Sunday, 15 January 2017

HADIS TUNJUK CARA LAKU IBADAT

PENGENALAN MENGENAI SUNAH ATAU HADIS  
           
Sunah bermaksud jalan.  Ia juga bererti "peraturan sesuatu amalan yang dilakukan berulang kali."  Di dalam istilah syarak, sunah atau hadis bermaksud 'sesuatu yang terbit dari Nabi Muhammad SAW selain dari al-Quran, sama ada perkataan, perbuatan atau perakuan." 

Imam Ibn Hajar mendefinisikan hadis sebagai: "Sunah ialah apa-apa yang disandarkan kepada Rasulullah SAW" Manakala Ali al-Qari dalam Syarh Nukhbah al-Fikir telah mentakrifkan hadis sebagai "Apa yang disandarkan kepada Nabi SAW daripada perkataan, perbuatan, taqrir, gerak dan diam, sama ada semasa jaga atau tidur."

Biarpun terdapat perbezaan definisi diberikan pakar hadis, hakikatnya ia membawa kepada maksud yang sama dalam menjelaskan mengenai sunah atau hadis.
           
Sesuai kedudukan Nabi Muhammad SAW sebagai pembawa rahmat dan pemimpin ulung, setiap apa yang dilakukan oleh baginda sentiasa diperhati dan dicontohi oleh para sahabat. Pakar sejarah menyatakan tidak ada manusia di dunia ini yang mana setiap apa yang dilakukan, dicakap maupun ketika diamnya diperhati oleh orang lain untuk dijadikan ikutan.

Kenyakinan penuh yang tidak berbelah bahagi para sahabat bahawa Nabi Muhammad SAW adalah utusan Allah SWT yang membawa rahmat dan kesejahteraan hidup manusia di dunia dan akhirat  menjadikan mereka tidak mahu terlepas satupun apa yang dilakukan oleh baginda untuk diikuti.

Hal ini bertepatan dengan perintah Allah SWT seperti mana tercatat dalam al-Quran surah al-Hasyr ayat 7 yang bermaksud: "Apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah serta amalkan dan apa yang dilarangnya bagimu tinggalkannya."

Sunah berkait rapat dengan Rasulullah SAW.  Malah, Rasulullah SAW dipertanggungjawab oleh Allah SWT sebagai penjelas atau pentafsir kepada al-Quran.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nahal, ayat 44 yang bermaksud: "Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) al-Quran supaya kamu menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka."

Kepentingan al-Quran dan sunah digabungkan bersama sebagai panduan umat Islam sehingga ke hari kiamat tidak dapat disangkal lagi. 

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Aku tinggalkan kepadamu dua perkara tidak akan sesat selama mana kamu berpegang dengan keduanya: Kitab Allah dan Sunnah Nabi-Nya." (Hadis riwayat Malik).

Sunah dibahagikan kepada bahagian berbeza.  Dari aspek hakikat, para ulama membahagikan sunah kepada tiga kategori.  Pertamanya, sunah qawliyyah, iaitu merujuk kepada ucapan Rasulullah. Contoh hadis kategori inilah ialah penjelasan Rasulullah SAW berkaitan niat.  Sabda Rasululla SAW  bermaksud: "Sesungguhnya (segala) amalan bergantung kepada niat." 

Kategori kedua ialah sunah filiyyah, yakni merujuk kepada perbuatan dilakukan oleh baginda seperti ketika menunaikan sembahyang, haji dan puasa.   Manakala sunnah taqaririyyah pula merujuk kepada perakuan atau persetujuan Rasulullah terhadap perbuatan sesetengah sahabatnya.  Contohnya Rasulullah melarang Abu Bakar daripada menghentikan persembahan hiburan pada satu majlis perkahwinan. 

Sementara itu, sunnah dibahagikan kepada dua kategori berbeza dari segi aspek jumlah perawi.  Hadis mutawatir adalah hadith sahih yang diriwayat di setiap peringkat oleh sekumpulan ramai perawi yang mustahil
pada akal dan adat, mereka berpakat untuk berdusta dari awal sanad hingga ke akhirnya.         

