Monday 13 August 2018

Reda kematian orang tersayang

Kematian iaitu berpisah nyawa daripada roh dan jasad adalah satu penghijrahan abadi dari alam dunia ke alam barzakh, iaitu satu penempatan yang dipenuhi dengan roh orang yang sudah meninggal dunia dan sedang menunggu untuk dibangkitkan semula dan berkumpul di Padang Mahsyar.

Di situlah nanti perhitungan akan dilakukan untuk menentukan kehidupan yang kekal, yang tiada akhirnya lagi. Setiap Muslim perlu memahami bahawa kematian adalah sesuatu yang pasti, malah setiap kejadian di muka bumi ini akan musnah apabila tiba masanya. Tidak ada apa yang kekal di dunia melainkan Yang Maha Pencipta kerana Dialah yang berkuasa atas segala-galanya.

Allah SWT berfirman dalam Surah Ali Imraan, ayat 185 yang bermaksud: “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati.”

Tangisan bukanlah luar biasa untuk menzahirkan kesedihan, malah itulah yang sedikit sebanyak meredakan kepiluan tetapi umat Islam tidak boleh meratapi kematian.

Diriwayatkan daripada Anas bahawa apabila Rasulullah SAW melihat Ibrahim, putera kesayangan baginda menghembuskan nafas yang terakhir, air mata Rasulullah mengalir deras. 

Lalu Abdurrahman bin Auf pun bertanya: “Mengapa engkau menangis wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Wahai Ibnu Auf, ia adalah air mata rahmat”. 

Kemudian Rasulullah SAW menyambung: “Sesungguhnya mata itu dapat menitiskan air, hati dapat bersedih dan kami tidak mengatakan sesuatu kecuali yang diredai oleh Allah. Kami sangat bersedih kerana berpisah denganmu wahai Ibrahim (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).”  

Sering kali apabila mengetahui mengenai sesuatu kematian, kita akan menziarahi keluarga si mati dan sudah tentulah kita mendoakan agar roh si mati dicucuri rahmat, keluarga dan kaum kerabatnya dilimpahi pahala yang berganda serta digantikan dukacita itu dengan sebaik-baik hiburan. 

Antara ucapan yang sering diucapkan ialah “mudah-mudahan Allah Taala membalas kepadamu dengan pahala yang berganda-ganda dan diperelokkan dukacita dengan sebaik-baik hiburan serta diampunkan akan si mati daripada keluarga kamu.”  

Perlu diingatkan bahawa meratapi dan menangisi kematian secara keterlaluan seperti tidak meredai apa yang ditakdirkan Allah SWT adalah satu perlakuan orang jahiliah dan diharamkan dalam Islam. 

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Dari Abdullah katanya: Telah bersabda Nabi SAW: “Tidak termasuk golongan kami orang yang memukul-mukul pipi, mengoyak-ngoyak baju dan berteriak-teriak seperti berteriaknya orang jahiliah.” (Hadis riwayat Bukhari).

Tidak sia-sia orang yang turut berkongsi duka dan mengucapkan takziah kepada keluarga si mati kerana Allah SWT turut memberi ganjaran sama seperti orang yang sedang bersedih kerana kehilangan ahli keluarga.

Yang lebih baik, ucaplah takziah kepada keluarga simati. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Telah bersabda Rasulullah SAW: Siapa yang mengucapkan takziah kepada orang yang ditimpa musibah, maka dia memperoleh pahala seperti pahala orang yang mendapat musibah.” (Hadis riwayat Ibnu Majah).

Orang yang bersabar menghadapi kematian adalah orang yang sentiasa berada di bawah perlindungan Allah. 

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah, ayat 156 yang bermaksud: “Orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”

No comments:

Post a Comment