Monday 17 September 2018

TERAPI BATU BENTENG DI PANTAI SENOK

Di Pantai Senok menjadi muara Sungai Pengkalan Datu. Untuk memastikan muara sungai sentiasa dalam dan tidak musnahkan oleh proses hakisan, maka muara Sungai Pengkalan Datu dibuat benteng menggunakan batu besar. Sungai Pengkalan Datu menjadi pemisah antara Pantai Senak dengan Pulau Gajah.

Benteng batu yang dibina sekitar tahun 1990 itu menjadi kunjungan orang ramai untuk menjejak di atas batu-batu besar yang disusun rapi itu. Di hujung benteng terdapat rumah api untuk menjadi panduan kepada perahu masuk ke muara sungai pada waktu malam.  

Berjalan di atas batu besar yang di antara satu sama lain ada lubang besar dan tidak rata memberi satu cabaran kepada mereka yang ada perasaa gayat dan sukar berjalan di atas permukaan tidak rata. Keadaan itu dapat memberi 'latihan' dan cabaran minda kepada mereka, walaupun bagi orang lain mungkin boleh berlari di atas batu-batu itu.  

Bagi kaki pancing, batu-batu di benteng sebagai tempat duduk mencampakkan joran. Pantai Senok merupakan di antara tempat tumpuan kaki pancing, selain di Kuala Kemasin, Pantai Kemayang dan Tok Bali.

Sebenarnya, kunjungan ke Pantai Senok bukan semata-mata kerana batu-batu besarnya, tetapi sekarang ini daya penarik utama ialah barisan pokok rhu yang menghiasi kawasan dataran Pantai Senok.

Pantai Senok kini lebih dikenali dengan nama Pulau Nami, mengambil nama kawasan peranginan terkenal di Korea Selatan yang terkenal dengan keindahan pokok rhu. Kawasan pokok rhu sering dijadikan lokasi untuk pengambaran pasangan pengantin baru dan mereka yang inginkan panorama indah kawasan yang dianggap istimewa itu.

Pokok rhu yang ditanam Jabatan Perhutanan Kelantan sejak kira-kira 20 tahun lalu kini menjadi aset penting sebagai daya penarik pengunjung ke Pantai Senok sehingga kini lebih mengenai Pantai Senok sebagai Pulau Nami. Banyak orang yang diperkenalkan tempat itu dengan nama Pulau Nami tidak mengetahui bahawa nama kawasan peranginan itu adalah Pantai Senok.

Namun, biarpun pokok rhu menjadi daya penarik ke Pantai Senok, tidak kurang juga yang lebih memberi tumpuan untuk berada di atas batu-batu besar. Berjalan di atas batu besar dianggap sebagai terapi dan menyeronokkan.




No comments:

Post a Comment