Tuesday, 22 May 2018

KONSEP KETAATAN KEPADA ALLLAH

Konsep iman tidak hanya di mulut. Sebaliknya untuk menyempurnakannya memerlukan kepada perlaksanaan apa yang ditetapkan oleh syariat. Orang beriman mempunyai akidah yang kukuh pasti mentaati segala perintah Allah dengan ikhlas dan sebaik mungkin. 

Tidak dinafikan bahawa manusia tidak sunyi daripada melakukan perkara dosa. Ini tidak pula manusia tidak berpeluang menubus kembali kesilapan itu. Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang memberi peluang untuk sesiapa yang sedar kesilapan yang telah dilakukan agar bertaubat. 

Taubat ialah penyesalan yang sungguh-sungguh dan bertekad tidak mengulangi dosa tersebut. Mereka yang bertaubat menyatakan ikrar akan taat kepada perintah Allah.

Sebaliknya, mereka yang terus hanya melakukan dosa menyebabkan hidup semakin jauh dari rahmat Allah. Pelaku dosa tidak patut menyangka bahawa mereka akan terlepas daripada azab Allah di akhirat nanti, biarpun mungkin mereka terlepas pembalasan di dunia ini.

Firman Allah dalam surah al-Ankabut, ayat 4 yang bermaksud: "Bahkan patutkan orang yang melakukan kejahatan menyangka bahawa mereka akan terlepas daripada azab Kami?  Amatlah buruk apa yang mereka hukumkan itu."

Sangkaan bahawa dosa yang dilakukan tidak memberi apa-apa kesan atau pembalasan sebenarnya tidak munasabah pada akal waras, jauh sama sekali daripada prinsip keadilan, apatah lagi menepati syariat Islam yang mana menetapkan setiap perbuatan manusia di dunia ini akan mendapat pembalasan, biarpun sekecil mana kebaikan atau keburukan yang dilakukan.

Justeru itu, Islam menganjurkan umatnya sentiasa berpegang teguh pada ajaran agama dengan melaksanakan segala perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya. Dengan ini, barulah individu Muslim mendapat kedudukan istimewa di sisi Allah sebagai hamba-Nya yang bertakwa.

Allah berfirman yang bermaksud: "Dengan yang demikian, berpegang teguhlah kamu kepada al-Quran yang diwahyukan kepada kamu kerana sesungguhnya kamu berada di atas jalan yang lurus." (Surah al-Zukhruf, ayat 43)

Maka jelas, orang yang beriman tidak ada pilihan melainkan taat dalam melakukan syariat jika dia ingin kembali di sisi Allah di akhirat kelam dalam keadaan yang diredai. 

Firman Allah bermaksud: “Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati dengan segala nikmat yang diberikan, lagi diredai di sisi Tuhanmu.” (Surah al-Fajr, ayat 28).

No comments:

Post a Comment