Wednesday 30 August 2017

Bendera lambang negara

Setiap negara merdeka dan berdaulat mempunyai bendera. Bendera menjadi lambang kemegahan setiap rakyat yang cintakan negara. Kita dapat mengenali sesebuah negara berdasarkan benderanya. 

Bendera dikaitkan dengan semangat dan kecintaan terhadap negara. Sebab itu, bendera atau panji-panji dibawa dalam peperangan pada zaman dahulu.  Bendera dibawa oleh tentera paling gagah dan berada di bahagian depan pertempuran.  

Jika sekiranya pembawa bendera maut atau tidak lagi mampu menjalankan tanggungjawab itu, maka cepat-cepat akan diambil oleh tentera lain.  

Ketiadaan bendera boleh dianggap bahawa pasukan itu telah kalah. Sebab itu, usaha menyelamatkan bendera daripada dirampas oleh musuh adalah sesuatu yang wajib dilakukan dalam pertempuran.

Malang sekali di kalangan rakyat yang tidak bertanggungjawab mengibarkan Jalur Gemilang ketika melakukan perkara tidak bermoral seperti menyertai lumba haram.

Tentulah sedih jika melihat Jalur Gemilang tidak dihormati. Contohnya apabila bendera dikibarkan dalam keadaan lusuh warnanya, malah ada yang telah koyak dan sukar dipanggil bendera.   

Jalur Gemilang dibiarkan di kedudukannya sepanjang masa tanpa diturunkan, termasuk waktu malam, hujan dan panas.  Sebab itu keadaan menjadi lusuh dan koyak.   

Sepatutnya, bendera dinaikkan pada waktu pagi dan diturunkan pada waktu malam.  Jika ada Jalur Gemilang terjatuh, tidak ada yang mengangkat kembali di tempat sepatutnya.

Surat Pekeliling Am Bil. 3 Tahun 1994 yang dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan menetapkan supaya bendera dikibarkan dan diturunkan di bangunan-bangunan kerajaan mengikut waktu pejabat biasa dan di sekolah-sekolah mengikut waktu kelas pertama dan menurunkan selepas kelas terakhir tamat.  

Manakala dalam tradisi tentera di negara kita, Jalur Gemilang dikibarkan mulai pukul 7.00 pagi dan diturunkan pada pukul 7.00 malam.

Menaikan bendara dan menurunkan bendera di kem tentera dilakukan dengan penuh istiadat dan menjadi rutin yang mesti dilaksanakan.

Jika terdapat banyak bendera, seperti bendera negara, bendera negeri dan bendera pasukan-pasukan lain, maka susunan bendera mesti diletakkan berdasarkan kepada kekanannya. Susunannya dapat menentukan negara atau negeri paling kanan dalam kedudukan berkenaan.

Susunan dan kedudukan bendera adalah bergantung kepada di mana bendera-bendera tersebut hendak dikibarkan atau dihamparkan.

Ia juga bergantung kepada sama ada majlis itu untuk Persekutuan atau Negeri. Susunan juga berbeza sama ada ia dikibarkan di bangunan agensi Persekutuan atau Negeri.

Pengibaran bendera separuh tiang dilakukan sebagai tanda berkabung atas peristiwa-peristiwa tertentu seperti kemangkatan Seri paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong; kemangkatan DYMM Raja-Raja dan DYMM Raja Permaisuri; TYT Yang di-Pertuan Negeri dan isteri-isteri; dan kematian pembesar-pembesar negara asing bagi menunjukkan rasa hormat dan simpati Malaysia kepada negara berkenaan.

Keputusan untuk mengibarkan bendera negeri dan Persekutuan pada separuh tiang adalah hak istimewa yang diberikan kepada ketua-ketua negeri dan negara.Marilah kita bersama-sama memberi penghormatan sewajarnya terhadap Jalur Gemilang.


No comments:

Post a Comment