jika tidak dibendung akan menyebabkan moral masyarakat berada di tahap paling rendah.

Tidak dinafikan perbuatan ini berlaku disebabkan kurang didikan agama yang menyebabkan mudah terpengaruh dengan hasutan syaitan dan menganggap perkara itu sesuatu yang mengasyikkan. Mereka merasakan adalah rugi jika tidak melakukan perbuatan itu. 

No comments:

Post a Comment