Sunday, 15 January 2017

MATLAMAT HUKUMAN TERHADAP PESALAH


Individu didapati bersalah di mahkamah dijatuhi hukuman. Hukuman bukan bersifat penyiksaan semata-mata. Jika ia bermaksud untuk penyiksaan, sudah pasti hukuman berat tidak perikemanusiaan dikenakan. Islam mengamalkan kesederhanaan dalam mendepani sesuatu masalah berkaitan umatnya.

Terdapat empat matlamat hukuman dalam Islam iaitu melakukan pencegahan, memberikan ganti rugi, melakukan pemulihan dan tujuan ukhrawi.

Melakukan pencegahan.  Pencegahan adalah kaedah untuk mendidik manusia agar tidak mengulangi perbuatan itu. Mereka yang pernah dikenakan hukuman merasa insaf dan serik melakukan perbuatan itu.  Tentu mereka tidak mahu mengulangi perbuatan salah yang menyebabkan mereka dikenakan hukuman sekali lagi.  Sesungguhnya tidak ada manusia yang suka dihukum.  Jadi, langkah terbaik ialah tidak mengulangi perbuatan itu.

Hukuman ditetapkan juga dapat mencegah mereka yang baru ingin melakukan perbuatan itu.  Mereka tahu, jika melakukan kesalahan itu ada hukuman telah ditetapkan Tambahan, mereka melihat atau mengetahui ada orang lain telah dihukum.   

Pencegahan dilakukan dua kaedah iaitu am dan khas. Pencegahan am adalah menghapus atau menghalang unsur yang boleh mendorong seseorang melakukan jenayah, sama ada dalaman atau luaran.  Unsur dalaman adalah hati atau tabiat manusia agar bencikan maksiat.  Manakala unsur luaran ialah sesuatu yang boleh mencetuskan keinginan untuk melakukan maksiat seperti pergaulan bebas.

Firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab, ayat 59 bermaksud: “Wahai Nabi!  Katakanlah kepada isteri-isteri kamu, puteri-puteri kamu dan kepada wanita-wanita beriman, hendaklah mereka menutup kepala sehingga menutup dada mereka.  Semoga dengan itu mereka mudah dikenali (bahawa mereka wanita-wanita mulia) supaya tidak akan diganggu (oleh lelaki tidak sopan).”

Ayat itu menjelaskan menutup aurat dapat mengelak wanita daripada diganggu oleh lelaki.  Ini termasuk dalam konsep pencegahan.

Pencegahan khas pula satu bentuk hukuman apabila individu telah melakukan kesalahan seperti dikenakan hukuman penjara.  Hukuman itu diharapkan dapat menghalang mereka terus melakukan perbuatan salah.

Firman Allah SWT bermaksud: “Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, maka deralah tiap-tiap seseorang dari kedua-duanya seratus kali dan janganlah belas kasihan kepada kedua-duanya sehingga mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah dan hari kiamat, dan hendaklah (perlaksanaannya) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan dari orang beriman.” (Surah an-Nur, ayat 2)

Hukuman terhadap pelaku kesalahan ini diharapkan menjadi pengajaran dan keinsafan agar tidak mengulanginya. Manakala hukuman yang dilakukan di hadapan orang ramai diharap dapat memberi pengajaran agar tidak terpengaruh melakukan perbuatan itu.

Memberikan ganti rugi.  Kaedah ganti rugi adalah sebagai ganti kepada hukum yang sepatutnya dikenakan. Contohnya, kesalahan menyebabkan kerosakan harta benda digantikan dengan bayaran wang oleh pelakunya.  Adalah merugikan jika kesalahan itu dihukum melalui harta pesalah pula dirosakkan.  Maka, kaedah ganti rugi lebih sesuai dan mengelak kerugian lain.

Pelaku kesalahan perlu bertanggungjawab terhadap kerugian yang ditanggung oleh pihak lain akibat perbuatannya sama sengaja atau tidak.  Fiman Allah SWT bermaksud: "Tiap diri bertanggungjawb atas apa yang telah diperbuatnya." (Surah al-Muddatstsir, ayat 38).

Perasaan tanggunjawab dapat melatih kita lebih berhati-hati dan sedar kesan yang perlu ditanggung atas setiap perbuatan yang dilakukan.  Jadi, ia dapat mengelak individu melakukan kesalahan kerana kesannya dia yang perlu membayar ganti rugi.

Hukuman dalam bentuk ganti rugi juga dapat difahami melalui firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 178 bermaksud: "Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh) maka hendaklah (orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan si pembunuh pula hendaklah menunaikan (bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu serta satu rahmat kemudahan. Sesudah itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya azab siksa yang tidak terperi sakitnya."

