Tuesday 18 September 2018

TUJUAN DAN KEBAIKAN MELANCONG

Melancong bermaksud melawat dan melihat tempat lain. Melancong tidak semestikan melawat tempat di luar negara saja. Melawat atau ziarah sanak saudara di dalam negara juga termasuk dalam erti melancong.

Islam sebenarnya telah lama memperkatakan tentang aktiviti melancong dan menggembara. Galakkan itu bertujuan untuk mendapat banyak kebaikan daripadanya. Dalam al-Quran terdapat kalimah seperti sihu, yasiru, siru dan al-rihlah yang mempunyai maksud berkaitan dengan mengembara dan melancong. 

Orang beriman semakin bertambah imannya setiap kali melihat kejadian alam yang memperlihatkan kelainan. Terpancul dari mulut mereka kalimat seperti, Maha Suci Allah Yang Maha Pencipta.

Firman Allah bermaksud: “Kau tidak melihat sekali-kali pada ciptaan Tuhan yang Maha Pemurah, sesuatu yang tidak seimbang. Maka lihatlah berulang-ulang, adakah kamu lihat sesuatu yang tidak seimbang? - (Surah al-Mulk, ayat 3)

Pelancong seharusnya menggunakan kesempatan untuk mencari sesuatu yang baik sebagai tujuan agar dapat dilakukan atau ditiru di tempat sendiri. Islam menggalakkan agar mendapat sesuatu pengetahuan dan pengalaman di tempat lain yang kemudiannya dapat dimanfaatkan di tempat sendiri.

Mengembara juga harus digunakan untuk meluaskan peluang perniagaan. Nabi Muhammad pernah mengembara berniaga dari satu tempat ke satu tempat.  Apa yang dilakukan Rasulullah membuktikan bahawa untuk berjaya dalam perniagaan perlulah memperluaskan kawasan pasaran keseluruh dunia. Manusia memerlukan pelbagai keperluan, termasuk yang tidak ada di negara sendiri. Justeru, keperluan itu mesti diperoleh di tempat lain. Ini hanya dapat dilakukan dengan adanya perniagaan merentasi sempadan.   

Sejarah mencatatkan antara punca kejayaan pedagang Arab berjaya dalam bidang perniagaan ialah sikap suka mengembara memasarkan barang dagangan mereka. Pedagang Arab berniaga sehingga ke seluruh Nusantara dan Benua China. Melalui perdagangan jugalah agama Islam disebarkan.

Masyarakat Barat yang menjajah seluruh dunia dulu pun disebabkan ingin menguasai pedagangan dunia. Mereka menakluk dan menguasai perniagaan yang memberi keuntungan besar kepada negara mereka. Hasil kekayaan negara yang dijajah dikaut sepenuhnya oleh negara penjajah. Inilah nasib yang dialami oleh negara kita ketika dijajah oleh kuasa asing dulu. Negara kita dijajah selama 446 tahun bermula dengan jatuhnya Kesultanan Melayu Melaka di tangan Portugis pada tahun 1511 sehinggalah negara mencapai kemerdekaan daripada British pada tahun 1957.

Semasa melancong juga memberi kesempatan untuk kita melihat kehidupan masyarakat  yang berlaku di tempat orang yang masih dalam kemunduran. Bahkan, di sesetengah tempat sering berlaku perbalahan sesama sendiri. Masalah jenayah berlaku dengan berleluasa.

Apa yang dilihat itu dapat memberi pengajaran untuk melihat dalam diri sendiri. Kita akan merasa bersyukur dapat hidup di negara kita yang aman damai ini berbanding apa yang berlaku di negara lain. Perkara ini dijelaskan oleh Allah mengenai nasib golongan yang membelakangkan perintah-Nya. 

Firman Allah bermaksud: “Pergilah berjalan (mengembara) di muka bumi kemudian lihatlah bagaimana akibat orang yang mendustakan Allah.” - (Surah al-Anam, ayat 11)  Manakala firman Allah dalam surah an-Naml ayat 69 bermaksud: “Katakanlah: Jelajahilah muka bumi ini dan lihatlah bagaimana akibat (yang menimpa) orang-orang yang berdosa.”

Kita perlu insaf mempelajari setiap apa yang dapat dipelajari sepanjang pengembaraan. Allah memberi peringatan tentang setiap apa yang menimpa manusia adalah hasil kelalaian manusia mematuhi apa yang ditetapkan ajaran agama.    

Dengan kata lain, melancong adalah sebahagian daripada proses pembelajaran. Sebab itu kita sering mendengar pakej pelancongan sambil belajar atau sekarang ini ada yang menyebut belajar sambil melancong. Ini membuktikan tujuan mencari ilmu atau belajar lebih diutamakan dalam pakej melancong itu. 

Banyak orang berjaya dalam usaha yang dilakukan apabila mendapat pengalaman hasil daripada aktiviti belajar sambil melancong. Kita dapat membawa sesuatu yang baru untuk diamalkan di negara kita seperti mana kejayaan yang telah dicapai oleh rakyat di negara lain.

Walaupun melancong digalakkan, tetapi ada banyak perkara yang perlu diberi perhatian sebelum pergi melancong. Ditegah melancong jika akibatnya mendatangkan keburukan. Contohnya, individu yang amat diperlukan bagi berkhidmat kepada orang ramai tidak harus pergi melancong, melainkan ada pengganti yang mengambil alih tugasnya. 

Bagi seorang suami yang ingin melancong hendaklah memastikan isteri dan keluarga yang ditinggalkan dalam keadaan selamat dan mendapat saraan mencukupi sepanjang dia pergi melancong. Jika mampu lebih elok jika seisi keluarga turut menyertai sama. Cara itu dapat mengeratkan hubungan ahli keluarga dan memberi kebaikan yang berganda apabila masing-masing dapat berkongsi pengalaman. 

No comments:

Post a Comment