Monday 16 January 2017

Dasar buku negara

Dasar Buku Negara yang diperkenalkan pada 1985 bagi menggariskan pendekatan menyeluruh membudayakan amalan membaca di kalangan rakyat di negara ini perlu dinilai semula.

Perkara berkenaan perlu dilakukan supaya dasar itu dapat dimantapkan, selaras dengan tahap literasi masyarakat Malaysia yang sudah meningkat ketika ini.

Mengikut perangkaan Jabatan Statistik Negara 2008, kadar literasi rakyat Malaysia pada kelompok umur 15 tahun ke atas ialah 93.2 peratus.  

Data itu menunjukkan Malaysia berada dalam kalangan negara Asia Tenggara yang mempunyai kadar literasi tinggi walaupun ia masih berada di belakang negara maju seperti Jepun, United Kingdom, Amerika Syarikat (AS), Australia dan Jerman mencatatkan kadar literasi 99 peratus.   

Kadar literasi rakyat Malaysia tidak signifikan dengan amalan dan tabiat membaca kerana ia masih rendah dan rakyat hanya membaca bahan terpilih saja.  

Bagi kumpulan umur 10 tahun dan ke atas, daripada 85 peratus rakyat yang membaca, 77 peratus hanya membaca akhbar, manakala tiga peratus membaca majalah, tiga peratus lagi membaca buku dan 1.6 peratus membaca komik.  

Jika dibandingkan dengan AS, 53 peratus rakyat negara itu membaca buku fiksyen dan 43 peratus membaca buku bukan fiksyen. Perbandingan jelas menunjukkan bahawa rakyat negara ini masih cenderung membaca bahan ringan berbanding rakyat negara maju yang lebih gemarkan bahan bacaan dalam bentuk buku.  

Usaha mengembangkan budaya membaca di kalangan rakyat negara ini mesti dilihat sebagai satu agenda nasional bersepadu dengan proses pembinaan negara, bangsa dan pembangunan modal insan bukannya menjadi tanggungjawab Kementerian Pelajaran semata-mata.

Industri penerbitan buku tempatan disaran mengangkat pengkaryaan ke tahap lebih tinggi dengan menggunakan kreativiti dan inovatif. Ini dapat dilakukan jika pelabur baru dalam perusahaan buku, terutama penerbitan, meneroka pasaran baru di luar negara khususnya penerbitan buku remaja dan kanak-kanak.  

Selepas 29 tahun dilaksanakan dan pelbagai perubahan berlaku dalam bidang pendidikan, memang sudah tiba waktunya Dasar Buku Negara dinilai semula.

Dasar itu tentunya memerlukan suntikan baru selaras dengan kehadiran teknologi maklumat yang terlalu pantas kini, bagi memastikan matlamat untuk membudayakan amalan membaca di kalangan rakyat mengikut tuntutan semasa.

Dalam tempoh berkenaan, terlalu banyak perubahan berlaku terutama ledakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang turut mempengaruhi budaya membaca.

Walaupun kadar literasi di negara ini tinggi, budaya membaca di kalangan penduduk masih pada tahap rendah dan tidak membanggakan. Malah kajian turut mendapati golongan menengah lebih gemar membaca bahan bacaan ringan berbentuk fiksyen berbanding buku yang bermutu tinggi.

Pola pembacaan masyarakat bawahan juga tidak banyak berubah apabila mereka masih terikat kepada bahan bacaan picisan dan menggemari cerita tahyul yang tidak membawa kepada perubahan minda.

Justeru, kita berharap Kementerian Pelajaran dapat merangka pelan baru lebih menyeluruh supaya perubahan Dasar Buku Negara dapat memberi impak kepada perkembangan minda masyarakat.

Ini penting bagi membolehkan budaya membaca terus meningkat di kalangan masyarakat, di tengah-tengah revolusi ICT terutama cabaran digital sekarang yang menyebabkan ramai tidak mempedulikan buku lagi.

Kajian juga mendapati budaya membaca masyarakat Barat yang selama ini menjadi kebanggaan mereka semakin merosot terutama di kalangan generasi muda yang terdedah kepada ICT.

Jika masyarakat Barat yang ketagih dengan bahan bacaan boleh bimbang terhadap budaya membaca generasi mudanya, masyarakat kita langsung tidak memberi perhatian kepada budaya membaca apalagi menyediakan perpustakaan di rumah.

Kecenderungan sebahagian kita menawarkan apa saja bahan bacaan yang diminati masyarakat terutama hal-hal picisan dan tidak membangunkan minda turut dikesali. 

Kita sepatutnya mengubah sikap sedemikian bukan mengambil kesempatan menambahkan lagi rasa tidak peduli masyarakat terhadap bahan bacaan bermutu.

Memang sukar untuk mengubah minda masyarakat supaya menjadikan membaca buku satu budaya, terutama melawan pengaruh televisyen dan perkakasan digital yang boleh mengalihkan tumpuan daripada buku.

Namun, ia tidak harus mematikan semangat kita untuk terus mencari pendekatan terbaik mengubah minda masyarakat supaya menjadi penggemar buku dan penilaian ke atas Dasar Buku Negara adalah permulaan ke arah itu. 

No comments:

Post a Comment