Monday 16 January 2017

Puasa sunat bulan Rejab

Rejab bulan ketujuh dalam kalendar Hijrah. Di negara kita, apabila masuk bulan Rejab, maka banyak orang memperkatakan tentang fadilat melakukan ibadat dalam bulan Rejab, terutama berpuasa sunat. 

Dibacakan hadis menceritakan fadilat puasa pada Rejab. Contohnya ada riwayat menyatakan berpuasa satu hari pada Rejab ganjaran pahalanya menyamai puasa 40 tahun dan diberikan syurga paling tinggi.

Jika berpuasa dua hari, pahalanya dilipat gandakan, manakala amalan pahala pada 27 Rejab sama dengan pahala 40 bulan. Kalau dibuat pula sedekah pada hari berkenaan, pahalanya menyamai 1,000 tahun. Begitulah seterusnya.

Adakah benar ada maksud hadis sedemikian? Kalangan ulama hadis mengkategorikan hadis fadilat Rejab ialah dhaif, sangat dhaif dan maudhuk (palsu).

Setelah mengetahui ia hadis palsu, tidak perlu lagi kita meneruskan amalan berdasarkan kepada hadis palsu itu.

Bagi mereka ingin meneruskan amalan berpuasa pada bulan Rejab, tiada halangan, namun bukan kerana terpengaruh dengan hadis palsu.

Dalam amalan berpuasa, ada hadis sahih menerangkan puasa sunat. Contohnya puasa tiga hari setiap bulan. Hadis ini ada dalam riwayat Imam Muslim. Antara amalan Nabi Muhammad SAW ialah berpuasa pada Isnin dan Khamis seperti riwayat Imam Muslim. Begitu juga puasa pada hari putih iaitu 13, 14 dan 15 setiap bulan seperti diriwayatkan Sunan Abi Daud.

Oleh itu, berpuasalah pada Isnin dan Khamis. Juga berpuasa pada 13, 14 dan 15 Rejab. Dalam puasa sunat ini pun, bilangannya sudah 10 hari.

Bagi yang sudah lama beramal dengan fadilat Rejab, namun kini mungkin diyakininya hadisnya tidak sahih, jangan bersedih. Amalan baik yang dibuat insya-Allah tidak akan sia-sia.

Hendaklah disedari bahawa Allah SWT itu sifat-Nya Maha Pengampun. Rahmat Allah SWT meliputi segala sesuatu. Sudah tentu hasil jerih seseorang insan beribadat sekadar kemampuan yang ada akan diganjari.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak mensia-siakan pahala golongan yang berbuat baik.” (Surah at-Taubah: 120). .

Justeru, hadis-hadis palsu mengenai Rejab ini hendaklah dihentikan dari disebarkan ke dalam masyarakat. Kita perlu kembali kepada agama yang tulen.

Agama kita rujukannya ialah al-Quran dan al-sunah yang dipastikan kesabitannya mengikut yang diputuskan oleh para ulama hadis.

Kata al-Syeikh Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah (seorang ulama hadis al-Azhar): “Masih ada para penceramah yang tidak ada ilmu hadis, sama ada ilmu riwayat atau dirayah (mengenai teks hadis).”

Mereka hanya membaca hadis apa yang mereka hafal dan dari tulisan-tulisan tanpa mengetahui kedudukan hadis tersebut.

Apa yang mereka pentingkan hanyalah reda orang ramai. Lalu mereka menyebut perkara yang berlebih-lebih, pelik dan ajaib yang Islam tiada kaitan dengannya.

Mereka ini sepatutnya dihalang dari berceramah, memberi nasihat dan bertazkirah. (Abu Syahbah, al-Wasit fi ‘Ulum wa al-Mustalah al-Hadis, m.s. 322, cetakan: Dar al-Fikr al-‘Arabi, Kaherah).

Islam tidak pernah memberi kuasa kepada golongan agama, atau sesiapa sahaja untuk mendakwa apa yang dia suka kemudian menyandarkannya kepada agama.

No comments:

Post a Comment