Monday 16 January 2017

Kecemerlangan ilmu bina tamadun

Umat Islam pernah mencapai tamadun tertinggi pada zaman pemerintahan Kerajaan Abbasiyah (750 - 1258) yang berpusat di Baghdad.  

Kecemerlangan tradisi keilmuan Islam telah melahirkan ahli ilmuan yang menyumbangkan jasa kepada seluruh dunia Islam dan terus dikagumi hingga sekarang.

Nama seperti al-Kindi, al-Farabi, Ibn Sina, al-Khawarizmi, al-Razi, al-Fatah, Ibn Rusyd dan al-Biruni terkenal dengan pertemuan dan penciptaan baru. Hasil usaha ilmuan Islam menjadi asas kepada perkembangan ilmu di Barat yang terus cemerlang sehingga sekarang. 

Ketika umat Islam telah mencapai kecemerlangan ilmu yang paling hebat, masyarakat Barat masih diselimuti kejahilan dan jauh ketinggalan berbanding orang Islam dalam bidang Ilmu.  

Pelajar dari kawasan Eropah banyak tertumpu di bandar-bandar ilmu seperti di Cadrova, Baghdad dan Damsyik.

Barat ketika itu berada dalam fasa era Zaman Pembaharuan yang begitu aktif untuk meninggalkan sepenuhnya Zaman Kelam.  

Sebab itu, pelajarnya sanggup menggembara mencari ilmu walaupun di daerah yang cukup asing bagi mereka dari segi agama, bahasa dan budaya.

Ilmuan Eropah telah mengambil inisiatif besar menterjemah malah mempelajari pelbagai jenis ilmu dari dunia Islam di Cardova, Baghdad dan Damsyik. Ilmu-ilmu yang diterjemah itu merangkumi pelbagai bidang seperti falsafah, perubatan, astronomi, matematik, algebra dan sebagainya.

Berbekalkan kepada kemahiran yang diperoleh dari dunia Islam, membawanya ke negara masing-masing dan tertubuhnya banyak universiti di sana seperti Universiti Paris dan Universiti Oxford yang cukup terkenal sehingga sekarang.

Ilmuan Barat menambah baik penemuan dalam ilmu-ilmu yang mulanya diterokai oleh sarjana Islam. Tambahan lagi, di dunia Islam sendiri ilmu itu tidak lagi dapat dikembangkan apabila Baghdad jatuh kepada bangsa Tartar.  

Banyak sarjana Islam terbunuh dalam penaklukan ganas itu. Manakala buku dan karya agung sarjana Islam di bakar dan dibuang ke dalam sungai. 

Sarjana Barat yang terlibat meneruskan kajian berdasarkan kepada kajian atau penemuan awal sarjana Islam telah mengubah alam Barat kepada dunia keilmuan dan masyarakat lebih bertamadun.  

Hasilnya sarjana Barat lebih disanjung apabila mencapai tahap dan penemuan baru yang dianggap hasil usaha asal mereka. 

Umat Islam dapat kembali menguasai tamadun dunia jika seluruh umat Islam kembali kepada ajaran agama yang menekankan kepada usaha pencarian ilmu.  

Ilmu sentiasa berkembang dan ditingkatkan kepentingannya. Sesiapa dapat menceburi bidang baru, dia akan mendapat manfaat untuk dikongsikan dengan orang lain.  

Dengan kata lain, dunia ilmu semakin diterokai, maka lebih banyak manfaatnya. Tidak akan ada sempadan ilmu yang menghadkan peluang untuk orang mengkajinya.  

Sebab itu, tidak ada istilah telah terlewat dalam pengkajian ilmu. Seseorang pengkaji dianggap lebih berwibawa apabila dapat menemui sesuatu yang baru.

Memulihkan tradisi keilmuan dan bersatu memperjuangkan kepentingan seluruh umat Islam merupakan senjata paling ampuh menaikkan kembali maruah Islam.

Kedudukan umat Islam jauh ketinggalan berbanding agama lain. Hal ini berpunca kurang bilangan ilmuan Islam dan juga dari segi kekuatan ekonomi. 

Kita perlu merebut peluang dijanjkan Allah SWT dalam meningkatkan kedudukan dengan menggunakan ilmu. 

Firman Allah SWT dalam surah al-Mujadalah ayat 11 bermaksud: “Allah meninggikan darjat orang-orang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.”

Kepentingan mencipta kecemerlangan pelbagai bidang merupakan satu jihad atau dilakukan bersungguh-sungguh kerana Allah SWT. Tanpa semangat jihad, umat Islam tidak dapat menandingi keupayaan pihak lain. 

Amat malang sekarang ini umat Islam lebih banyak bergaduh sesama sendiri berbanding cuba meningkat ilmu.  

Manusia tanpa kekuatan ilmu lebih mengharapkan kepada kekuatan 'keras kepala' untuk menegakkan sesuatu perkara. Mereka terus berpegang kepada sesuatu perkara walaupun telah lapuk dan tidak lagi releven dengan keperluan semasa.

Sebab itu, kita perlu melahirkan lebih banyak bijak pandai Islam dalam pelbagai bidang. Kewujudan institusi pengajian tinggi di negara kita perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk melahirkan ilmuan Islam.

No comments:

Post a Comment