Hadis Ahad pula adalah hadis yang tidak memenuhi syarat hadis mutawatir.  Satu lagi tingkat hadis ialah Gharib yang mana hadis itu hanya diriwayatkan oleh seorang perawi dalam seluruh sanadnya atau sesetengahnya.

Dari segi kekuatan dan kelemahan, hadis dibahagi kepada dua iaitu diterima dan ditolak.  Di antara jenis hadis yang diterima ialah hadis sahih.  Satu lagi hadis ialah hadis daif, yakni yang tidak memenuhi sifat-sifat hadis yang diterima. 

Manakala satu lagi jenis hadis ialah hadis mawdhu, yakni yang direka atau diadakan-adakan terhadap Rasulullah. Pada hakikatnya, hadis mawdhu sebenarnya bukanlah hadis kerana ia bukan daripada Rasulullah.  Namun, ia tetap dinamai 'hadis mawdhu' sebagai satu kategori untuk dijadikan peringatan kepada umat Islam agar tidak keliru dan dikelirukan.  Ia tidak boleh diterima atau digunakan untuk apa tujuan sekalipun berkaitan hukum.

Contoh hadis mawdhu ialah: "Sesiapa yang memandu seorang buta sejauh 40 langkah, Allah akan memperuntukkan kepadanya syurga."  Ungkapan itu sebenarnya dicipta oleh Muhammad bin Abd Malik yang cacat penglihatan, untuk kepentingan peribadinya.

PERANAN SUNAH BERSAMA AL-QURAN DALAM MENERANGKAN HUKUM.

Para ulama membahagikan kepada enam cara yang berbeza untuk menjelaskan kaedah peranan sunnah dalam menerangkan hukum dalam al-Quran.

Memperkuatkan dan memperkukuhkan hukum yang ada dalam al-Quran.  Biarpun hujah dan hukum dalam telah kuat dan tidak diragui, namun adalah lebih elok lagi jika ada 'pengukuhan' dari sunah.  Ia secara tidak langsung menunjukkan betapa perkara itu penting.  Contohnya, pengharaman mengambil harta secara batil yang terdapat di dalam ayat 29 surah an-Nisa, diperjelaskan pula oleh hadis yang bermaksud: "tiada halal harta seseorang Muslim itu melainkan dengan keredaan dan persetujuan daripadanya."

Menjelaskan hukum yang umum.  Dalam al-Quran memerintahkan agar orang Islam menunaikan sembahyang, haji dan sebagainya, tetapi tidak dijelaskan bagaimana cara melaksanakannya.  Maka itu, sunahlah yang mejelaskan atau menunjukkan bagaimana ibadat itu perlu dilaksanakan. 

Apa yang ditunjukkan oleh Rasulullah adalah lengkap dan dijadikan rukun dalam melaksanakan ibadat-ibadat berkenaan.  Tanpa pertunjukan praktikal oleh Rasulullah, akan wujud pelbagai tafsiran apa yang perlu dilakukan. Keadaan itu akan menyebabkan kecelaruan dalam praktikalnya.  Tetapi, dengan adanya hadith, kita dapat melihat seluruh umat Islam melakukan perkara yang sama untuk maksud dan tujuan ibadat yang sama. 

Mengkhususkan hukum am.  Banyak ayat al-Quran menjelaskan sesuatu secara umum atau am yang sukar difahami.  Contohnya ayat berkaitan pengharaman memakan bangkai di dalam surah al-Maidah, ayat 3.  Sedangkan hakikat yang diamalkan umat Islam ialah bangkai hidupan laut dapat dimakan seperti ikan.  Ini berdasarkan hadis yang bermaksud: "Laut itu suci airnya, halal bangkainya." Tentunya kita diharamkan makan bangkai hidupan laut jika tanpa adanya hadis.

Mentaqyidkan hukum yang mutlak.  Terdapat hukum mutlaq dalam al-Quran yang memerlukan taqyid dari Rasulullah. Contohnya berkaitan hukuman potong tangan terhadap pencuri. Hukum itu jelas bahawa hukuman terhadap pencuri adalah potong tangan, tetapi tidak dijelaskan di bahagian mana atau setakat mana.  Maka dijelaskan Rasulullah bahawa hukum itu dilaksanakan dengan memotong di bahagian pergelangan tangan.    

