Monday, 24 July 2017

MANCIS CAP LADA







Mancis Cap Lada atau 'gesek' sinonim dengan Kelantan Match Factory. Mancis Cap Lada terdapat di setiap rumah yang digunakan untuk menghidupkan api. Tahukah anda, Kilang Mancis Cap Lada di Kelantan merupakan kilang mancis paling lama dan tertua di Malaysia. Ia dibuka sejak tahun sebelum merdeka iaitu pada 1933 sehingga kini (2017).

Kilang Mancis Cap Lada yang terletak di alamat 4874- A, Jalan Atas Banggol, Kota Bharu, Kelantan atau lebih dikenali Sungai Keladi.  Kilang ini menjadi 'land mark' kepada kawasan ini yang dikenali kebanyakan orang Kota Bharu.

Kilang itu cukup terkenal dan berjasa menyediakan peluang pekerjaan khususnya kepada penduduk Kota Bharu. Orang Kelantan panggil mancis sebagai 'gesek'. Maka, ketika itu peluang bekerja di kilang gesek sudah dianggap hebat.

Kilang ini pada kemuncak kegemilangan pernah mengeluarkan kira-kira 2 juta kotak mancis sebulan dengan 300 orang pekerja yang bekerja dua shif. Namun pengeluran sekarang sekitar 200,000 kotak sahaja sebulan dengan pekerja 38 orang.

Penggunaan gesek kini semakin kurang disebabkan diganti pemetik api yang lebih mudah digunakan. 

Mancis jenis batang atau gesek semakin dilupakan biarpun masih ada permintaan terhadapnya. Generasi hari ini tentu sudah ramai tidak mengenali gesek. 

Di hujung batang mancis atau dipanggil kepala mancis terdapat belerang.

Terdapat dua jenis mancis iaitu mancis flaksible yang mana kepala anak mancis boleh digesekkan di mana-mana bahagian permukaan kasar untuk menghasilkan api.

Manakala mancis keselamatan pula hanya boleh digunakan apabila kepala mancis digesekkan kepada kertas belerang yang dilekatkan pada kotak mancis. Kilang Mancis Cap Lada hanya mengeluarkan mancis keselamatan.

Apabila digesekkan, akan terhasil api yang akan turut membakar batang mancis secara perlahan-lahan. Sebab itu, dalam dialek Kelantan, mancis jenis ini dipanggil 'gesek' manakala pemetik api menggunakan gas dan 'batu' pula dipanggil 'meceh'.

No comments:

Post a Comment