Sunday, 26 March 2017

Berkenaan hadis kelebihan bulan Rejab

Rejab bulan ketujuh dalam kalendar Hijrah. Banyak orang menyangka Rejab bulan istimewa yang mempunyai banyak kelebihan. Sebenarnya tiada hadis sahih menyatakan kelebihan Rejab. Rejab cuma termasuk satu daripada empat bulan yang dilarang berperang padanya selain Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam.

Memang kita kerap mendengar ceramah agama dan penulisan mengenai kelebihan bulan Rejab. Malangnya, kebanyakan hadis itu berkisar sekitar daif, palsu atau tiada sandaran.

Antara hadis sering digunakan untuk menyatakan kelebihan bulan ini ialah: "Dalam syurga ada sebuah sungai yang bernama Rejab, airnya lebih putih daripada susu, lebih manis daripada madu. Sesiapa yang berpuasa dalam bulan Rejab, nescaya akan diberi minum air sungai itu."Hadis ini sebenarnya bertaraf daif.

Selain itu, hadis berbunyi: "Sesiapa yang berpuasa sehari dalam bulan Rejab, sama seperti ia berpuasa sebulan, sesiapa berpuasa tujuh hari nescaya ditutup daripada tujuh pintu neraka jahanam. Sesiapa berpuasa lapan hari, nescaya dibuka baginya lapan pintu syurga." - Taraf hadis ini juga daif.

Dalam pada itu ada hadis lagi yang berbunyi "Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku (Nabi Muhammad, Ramadan bulan umatku." Hadis ini munkar, malah ada sesetengah ulama mengatakan ia hadis palsu, tiada padanya nilai ilmiah yang boleh dipertanggungjawabkan.

Ibnu Hajar al-Asqalani telah berusaha mengumpul mengenai kelebihan Rejab dalam kitabnya, Tabyin al-'Ajaib bima warada fi fadl Rajab. Namun menurut beliau, tiada satu pun hadis sahih yang menyatakan mengenai kelebihan dan fadilat puasa pada Rejab.

Tanda daif atau palsu dalam hadis kelebihan Rejab ketara sekali, terutama apabila menjanjikan pahala yang terlalu besar bagi mereka yang berpuasa atau beribadat padanya. Ulama menyatakan, janji yang terlalu besar tidak sepadan dengan amalan yang dilakukan. Hal ini menunjukkan kemungkinan hadis itu dusta atau palsu.

Bagaimanapun, tiada hadis yang melarang umat Islam berpuasa pada Rejab. Oleh itu, hukum berpuasa sunat dalam bulan ini sama saja dengan berpuasa pada bulan lain, seperti puasa pada Isnin dan Khamis atau tiga hari dalam sebulan.

Sehubungan itu, penyebaran hadis daif dan palsu mengenai kelebihan Rejab ini hendaklah dihentikan agar jangan sampai masyarakat melakukan sesuatu amalan dengan harapan akan mendapat pahala, sedangkan dosa besar pula yang diperoleh akibat menyebar dan beramal dengan hadis palsu seperti ini.

No comments:

Post a Comment