Hadis palsu atau istilah hadisnya dikenali sebagai Hadith al-Maudhu. Hadis
palsu tidak layak dipanggil hadis. Namun, untuk menjelaskan ia adalah palsu, maka
dikatakan hadis palsu. Ia tidak sekali-kali disandarkan kepada Rasulullah SAW.
Hadis adalah apa diucapkan atau
dilakukan Rasulullah. Hadis dijadikan sumber hukum atau panduan orang Islam. Sekarang
ini mudah sangat dibuat penyebaran sesuatu tulisan, gambar mahupun video. Maka
ada yang gemar untuk salin dan tampal tanpa megetahui kebenaran perkara
berkenaan.
Antara yang gemar disalin dan ditampal
ialah berkaitan hadis yang menawarkan ganjaran besar kerana melakukan sesuatu
amalan. Maka itu ada-ada saja yang didakwa sebagai hadis dan disebarkan.
Di kalangan peniaga atau pengamal perubatan
pula sering menjadikan hadis palsu untuk melariskan perniagaan yang kononnya apa
yang dijual itu ada disebut kehebatannya di dalam hadis.
Soal hadis jangan diambil mudah untuk
disebarkan jika kita tidak tahu mengenai kebenaran atau kedudukan hadis
berkenaan. Tidak memadai untuk kita terlepas daripada kesalahan dengan hanya
membuat pengakuan bahawa itu hanya disalin dan ditampal dari group sebelah.
Nabi Muhammad saw bersabda, "Sesungguhnya pembohongan yang dilakukan
ke atasku adalah tidak sama dengan pembohongan yang dilakukan ke atas orang
lain. Sesiapa yang membuat pembohongan terhadapku dengan sengaja, maka
bersedialah dia dengan tempat duduknya di dalam api neraka." (Hadis sahih
direkod oleh Imam al-Bukhari).
Walaupun tidak berniat untuk melakukan pendustaan terhadap Rasulullah,
tetapi dengan tindakan menyebarkan hadis palsu sedangkan mereka sudah
dijelaskan kepalsuan hadis itu, mereka telah terjebak dalam melakukan
pendustaan terhadap Rasulullah saw.
Abu Hurairah melaporkan, Nabi Muhammad saw bersabda,
"Cukuplah seseorang itu sudah dianggap berdosa dengan dia menyebarkan
segala berita yang didengar tanpa disiasat terlebih dahulu." (Hadis sahih
direkod oleh Imam Muslim).
Maka itu, berhati-hati dalam melakukan penyebaran hadis kerana dibimbangi
tersalah sebar hadis palsu atau lebih tepat ia bukan hadis.
Imam
Ibn Hajar al-Asqalani meyatakan di dalam 'Nuzhah al-Nazar' bahawa
tanda-tanda hadis palsu boleh diperhatikan melalui keadaan atau kedudukan
perawi (sanad) dan juga isi kandungan periwayatan (matan).
No comments:
Post a Comment