Monday 20 August 2018

Formula membina Melayu menjadi kuat

Seluruh bangsa Melayu perlu sedar akan kepentingan bangsanya dan masa depan anak cucunya. Tiada ertinya ada kelompok Melayu mendapat kuasa, sedangkan majoriti nasib bangsanya menjadi lebih buruk. Kekayaan negara ini bukan untuk satu kelompok Melayu sahaja, tetapi seluruhnya bangsa Melayu, termasuk kaum lain dikongsi bersama.

Tidak patut timbul isu rasis apabila memperjuangkan kepentingan bangsa sendiri. Itu perkara semulajadi. Bangsa lain juga memperjuangkan kepentingan kaum mereka. Selagi perkara itu tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, maka perkara itu tidak boleh ditegah atau dihalang.

Bangsa Melayu perlu duduk berbincang untuk mencari formula terbaik menjadikan bangsa Melayu lebih berdaulat. Perkara ini pernah dilakukan pada 1946 ketika kuasa raja-raja Melayu ingin dirampas sepenuhya.

Mana-mana persetujuan atau keputusan perbincangan yang berkaitan mempertahankan ketuanan Melayu adalah sesuatu yang perlu disambut dengan semangat baru dan komitmen yang lebih jitu.

Ketuanan dan kedaulatan adalah sesuatu yang sangat berkait kerana bangsa yang berdaulat juga hendaklah benar-benar menjadi tuan di negaranya sendiri. Walaupun ada pihak termasuk orang Melayu sendiri kebelakangan ini mempersendakan makna ketuanan itu, ternyata banyak pihak yang masih jahil dan bebal dengan mentafsirkan ketuanan itu dengan mengandaikan Melayu ingin menjadi golongan yang angkuh sebagai tuan dan orang lain sebagai hamba.

Perumpamaan sempit ini seolah-olah menyamakan sikap angkuh orang kaya dengan miskin atau majikan dengan 'kuli' mereka. Amat sedih apabila ada di kalangan orang Melayu sendiri yang mempunyai pemikiran sempit sedemikian.

Justeru perhimpunan Melayu hendaklah serius mencari formula bagaimana bangsa Melayu terus diperkasa supaya ketuanan dan kedaulatan yang dimaksudkan sebenar dapat dicapai dan dilaksanakan dengan segera.

Ketuanan bererti menguasai segala aspek termasuk pemerintahan, ekonomi, pendidikan dan keselamatan bangsa. Namun begitu, segala tindakan tersebut adalah bersandarkan realiti bahawa Melayu di Malaysia perlu hidup aman dan harmoni dengan kaum-kaum lain iaitu kepentingan-kepentingan kaum mereka juga terpelihara.

Dalam hal ini, Melayu telah membuktikan kehebatannya menerajui sebuah negara yang berbilang kaum dengan nilai toleransi yang cukup besar terutama selepas peristiwa 13 Mei 1969.

Oleh itu, bangsa Melayu juga harus meyakinkan kaum lain bahawa mereka juga telah menikmati pelbagai faedah dan keuntungan yang berlipat kali ganda apabila hak-hak keistimewaan Melayu itu dilaksanakan.

Mungkin boleh difikirkan secara serius sebuah platform gabungan NGO yang menjadi majlis pemuafakatan dan hal ehwal kepentingan Melayu. Majlis ini berperanan untuk menjadi badan pemantau dan pendesak yang menjaga kepentingan, pengimbang dan penilai prestasi serta pencapaian orang Melayu.

Penglibatan institusi raja-raja Melayu, pemimpin politik pelbagai aliran dan tokoh-tokoh Melayu yang seimbang usia dan pemikiran mereka hendaklah disatukan dan dimanfaatkan.

No comments:

Post a Comment