Monday 20 August 2018

Melayu dihina akibat sikap pemimpin

Disebabkan tindakan atau kenyataan sesetengah pemimpin Melayu telah memberi 'bola tanggung' kepada orang lain untuk melakukan Malay bashing. 

Malay bashing bolehlah diertikan sebagai 'menggodam Melayu' atau 'menyerang, mencerca dan mengutuk Melayu.

Manakala 'memberi bola tanggung' adalah satu istilah dalam permainan sepak takraw atau badminton yang bermaksud memberi peluang mudah kepada lawan melakukan serangan (smashing) yang sukar ditangkis.

Perbuatan Malay bashing itu dilakukan secara terang-terang atau secara berselindung bukan sahaja oleh orang bukan Melayu, malah sesetengah orang Melayu sendiri. 

Kita perlu sedar akibat perbuatan bukan Melayu mengungkit-ungkit apa yang dianggap sebagai 'keistimewaan Melayu' dalam sistem politik dan pemerintahan negara.  

Turut digodam dan diserang ialah Dasar Ekonomi Baru yang mempunyai matlamat serampang dua mata "membasmi kemiskinan dan menyusum kembali masyarakat."

Secara berkias atau berterus terang perbuatan Malay bashing itu juga turut mempersoalkan beberapa peruntukan tertentu dalam Perlembagaan Negara. Juga dipersoalkan status bangsa Melayu sebagai penduduk asal negara ini.  

Antara perkara yang dipersoalkan ialah penggunaan istilah 'ketuanan Melayu' yang oleh sesetengah pihak telah diberi pengertian yang menyeleweng dan mengelirukan, apa lagi bila diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris dengan menggunakan istilah Malay supremacy atau Malay dominance atau Malay hegemony.

Penggunaan ungkapan-ungkapan Inggeris itu sebagai terjemahan untuk ungkapan 'ketuanan Melayu' telah menimbulkan kekeliruan di kalangan bukan Melayu yang mentafsirkannya (atau menyalah tafsirkannya?) dalam konteks hubungan 'tuan' dan 'hamba' atau lord vs serfs/ slaves.  

Lanjutan daripada takrifan yang menyeleweng itu, apa saja yang berlabel Melayu terus digodam dan diserang dan dituduh sebagai 'perkauman.' Ini termasuklah perjuangan politik Melayu, pemerkasaan bahasa Melayu, pembaikan ekonomi Melayu dan penggunaan simbol-simbol budaya Melayu seperti keris. 

Malah beberapa Perkara dalam Perlembagaan Malaysia yang dianggap 'memihak' kepada Melayu juga turut dipersoalkan secara langsung atau secara berkias.  

Demikianlah implikasi dari tafsiran yang salah itu diheboh-hebohkan untuk memberi justifikasi Malay bashing dengan melakukan pelbagai tuduhan yang tidak munasabah terhadap bangsa Melayu serta mengungkit-ungkit isu sensitif yang menimbulkan ketegangan hubungan kaum.

Terjemahan istilah 'ketuanan Melayu' itu ke dalam bahasa Inggeris yang menggambarkan bangsa Melayu itu sebagai racist yang seakan-akan menyamai puak pelampau Klu Klux Klan di Amerika Syarikat yang mengaku kaumnya sebagai sangat istimewa dan memandang rendah kepada bangsa atau kaum-kaum lain.  

Lanjutan daripada takrifan yang salah terhadap ungkapan 'ketuanan Melayu' itu beberapa pihak, termasuk pimpinan tertinggi negara terpaksa mencari ungkapan alternatif yang diperkirakan akan membawa maksud dan makna yang lebih tepat.

Semuanya secara tidak langsung mengingatkan supaya polemik ketuanan Melayu itu dianggap sebagai 'loceng peringatan' atau wake up call.  

Loceng peringatan itu memberi amaran bahawa musuh Melayu sekarang bukan sahaja hendak menggodam dan menyerang dari luar tetapi sudah semakin banyak musang berbulu ayam atau ular menyerupai belut yang hendak mematuk dari dalam.

No comments:

Post a Comment