Tuesday, 22 May 2018

BUDAYA BURUK BUANG SAMPAH

Kita berasa mual melihat sikap segelintir di kalangan rakyat kita yang tidak mengendahkan soal kebersihan. Sampah sarap dibuang merata-rata dengan alasan itu satu tindakan yang mudah dilakukan. Mereka tidak mahu bersusah sedikit untuk membuang sampah di tempat yang sepatutnya.

Ada segelintir masyarakat yang hanya mementingkan kebersihan di dalam dan laman rumah sendiri saja. Apabila berada di luar rumah, perbuatan buruk tidak mementingkan kebersihan pula yang diamalkan.

Perbuatan membuang sampah merata-rata amat bertentangan dengan sunnah Rasulullah. Rasulullah SAW amat mementingkan soal kebersihan dan menyatakan barang siapa membuang duri (sampah) di jalan, itu adalah sebahagian tanda keimanan.

Jadi, fikirkan pula bagaimana kedudukan mereka yang sengaja membuang sampah merata-rata. Apakah kita sudah merasa cukup beriman dengan hanya sekadar mengaku beriman sedangkan tingkahlaku menunjukkan sebaliknya.

Allah SWT amat murka kepada mereka yang hanya pandai berkata-kata mengenai kebaikan, tetapi tidak melakukannya. Mereka seperti mempermain-mainkan kebenaran, dan sebaliknya lebih suka melakukan perbuatan salah. 

Golongan yang tidak mematuhi cara hidup ditetapkan oleh Islam sebenarnya juga turut mengidap penyakit rohaninya. Mereka tidak dapat membezakan mana yang baik dan buruk. Sebab itu, masalah mengabaikan aspek kebersihan rohani dan jasmani semakin menular di kalangan masyarakat yang tidak mematuhi kehendak agama.

Sesungguhnya, wabak penyakit yang sering merebak di negara kita dapat diatasi atau dikawal sekiranya rakyat lebih mementingkan soal kebersihan. Kita perlu faham bahawa menjaga kebersihan jasmani juga sebahagian daripada amalan menjaga kebersihan rohani.

Orang yang kotor jasmaninya tidak akan sekali-kali bersih rohaninya. Rasulullah SAW sentiasa menjaga kebersihan jasmani sebagai lambang kepada kebersihan rohani. Sebagai umat Nabi Muhammad, wajar sekali kita melakukan sunah baginda dalam soal menjaga kebersihan dan mencegah sesuatu wabak penyakit.

Marilah kita mementingkan tindakan yang menjauhkan diri daripada bencana. Jika bencana itu masih berlaku, maka terimalah dengan penuh reda dan berusaha untuk mengubah kepada yang baik. 

Sesungguhnya, segala bencana, penyakit, kesusahan fizikal dan mental yang menimpa atau dialami seseorang yang menerima ketentuan itu dengan penuh reda adalah menjadi kaffarah (penghapus dosa).

No comments:

Post a Comment