Wednesday 1 November 2017

Kenapa lelaki ditegah mewarna rambut

Lelaki tua dilarang daripada mewarnakan rambut dengan warna hitam kerana ditakuti akan menjadi satu penipuan dari segi usia.  

Perkara ini dapat difahami berdasarkan kepada satu hadis di mana pada ketika Pembukaan atau Pembebasan Kota Makkah, Abu Bakar membawakan bapanya, Abu Quhaafah berjumpa dengan Rasulullah SAW.  Apabila melihat rambut Abu Quhaafah yang putih, lalu baginda bersabda bermaksud: ”Tukarlah ini, tetapi elakkan hitam.” (Fath al-Bari)

Sebaliknya, sekiranya seseorang itu tidak terlalu tua, tidak salah menggunakan pewarna hitam.  Dalam hal ini, az-Zuhri berkata: ”Kami mewarnakan rambut dengan warna hitam apabila masih kelihatan muda, tetapi meninggalkannya setelah muka berkedut dan tidak bergigi.” (Dicatat oleh Abu Asim dalam kitab ’Mewarna Rambut’)

Oleh itu, bagi lelaki yang sudah tua dan mempunyai uban hampir keseluruhan tidak boleh mewarnakan rambut dengan warna hitam. 

Untuk menggantikan warna hitam, warna yang sesuai ialah warna inai yang kekuningan. Warna hitam ini hanya dibolehkan semasa peperangan bagi menggambarkan bahawa tentera itu masih muda dan kuat.

Terdapat juga ulama yang menyatakan hukum mewarna itu makruh berdasarkan kisah Ibnu Masaud yang masih muda dan mempunyai uban yang bercampur dengan rambut hitam. 

Beliau tidak dibenarkan kerana usianya masih muda dan dengan perbuatan mewarna rambut untuk menutupi uban akan menyebabkan rambutnya bercampur warna antara kuning dengan hitam.

Begitu juga ada ulama yang menyatakan sunat iaitu berdasarkan hadis riwayat Bukhari yang bermaksud: “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak mewarna rambut, maka berbezalah dengan mereka.”

Orang-orang Yahudi dan Nasrani dikatakan tidak mewarnakan rambut mereka kerana beranggapan sebagai tabarruj dan perhiasan yang bertentangan dengan sifat warak serta soleh, yang tidak sesuai dengan para rabbi, pendeta dan golongan agama mereka.

Oleh sebab itu, Rasulullah SAW melarang daripada meniru cara dan amalan mereka ini agar orang Islam mempunyai ciri-ciri penampilan dan amalan tersendiri.

Maka, untuk membezakan dengan golongan ini, maka adalah sunat orang Islam mewarna rambut tetapi mengikut syarat yang ditetapkan.

Di samping itu, ada ulama menyatakan ia harus kerana ada di kalangan sahabat yang mewarna rambut dan sebaliknya. Justeru itu, penggunaan inai dan katam (sejenis tumbuhan yang digunakan sebagai bahan pewarna) digunakan untuk menutupi uban itu.

Penggunaan warna hitam untuk menutupi uban pada lelaki tidak digalakkan untuk yang sudah tua kerana wujud unsur penipuan umur.

Tetapi bagi yang berusia 30 tahun hingga 45 tahun yang berkahwin telah mempunyai uban dibolehkan menggunakan warna hitam dengan syarat untuk menjaga hubungan suami isteri.

Bagaimanapun setiap orang harus mengenali dirinya sendiri. Jika mewarnakan rambut itu bertujuan memungkinkan dirinya bersama-sama orang muda dalam gelanggang maksiat dan memuja nafsu,  pada hal usianya telah tiba untuk bertaubat, sebenarnya orang itu tidak sedar diri.   

Uban pada hakikatnya adalah penanda bahawa usia sudah tua dan memerlukan perubahan ke arah kebaikan kerana usia semakin tidak panjang.

No comments:

Post a Comment