Wednesday 1 November 2017

Musuh ambil peluang

Mengapa sukar berlapang dada menerima perbezaan pendapat. Beza pendapat itu lumrah, tetapi bukan sampai berbalah dan bermusuhan. Perselisihan dan pertelingkahan dalam kalangan umat Islam hari ini amat merisaukan. Kita berbalah sama sendiri hingga diambil kesempatan musuh yang mengalahkan umat Islam dengan mudah.

Media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram menjadi bukti betapa ‘penyakit’ ini semakin membarah. Masa berkawan semua baik. Apabila berlainan aliran pemikiran, habis perkara buruk dibongkar dan disebarkan.

Benarlah sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa dalam kalangan kalian yang hidup selepas kewafatanku, maka pasti dia akan melihat perselisihan yang banyak,” (Riwayat Ahmad, no. 17144).

Amat menyedihkan apabila perbezaan pandangan tidak diuruskan dengan baik sehingga membawa kepada budaya keji mengeji, saling mengkafirkan dan menghina sedangkan pihak-pihak yang terlibat pada hakikatnya masih bernaung bawah satu lembayung syahadah yang sama.

Akibat beza pendapat, macam-macam gelaran dilabelkan. Bahasa kasar dan menghina dihamburkan keluar tanpa tapis. Macam sudah hilang iman di dalam diri.  Lupa dosa dan pahala. Terasa diri terlalu hebat sehingga semua orang tidak betul.  

Perbezaan pandangan wujud sejak zaman Rasulullah SAW dalam pelbagai isu. Misalnya semasa Perang Badar, mereka berbeza pandangan berkenaan kewajaran keluar ke Badar, juga isu hukuman yang perlu dikenakan kepada tahanan perang. Tidak pula kita terbaca pergaduhan dan pertelingkahan dalam kalangan para sahabat dalam hal ini.

Selepas kewafatan Rasulullah SAW, terlalu banyak rekod sejarah berkenaan perbezaan pandangan dalam kalangan para sahabat.

Antara yang terawal adalah pemilihan khalifah selepas Baginda. Selepas itu, berlaku perbezaan pandangan juga dalam hal memerangi golongan yang tidak membayar zakat, keperluan menghimpunkan al-Quran, berubahnya pendirian Sayidina Umar dalam masalah hukum bernikah dengan perempuan yang beridah dan lain-lain.

Namun, kedua-dua belah pihak tetap saling hormat-menghormati tanpa sedikit pun mengurangkan kasih sayang sesama mereka. Islam terus berkembang dan kuat pada waktu itu.

Kalau mengaku sebagai Islam, mengapa kita memutuskan silaturahim. Islam amat mementingkan persaudaraan. Sesama Islam adalah bersaudara.

Sabda Nabi SAW: “Muslim yang satu dengan Muslim yang lainnya adalah bersaudara. Tidak boleh menyakiti, merendahkan, ataupun menghinanya,” (Riwayat Muslim, no. 4,650).

No comments:

Post a Comment