Saturday 18 August 2018

Sabar ada batasan

Sikap sabar dan tertib dalam melakukan sesuatu usaha penting untuk mencapai kejayaan. Seperti menaiki anak tangga, ia perlu dilakukan dari bawah satu persatu secara berperingkat-peringkat. Sirah Rasulullah SAW menunjukkan bagaimana sikap sabar dan istiqamah dalam melaksanakan tugas menyebarkan Islam. Rasulullah SAW terpaksa menempuh kesukaran dan cabaran besar tanpa berputus asa dan jemu.   

Setiap perkara dilakukan mengikut sunnatullah. Sebab itu Rasulullah SAW sanggup berdepan dengan cabaran sebelum mencapai apa yang dihajati biarpun baginda boleh memohon terus kepada Allah SWT untuk jalan mudah. Allah SWT tentu akan memperkenankan doa Rasulullah SAW sesuai kedudukannya sebagai kekasih Allah SWT.

Perkara ini dapat difahami melalui satu kisah Rasulullah SAW menolak permintaan Khabbab bin Al-Art agar memohon kemenangan segera bagi Islam. Kata Khabbab kepada Rasulullah SAW: “Mengapa engkau tidak mendoakan untuk kita Ya Rasulullah? Mengapa engkau tidak meminta kemenangan untuk kita?"

Lantaran itu, Nabi dengan muka yang merah terus duduk untuk menenangkan perasaan marah lalu bersabda: "Sesungguhnya orang-orang sebelum kamu telah disisir dengan sikat besi sehingga tergelupas daging dari tulang dan dibelah dua dengan gergaji, tetapi tidak memalingkan mereka dari agamanya. Demi Allah, ia akan memberi kemenangan kepada agama ini, sehingga orang yang berjalan dari Sanaa ke Hadral Maut tidak takut melainkan Allah, dan juga tidak takut serigala menerkam kambingnya, tetapi kamu minta disegerakan! (Hadis riwayat Bukhari).

Kita memang digalakkan berdoa memohon kepada Allah SWT, di samping berusaha dan bertawakkal. Apa yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW adalah kita perlu berusah untuk mendapat keredaan Allah SWT biarpun terpaksa berdepan dengan ujian amat besar. 

Setiap perkara dilakukan demi menegakkan agama mendapat pembalasan setimpal biarpun tidak membuahkan hasil seperti diharapkan. Allah SWT menilai berdasarkan niat dan keikhlasan melakukan sesuatu, bukannya berdasarkan apa yang mampu dihasilkan.  

Firman Allah SWT bermaksud: "Allah maha berkuasa atas segala sesuatu, Dialah yang mentakdirkan adanya kematian dan kehidupan untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu; siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya." - (Surah al-Mulk, ayat 1-2)  

Mereka berjihad di jalan Allah SWT perlu bersabar dalam menempuh apa juga cabaran. Sikap terburu-buru akan menimbulkan banyak kesan buruk. Jiwa yang tidak tenang mudah dipesongkan oleh syaitan. Sikap sabar, istiqamah dan bijaksana mesti diamalkan ketika berdepan dengan kepayahan dan halangan. 

Umat Islam perlu mengelak daripada sikap gopoh serta ekstrem apabila berdepan provokasi musuh-musuh Islam. Disebabkan tidak sabar menyebabkan kita tidak mampu mendepani provokasi musuh-musuh Islam. Kita bertindak membabi buta hingga memperlihatkan sifat tidak matang. Bibit-bibit kejayaan hancur disebabkan tidak ada kesabaran.

Rasulullah SAW sentiasa berpesan kepada para sahabat agar bersabar dan mendidik mereka supaya memahami fitrah perjuangan yang tidak diberikan kemenangan secara percuma dan sebelum tiba masanya. Allah SWT sentiasa bersama-sama dengan orang sabar.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 214 yang bermaksud: "Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan dan ujian) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam dugaan) sehingga berkata Rasul dan orang-orang beriman bersamanya: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat."

Jika sesuatu usaha tidak mencapai kejayaan seperti diharapkan, bukan bermakna tidak ada satu pun kebaikan diperoleh. Sepanjang usaha itu tentunya telah berjaya mengubah dari keadaan tidak baik kepada baik dan yang baik menjadi lebih baik. 

Kita perlu bersyukur dengan apa yang Allah SWT tetapkan kerana tentunya mempunyai hikmah tersembunyai. Kegagalan tidak seharusnya merenjatkan usaha yang telah dilakukan selama ini. Malah tidak patut sekali-kali kita mengorbankan prinsip perjuangan semata-mata ingin berjaya dengan cepat. 

Ingatlah, kejayaan yang dicapai tidak memberi apa-apa makna jika kesan sebenarnya adalah keburukan. Jangan jadi seperti kata pepatah, menang sorak kampung tergadai.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan supaya kamu jangan terlalu berduka cita terhadap apa yang hilang daripada kamu dan janganlah kamu terlalu gembira apabila mendapat sesuatu nikmat." -  (Surah al-Hadid, ayat 23)

Bersabar dan terus berusaha adalah erti sebenar perjuangan. Allah SWT sentiasa menguji hambaNya untuk menilai tahap keimanan dan ketakwaan. Sesuatu usaha yang tidak mencapai kejayaan bukan bermakna ditolak pahala kebaikan. Begitu juga tidak bermakna kejayaan itu tanda usaha itu diredai Allah SWT.

Yakinlah, sesuatu perkara itu tidak akan disegerakan kejayaannya sebelum cukup tempoh waktu yang telah ditentukan baginya. Apa yang perlu dilakukan ialah bersabar dan teruskan usaha. Jangan mengambil jalan pintas yang mengundang banyak keburukan. Sikap terburu-buru mengikut hawa nafsu membawa kepada kebinasaan.

Ingatlah firman Allah SWT yang bermaksud: "Andaikata kebenaran itu menurut hawa nafsu mereka, pasti binasalah langit dan bumi ini."- (Surah al-Mukminun, ayat 71)

No comments:

Post a Comment