Wednesday 25 October 2017

Sikap macam Pak Kadok mudah terpedaya perlu dielakkan

Jadikan kisah Pak Kaduk sebagai pengajaran. Cerita mengenai akibat kebodohan dan mudah terpedaya dengan tawaran pihak lain sehingga diri menanggung kerugian. 
 
Dongeng Pak Kadok berkisar kepada sikap orang berjudi sabung ayam sehingga kampung tergadai. Ayam sabung miliknya yang handal dan hebat ditukarkan dengan ayam sabung raja.

Kisah Pak Kaduk dicerita dalam versi secara jenaka, tetapi penuh pengajaran. Namun berapa ramai antara kita ingin mengambil pengajaran daripada kisah tersebut? 
 
Siapa lupa pada sejarah dan kisah pengajaran akan mengulangi kesalahan sama berulang kali dan mengalami kerugian besar.

Kisah Pak Kaduk antara lain, memberi isyarat tentang pentingnya akal dan kebijaksanaan dalam menjalani kehidupan. Jelas bahawa insan yang menggunakan akalnya dan dikurniai kebijaksanaan akan memperoleh manfaat yang besa. 
 
Firman Allah SWT bermaksud: "Dan sesiapa yang diberikan hikmah itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak." (Surah al-Baqarah ayat 269).

Mengapa tidak menggunakan kebijaksanaan akal untuk menentukan baik dan buruk. Tidak sukar untuk mengambil keputusan berdasarkan kepada apa yang telah dan sedang berlaku. Ambil pengajaran untuk halang perkara buruk sama berulang.

Banyak watak Pak Kaduk yang dapat disaksikan berada di sekeliling kita. Antaranya termasuklah individu yang sentiasa dimanipulasi orang lain akibat kejahilan diri sehingga tergadai milik serta kepentingan peribadi.

Hal inilah yang sering dapat dilihat berlaku. Lebih dibimbangi jika kelak ia membabitkan urusan yang jauh lebih besar dan penting seperti kepemimpinan negara. Misalnya jaminan Perlembagaan negara yang melindungi sebahagian besar kepentingan umat Islam.

Mengapa ada orang Islam masih menyokong bukan Islam semata-mata demi kuasa? Kuasa kepimpinan Islam di Malaysia bakal hancur jika bukan Islam lebih berkuasa di Parlimen. 
 
Memang perkara ini tidak terus berlaku, tetapi mengambil masa berperingkat-peringkat yang dirancang secara teliti pihak musuh.

Mereka menggunakan orang Islam sendiri untuk menghancurkan Islam. Seperti Pak Kadok, ayam miliknya ditukar dengan milik raja yang kemudiannya kalah dalam pertarungan. Kalau tidak terpengaruh dengan tawaran raja, sudah pasti yang menang itu adalah ayam Pak Kadok. 
 
Berhatilah dengan tawaran pihak musuh menggunakan kekuatan orang Islam untuk meruntuhkan kedudukan orang Islam.  
 
Kalau sudah runtuh, tidak ada ertinya lagi penyesalah. Kekalahan Kesultanan Melayu Melaka disebabkan sikap pemimpin Melayu Melaka sendiri yang terpengaruh dengan fitnah dan ingin mendapat kepentingan diri sendiri.

No comments:

Post a Comment