Monday, 17 April 2017

HARAM KHIANAT PEMIMPIN

Pendirian dan sikap Ahli Sunnah wal-Jamaah menyatakan wajibnya taat kepada pemimpin, penguasa dan mereka yang menguruskan urusan kaum Muslimin. 

Haram mengkhianati mereka terutamanya dalam urusan zakat, jihad, memerangi kesesatan dan kekufuran. 

Wajib bersolat di belakang mereka dan di belakang orang-orang yang menjadi wakilnya di masjid-masjid yang telah disediakan oleh penguasa Islam. 

Amat keji perbuatan mereka yang menjadi pengacau, seperti menghasut rakyat untuk mengkhianati pemerintah.

Rasulullah SAW bersabda, "Akan berlaku selepas peninggalanku nanti para pemimpin yang tidak mengikut petunjukku, tidak mengikut sunahku dengan panduan sunahku. Akan muncul pula di kalangan kamu orang-orang yang hatinya adalah hati syaitan (fasik). Aku (Huzaifah) bertanya: Apakah harus aku lakukan jika aku menemuinya? Baginda bersabda: Hendaklah kamu mendengar dan taat kepada pemimpin walaupun dia memukul punggungmu dan merampas harta-bendamu". (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menunjukkan kepada kita pemimpin negara ini perlu ditaati walau apa sekali pun malah sejak merdeka sehingga hari ini, Islam dan ummah dapat berkembang dengan pesat dan wujud dasar-dasar yang berteraskan Islam walaupun tidak sepenuhnya kerana kita harus memahami negara ini bukannya milik umat Islam sahaja, sebahagian kecil daripadanya adalah milik penganut agama lain.  

Usaha menjatuhkan kerajaan kerap dilakukan oleh golongan yang tidak dapat mencapai sesuatu hasrat atau kehendak mereka tidak tertunai.  

Demi untuk mencapai cita-cita tertentu, mereka sanggup melakukan tindakan yang menyebabkan mudarat, kesengsaraan dan kerugian kepada orang lain. 

Keghairahan yang tidak mengenal betul dan salah, dilaksanakan dengan sokongan mereka yang taksub dan wala membabi buta.  Mereka sebenarnya menjadi barua dan broker melakukan kejahatan.  

Rakyat yang bijak pasti dapat membuat pilihan tepat untuk mengelak diri daripada terbabit sama dengan tindakan yang mencetuskan huru hara dalam negara.  

Pihak luar sentiasa bersimpati terhadap pihak tertentu dalam negara kita untuk alasan campur tangan dalam urusan negara.  

Pihak luar yang ingin menjatuhkan negara bersedia memberi dana dan khidmat nasihat serta sokongan moral kepada golongan tertentu di dalam negara kita. 

Allah SWT menjadikan hidup di dunia bukan sia-sia atau secara main-main tetapi ada tanggungjawab tertentu. Manusia diberi akal fikiran supaya tidak terikut-ikut dengan gaya menyalahi fitrah.

Allah SWT berfirman bermaksud: “Maka adakah patut kamu menyangka bahawa kami hanya menciptakan kamu sia-sia saja? Dan kamu tidak akan dikembalikan kepada kami? (Surah al-Mukminun, ayat 115)

Firman Allah SWT bermaksud: "Dan (ingatlah) sesungguhnya negeri akhirat lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, mengapa kamu (wahai manusia) tidak mahu memikirkannya?." (Surah Yusuf, ayat 109)

Sesungguhnya setiap perbuatan manusia, sama ada baik atau buruk tidak terkecuali biarpun satu, dicatat dan dikumpulkan oleh Allah SWT dengan perantaraan malaikatnya untuk dihitung dan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.  

Catatan itu tidak mungkin silap atau berlaku pilih kasih.  Malaikat Raqib di sebelah kiri mencatat amalan jahat sementara Malaikat Atid di sebelah kanan mencatat amalan baik.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sesungguhnya Allah mencatat amalan baik dan buruk manusia. Maka sesiapa yang berkeinginan untuk melakukan kebaikan namun tidak jadi melakukannya, akan ditulis untuk kebaikan sempurna. Dan sesiapa yang berkeinginan untuk melakukannya lalu ia benar-benar melakukannya, maka ditulis untuknya sepuluh kebaikan sehingga tujuh ratus kali ganda bahkan hingga tidak terbatas. Dan sesiapa yang berkeinginan untuk melakukan keburukan namun ia tidak jadi melakukannya, maka ditulis untuknya satu kebaikan. Namun jika ia keinginannya lalu benar-benar melakukannya, maka akan ditulis untuknya satu kejahatan." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Janganlah berangan ingin memasuki syurga Allah SWT jika gaya hidup dipenuhi kedurhakaan.  Kehidupan berdasarkan matlamat mencari kesenangan dan bersuka-ria akan menjauhkan diri daripada syurga.  

Golongan ini menyangka apa yang mereka lakukan itu dapat membawa kebahagiaan berkekalan.  Mereka tamak merebut semua perkara yang difikirkan dapat memberi kesenangan hidup di dunia tanpa memikirkan perkara itu halal atau haram. 


Firman Allah SWT bermaksud: "Dan sungguh, engkau (Muhammad) akan mendapati mereka (Orang-orang Yahudi), manusia yang paling tamak akan kehidupan (dunia), bahkan (lebih tamak) dari orang-orang musyrik. Masing-masing dari mereka, ingin diberi umur seribu tahun, padahal umur panjang itu tidak akan menjauhkan mereka dari azab. Dan Allah Maha melihat apa yang mereka kerjakan." (Surah al-Baqarah, ayat 96) 

No comments:

Post a Comment