Tuesday 31 October 2017

Sebab bertukar kerjaya

Kerjaya profesional seperti peguam, doktor, akauntant, arkitek dan sebagainya menjadi idaman pelajar. Kursus berkenaan di pusat pengajian tinggi mendapat permohonan tinggi.

Namun, realiti kerjaya itu bukan satu mengembirakan semua orang. Ada yang sudah berjawatan tinggi dalam kerjaya masing-masing, memilih untuk beralih kepada kerjaya lain. Kebanyakan mereka memberi alasan tidak tahan dengan tekanan kerja dan tidak bebas.

Mereka berani beralih kerjaya atau memilih kerja sampingan dengan harapan untuk memperoleh kehidupan yang lebih seimbang. Bagi mereka, masa bersama keluarga dan untuk diri sendiri perlu diseimbangkan dengan masa yang diperuntukkan untuk mencari pendapatan.

Mereka cuba mengubah tanggapan bahawa kejayaan dan ketenangan dalam kerjaya bukan ditentukan melalui gaji tetap bulanan hasil penggajian menjadi pejawat awam mahupun pekerja di syarikat swasta. 

Beralih menjadi agen insuran, perniagaan online, perunding kewangan, pemasaran pelbagai peringkat (MLM) dan ada memilih menjadi pemandu UBER yang dianggap lebih bebas dan tiada tekanan semakin mendapat tempat di kalangan mereka yang pernah menjadi profesional yang dipandang tinggi.

Apa pun langkah yang diambil, pastikan mendapat maklumat tepat mengenai kerjaya baru itu. Jangan pakai agak-agak dan ikut-ikut saja. Pastikan tidak membuat keputusan meninggalkan kerjaya asal hanya kerana terpengaruh melihat kejayaan orang lain. Setiap orang ada kemampuan dan peluang masing-masing.

Dalam banyak keadaan, mencuba secara sambilan adalah langkah bijak. Terus bekerja dengan tugas sedia ada, tetapi mula berjinak dengan peluang baru. Kebanyakan memang boleh dilakukan secara sambilan. Namun, perlu disedari jika melakukan dua kerja, kenalah bersabar dan sanggup melakukan kerja lebih.

Ambil pengalaman dan pastikan pendapatan kerjaya baru itu telah sampai satu tahap tertentu yang diyakini dapat terus meningkat dan lebih tinggi berbanding kerjaya sekarang pada masa hadapan.

Jika keadaan itu telah dipenuhi, baru ambil keputusan sama ada beralih kerjaya sepenuhnya atau kekal membuatnya secara sambilan.

No comments:

Post a Comment