Menerangkan pemusnahan ayat-ayat al-Quran.  Sunnah adalah sumber menerangkan pemusnahan hukum yang telah berlaku sesama ayat-ayat al-Quran atau ia sendiri (sunah mutawatirah) berperanan memansuhkan sesetengah hukum ayat al-Quran.  Contohnya dalam ayat 180 surah al-Baqarah Allah telah mengharuskan wasiat kepada ibu bapa dan kerabat sebelum mati.  Namun hukum itu telah dimansuhkan dengan hadis Rasulullah yang bermaksud: "Tiada wasiat bagi penerima harta pusaka."

Menyatakan hukum yang baru.  Sunah menjelaskan mengenai hukum yang tidak dijelaskan dalam al-Quran. Contoh hukum itu ialah berkaitan kewajipan menunaikan zakat fitrah. Tiada ayat al-Quran menyatakan tentang zakat fitrah.  Apa yang dijelaskan dalam al-Quran hanya terhadap kepada zakat berkaitan harta.

KEPENTINGAN MEMAHAMI KEAUTORITIAN SUNNAH.

Keautoritian sunah sebagai sumber hukum boleh difahami daripada ayat-ayat al-Quran, ijmak dan lojik.  Perkara ini jelas dan tidak ada keraguan mengenainya. 

Penegasan dalam al-Quran.  Dalam al-Quran terdapat ayat menyatakan tanggungjawab Nabi Muhammad SAW menjelaskan kepada manusia mengenai sesuatu perkara. Firman Allah SWT dalam surah an-Nahal, ayat 44 yang bermaksud: "Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) al-Quran supaya kamu menerangkan kepda umat manusia akan apa yang telah diturukan kepada mereka."

Firman Allah lagi yang bermaksud: "Apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah serta amalkan dan apa yang dilarangnya bagimu tinggalkanlah." (surah al-Hasyr, ayat 7).

Kedua-dua ayat itu menjelaskan tentang keautoritian sunnah,  Perakuan yang dijelaskan dalam al-Quran tidak boleh dipertikaikan. 

Seperti sedia maklum, perintah atau hukum dalam al-Quran tidak dijelaskan secara sepenuhnya, terutama dalam hal yang memerlukan perlakuan sebagai syaratnya.  Contohnya, dalam melaksanakan arahan menunaikan sembahyang. Hukum yang dinyatakan dalam al-Quran hanya menyebut mengenai perintah mengerjakan sembahyang, tidak lebih dari itu. 

Justeru, tanpa penjelasan daripada Nabi Muhammad bagaimana kita boleh melakukan sembahayang itu, dari pergerakan, bacaan, tempoh masa dan sebagainya.  Dengan kata lain, sesiapa yang bersembahayang seperti mana apa yang dilakukan sekarang, sebenarnya telah mengiktiraf sunnah sebagai sumber hukum.

Perhatikan pula ayat ke 3 surah al-Maidah yang bermaksud: "Diharamkan ka atas kamu bangkai dan darah."  Tanpa penjelasan dari Nabi Muhammad, tentulah kita tidak dapat makan hidupan air dan hidup kecil yang tidak dapat disembelih.  Namun, kekeliruan itu dijelaskan oleh Nabi Muhammad melalui hadith yang bermaksud: "Dihalalkan untuk kami ikan dan belalang."

Dengan kata lain, tanpa adanya hadith, sukar untuk melaksanakan apa yang tercatat dalam al-Quran.  Cuba kita bayangkan, bagaimanakah hendak memahami al-Quran jika tanpa bersandarkan kepada hadith yang menjelaskan perkara-perkara itu.

