Sunday 21 October 2018

Pemandu Teksi Akan Lumpuhkan KL Jika Tun M Enggan Letak Jawatan

Tun Dr. Mahathir Mohamad meluahkan hasrat mahu meletak jawatan Perdana Menteri pada majlis dialog bersama pemandu teksi di sebuah hotel di Langkawi pada 21 Okt 2018.

Perdana Menteri menyatakan hasratnya itu selepas kecewa dengan tindakan sekumpulan pemandu teksi bertindak keluar dewan pada majlis dialog itu.
Pemandu teksi tersebut keluar dewan tersebut selepas dipercayai mereka tidak berpuas hati dengan penjelasan Perdana Menteri mengenai isu perkhidmatan e-hailing membabitkan Grab.

"Saya akan letak jawatan kalau tak nak saya jadi Perdana Menteri. "Saya bukan nak jadi Perdana Menteri, saya dah bersara, dah orang panggil balik. Saya hari ni letak jawatan, tak ada masalah bagi saya," katanya.

Lanjutan peristiwa itu, warga media sosial pro Pakatan Harapan melemparkan pelbagai tomohan terhadap.

Ekoran kecaman itu pula, Jamil Mat Desa, Pengerusi Koperasi Pemandu Teksi Wilayah Persekutuan mengeluarkan kenyataan berikut: 

Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera.

Tuan-tuan, saudara dan saudari,

Hari ini Kerajaan Pakatan Harapan yang diperintah Tun Dr. Mahathir anggap kita pemandu teksi sebagai orang yang biadap. 

Tuan-tuan, di media sosial kini penyokong-penyokong Pakatan Harapan galak memberi pelbagai label untuk kita pemandu-pemandu teksi. 

Kita digelar orang yang busuk, gasar, kita orang yang biadap dan pemandu teksi dikatakan bodoh kerana tidak ikut pada arus perubahan teknologi. 

Tidak cukup kita dihina mereka memperlekehkan teksi kononnya tidak tahu teksi wujud sejak muncul sistem e-hailing seperti Grab, Uber.

Tanya diri tuan-tuan sendiri, adakah kita bodoh, biadap seperti mereka katakan?

Kita pemandu teksi sudah bertapak berpuluh tahun, di kalangan kita ada yang anak-anak sudah membesar dan berjaya melanjutkan pelajaran hasil titik peluh kita membawa teksi.

Tuan-tuan, bila penyokong Kerajaan galak memburuk-burukkan kita di media sosial lama-lama orang ramai tidak mahu guna perkhidmatan teksi.

Sedarlah ini bukan saja tabur pasir dalam periuk nasi tapi seolah-olah mahu merampas periuk nasi kita.

Kita ada persatuan, kita juga ada koperasi, bukan saja di KL tetapi di seluruh negara. 

Sampai bila kita pemandu teksi mahu berdiam diri dan membiarkan Kerajaan yang memerintah belum sampai setahun jagung ini memburukkan kita?

Kita akan lumpuhkan bandar Kuala Lumpur!

Kita bermula di Jalan Imbi, Jalan Bukit Bintang, Jalan Sultan Ismail hingga ke Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Tarikh dan masa akan diberitahu. Mohon tuan-tuan dan saudara semua panjangkan mesej buat kumpulan pemandu-pemandu teksi di KL.

Kita bukan mahu menyusahkan rakyat daripada jalani rutin harian tetapi kita mahu desak Kerajaan berunding dengan kita. 

Terima kasih.

Jamil Mat Desa
Pengerusi 
Koperasi Pemandu Teksi Wilayah Persekutuan

No comments:

Post a Comment