Jelaslah, hukuman ganti adalah satu keringanan daripad Allah SWT.  Malah, Islam menegah orang melakukan balas dengan berlebihan yang bakal mencetuskan masalah lebih besar akibat dendam dan marah. Sifat memaafkan lebih utama diamalkan dalam Islam.  Sebenarnya, hukuman ganti rugi termasuk dalam kategori pencegahan khas.

Melakukan pemulihan.  Pemulihan dilakukan terhadap penjenayah yang telah dijatuhi hukuman bertujuan menyedarkan mereka kesalahan yang telah dilakukan. Pemulihan itu juga diharapkan dapat memberi kefahaman kepada mereka bahawa hukuman itu sebenarnya memberi kebaikan untuk mereka agar tidak terus melakukan perbuatan dosa yang mungkin memberi kesan buruk kepada diri sendiri. 

Di samping itu tujuan pemulihan juga diharapkan dapat menyedarkan masyarakat agar dapat menerima kembali pesalah dalam masyarakat.  Pesalah telah menerima hukuman dan itu telah memadai untuknya.  Tidak perlu lagi masyarakat memulau mereka yang boleh dianggap satu lagi bentuk hukuman.   

Terdapat empat peringkat pemulihan dilakukan. 

Pertama, menyedarkan penjenayah akan kesalahan telah dilakukan agar mereka tidak mengulanginya. Ini kerana tidak dinafikan terdapat pesalah sebenarnya tidak sedar bahawa apa yang mereka lakukan itu satu jenayah.  Ini terutama berkaitan jenayah tidak mematuhi berkaitan ibadat wajib. Contoh dalam soal berpuasa.  Banyak orang tidak berpuasa, tetapi banyak yang tidak menggantikannya atau membayar kifarat atau disebut juga denda. 

Firman Allah SWT bermaksud: “(Puasa Yang Diwajibkan itu ialah beberapa hari Yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu Yang sakit, atau Dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari Yang dibuka) itu pada hari-hari Yang lain; dan wajib atas orang-orang Yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar Fidyah Iaitu memberi makan orang miskin. maka sesiapa Yang Dengan sukarela memberikan (bayaran Fidyah) lebih dari Yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (Walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi Fidyah), kalau kamu mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 184)

Kedua ialah kesalahan dilakukan tidak dihebohkan kepada umum bagi mengelak salah faham atau penghinaan terhadap pesalah. Hukuman yang dikenakan sudah dianggap balasan setimpal.  Maka tidak wajar mereka ditambah hukuman dengan diaibkan kepada orang ramai.  Seungguhnya, Islam menyuruh agar kita menutup aib orang lain.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri dan janganlah kamu panggil memanggil dengan gelaran yang buruk.  Seburuk-buruk panggilan ialah yang buruk sesudah beriman, dan sesiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang yang zalim.” - (Surah al-Hujurat, ayat 11).

Ketiga ialah memberi kesedaran kepada penjenayah agar bertaubat.  Sesungguhnya manusia tidak sunyi melakukan dosa.  Pun, Allah SWT memberi peluang kepada manusia bertaubat untuk menghapuskan dosa.

Firman Allah SWT dalam surah az-Zumar, ayat 53 bermaksud: “Katakanlah, wahai hamba-hamba-Ku yang pernah melakukan perbuatan melampaui batas ke atas diri mereka, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, sesungguhnya Allah mengampuni keseluruhan dosa dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun dan Maha Penerima taubat.”   

Keempat ialah hukuman yang mana perlaksanaannya bukan bertujuan mendera atau menganiaya.  Islam bersifat toleransi dan mementingkan sikap kemanusiaan.  Berbuat baik adalah satu perintah yang jelas sepertimana Firman Allah SWT bermaksud: "Sesungguhnya Allah memerintahkan (kamu) berlaku adil dan berbuat ehsan." (Surah an-Nahl, ayat 90)

Tujuan ukhrawi. Ia bermaksud faedah diterima penjenayah akibat hukuman itu ketika hayatnya di dunia.  Dengan kata lain, ada manfaat dan keuntungan bagi sesiapa dikenakan hukuman di dunia ini.  Pun begitu, ulama berselisih pendapat tentang perkara ini.

Imam Syafie berpendapat hukuman itu satu kifarat di dunia dan dosa dilakukan terhapus yang mana tiada lagi hukuman di akhirat. Dengan kata lain, dosa itu terhapus di dunia apabila telah menerima hukuman di dunia ini.  Hujah ini bersandarkan kepada hadis bermaksud: "Manaka kau tahu mungkin (hukuman) hudud itu diturunkan sebagai kifarat kepada dosa."   

Manakala Abu Hanifah berpendapat sebaliknya.  Hukuman di dunia tidak melepaskan seeorang daripada menerima hukuman di akhirat.  Beliau berhujah dengan firman Allah SWT bermaksud: "Yang demikian itu satu penghinaan untuk mereka di dunia dan di akhirat mereka mendapat seksaan yang besar."

No comments:

Post a Comment