Dakwaan golongan anti hadis bahawa al-Quran telah lengkap, seperti mana firman Allah dalam surah al-Anam ayat 38 tidak boleh dijadikan hujah untuk menolak hadith. Maksud ayat itu; "Dan kami tidak alpakan sesuatu pun di dalam al-Kitab." Yang dimaksudkan tidak 'alpakan sesuatu pun' bermakna ajaran Islam lengkap dalam segenap aspek kehidupan, tetapi tidak pula 'lengkap' dalam menunjukkan secara praktikal. Pelaksanaan sesuatu ibadat mesti tepat dan betul.  Ia tidak boleh agak-agak.  Justeru itu perlu kepada orang yang diutuskan khusus, iaitu Nabi Muhammad untuk menunjukkan secara praktikal.   

Keistimewan peribadi Rasulullah. Nabi Muhammad diutuskan oleh Allah untuk menyeru manusia mentauhid-Nya dan menunjukkan panduan hidup yang sempurna. 
           
Firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 21 bermaksud: "Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat."

Nabi Muhammad tidak akan melakukan atau berkata-kata melainkan itu adalah perkara yang mendatangkan kebaikan yang diperinthkan oleh Allah.
Baginda tidak ada kepentingan peribadi atau untuk keluarga. Baginda bercakap perkara yang benar biarpun pahit untuk diungkapkan. 

Sifat mulia Rasulullah diamalkan sejak kecil lagi hingga meningkat remaja dan seterusnya diangkat menjadi pesuruh-Nya ketika usia menginjak 40 tahun.  Di kalangan orang kafir Quraiys mengiktiraf kejujuran Rasulullah dan digelar al-Amin.  Mereka menerima semua kata-kata atau ucapan Nabi Muhammad, kecuali berkaitan seruan agar meninggalkan agama asal mereka.

Maka, sesiapa yang menolak sunnah, sikap mereka tidak ubah seperti kafir Quraiys.  Mana mungkin kita hanya memilih al-Quran dan menolak sunnah, sedangkan jelas bahawa apa yang dilakukan oleh Rasulullah adalah sepertimana yang diperintahkan oleh Allah.
  
Perintah Allah agar mentaati Rasulullah.  Allah dengan jelas mengarahkan agar manusia mentaati dan menuruti arahan Rasulullah.  Arahan ini terkandung dalam firman-Nya yang bermaksud: "Katakanlah: Taati Allah dan Rasul, jika kamu berpaling sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang kafir." (Surah Ali Imran, ayat 32).
           
Perintah itu termasuk dalam segala hal, kerana tidak ada penjelasan bahawa yang perlu taat dan patuh itu hanya dalam soal-soal tertentu.  Jika ada pengecualian dalam mentaati Nabi Muhammad, maka sudah pasti ada ayat lain yang menjelaskan perkara itu. 

Sesungguhnya akhlak Nabi Muhammad adalah berpandukan al-Quran dan panduan secara langsung dari Allah.  Jadi, tidak mungkin Allah 'membenar' Nabi Muhammad melakukan sesuatu ikut sesuka hati saja.  

Bahkan dalam al-Quran dijelaskan teguran langsung Allah terhadap Nabi Muhammad dalam perkara tertentu.  Ini membuktikan betapa Allah
membimbing Nabi Muhmmad secara langsung dalam menentukan sesuatu perkara hukum.

Perjuangan golongan anti hadith hanya ingin menggunakan al-Quran sebagai sumber hukum sebenarnya terang-terang menolak 'hukum' yang telah diarahkan oleh Allah agar mentaati Rasulullah. Mereka tidak mentaati Nabi Muhammad, yakni tidak mahu menerima hadith, bermakna mereka tidak mengikut al-Quran. 

Penjelasan ijmak.  Ijmak bermaksud "persepakatan para ulama mujtahidin dari kalangan umat Islam pada bila-bila masa selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. atas sesuatu hukum syarak."

Para ulamak telah memutuskan perlunya hadith dalam menentukan dan menjelaskan soal hukum agama. Hukum agama akan 'tergantung' tidak ada panduan untuk dilakukan jika tidak ada hadith yang menjelaskan mengenainya.  

Sudah ijmak umat Islam sepanjang zaman merujuk kepada sunnah atas sifatnya sebagai sumber hukum syarak bersama al-Quran.  Ulama sepanjang zaman telah berpegang kepada kaedah ini.  Sedangkan gerakan anti hadith baru saja timbul. Dalam apa jua kaedah, keputusan banyak itu betul berbanding yang sedikit.   

Berdasarkan lojik.  Lojik akal tentu dapat menerima hakikat bahawa sunnah diperlukan dalam menjelaskan hukum. Cuba fikirkan, apa yang dapat dilakukan jika hanya berpandukan kepada al-Quran semata-mata.  Setiap perkara memerlukan kepada penjelasan dan penambahan maklumat untuk membolehkan sesuatu difahami dan diamalkan. 

Al-Quran tidak dapat berkata-kata atau menjelaskan sendiri sebarang permasalahan yang dihadapi.  Maka itu perlu ada orang yang arif atau diberi kuasa untuk menjelaskannya. Maka, Nabi Muhammad adalah orang yang dipertanggungjawabkan oleh Allah untuk melaksanakan tugas itu. 

Sebab itu, ayat-ayat al-Quran tidak lagi diturunkan selepas kewafatan Nabi Muhmmad kerana satu-satunya insan yang layak untuk menerima dan seterusnya menjelaskannya kepada manusia menganai sesuatu ayat itu hanyalah Rasulullah. 

Golongan anti hadis perlu menggunakan kebijaksanaan akal lojik dan membuat keputusan berpandukan kepada kebenaran. Golongan ini menunaikan sembahyang berdasarkan apa yang ditunjukkan oleh Rasulullah, bukan berpandukan al-Quran.  Al-Quran hanya menjelaskan hukum menyuruh menunaikan sembahyang.  

KESIMPULAN

Berdasarkan apa dibincangkan menunjukkan sunnah mempunyai peranan penting untuk menerangkan hukum kepada manusia.  Perlunya sunnah untuk tujuan itu bukan bermakna al-Quran tidak lengkap.  Umpama benda yang berpasang, tidak lengkap keupayaan sesuatu itu tanpa adanya pasangnya untuk membolehkan perlaksanaan peranannya.  Contohnya, sebelah kaki yang sempurna tidak dapat berjalan dengan baik jika tidak ada satu lagi kaki yang juga sempurna.

Biarpun hadis tidak ditulis pada zaman Rasulullah dan hanya dikumpulkan serta dibukukan selepas kewafatan baginda, keaslian atau ketepatan hadith tidak dapat diragui. 

Perawi dan pengumpul hadith melaksanakan tugas mereka dengan penuh teliti.  Mereka mengumpul dan menyaring hadith melibatkan disiplin yang tinggi.  Sebab itu, terdapt kategori hadith mutawatir dan ahad.  Serta kategori ketika iaitu hadith mawdhu, iaitu sesuatu yang direka-reka oleh pihak tertentu.

Alasan pihak anti hadis mengatakan mudah berlaku kesilapan atau ketinggalan dalam penulisan hadis, hanya satu andaian.  Pakar hadis telah melakukan tugas penuh teliti dan melalui proses ketetapan tertentu menentukan sama ada sesuatu bentuk hadis boleh diamalkan atau sebaliknya.

Jika kita mempelajari dan mengkaji bagaimana sesebuah hadis itu melalui proses ketat sebelum disahkan sebagai hadith sahih, kita pasti tidak akan menolak kebenaran hadis seperti dilakukan oleh golongan anti hadis.  Himpunan Sahih Bukhari sebanyak 7,563 adalah disaring dan dipilih serta diakui kesahihannya daripada jumlah asal kira-kira 600 ribu. Proses pengumpulannya mengambil masa kira-kira 16 tahun.

Justeru, sebagai muslim yang mengaku Nabi Muhammad itu Pesuruh-Nya, jangan kita ragu-ragu untuk berpegang pada hakikat bahawa sunnah adalah sebahagian sumber hukum Islam yang perlu diyakini. 

Para ulama sepakat mengatakan hadis sahih adalah wajib beramal dengannya dalam perkara akidah, ibadat, muamalat dan hukum hakam yang lain.   

No comments:

Post a Comment