Wednesday 30 January 2019

KHASIAT BUAH KERDAS

Kerdas atau genuak (nama saintifiknya archidendron bubalinum) merupakan sejenis buah dari pokok kerdas yang sering dijadikan sebagai ulam serta dimakan bersama nasi. Pokok kerdas merupakan sejenis pokok berkayu, saka dan malar hijau.

Kulit kerdas agak keras dan liat serta mempunyai saiz memanjang dan isi di dalamnya berulas-ulas. Ulas isinya agak kecil di antara (10 mm-15 mm) dan ianya berkulit nipis sama seperti kulit isi jering.

Warna isinya bergantung kepada ketuaan buah ini jika sudah tua atau disimpan lama warnanya akan menjadi kehitaman dan jika isinya masih muda atau baru dipetik ianya bewarna kuning pucat (keputih-putihan).

Isi buah kerdas agak lembut walau pun sudah tua dan matang. Selain dijadikan ulaman, buah kerdas juga boleh dimasak sambal atau dibuat jeruk. Pucuk daun pokok kerdas juga ada yang memakannya sebagai ulaman.

Daun pokok kerdas ini bertekstur nipis dan lembut daun mudanya pula bewarna ungu.

Kerdas dijadikan sebagai ulam bagi menambah selera makan. Baunya agak kuat hingga melekat pada bau nafas selepas memakan ulam ini. 
 
Kerdas ini boleh bertahan lama jika disimpan bersama kulitnya. Bagi penduduk luar bandar mereka sering mencari pokok kerdas yang tumbuh meliar di dalam hutan.

Memakan buah kerdas juga akan menyebabkan bau yang kurang menyenangkan pada mulut dan urin kita. Ianya mengeluarkan bau yang agak kuat sama seperti ulam petai dan jering.
 
Buah kerdas matang tidak boleh dimakan mentah terlalu banyak sekali gus kerana ia mengandungi bahan kapur yang boleh menyekat saluran kencing dan akan menyebabkan pemakannya sukar membuang air kecil.

Buah kerdas mengandungi nilai herba yang boleh membersihkan buah pinggang, melawaskan kencing dan dapat mengurangkan risiko penyakit kencing manis. 
 
Ia juga dikaitkan dengan awet muda. Yang pentingnya amalan memakan buah kerdas sebagai ulaman dengan nasi panas menjadi pembuka selera semasa kita menghadapi hidangan.

Kerdas kaya vitamin A, vitamin B dan vitamin C selain daripada kandungan protein (3.5%), karbohiderat (1.7%), lemak (0.3%) dan pelbagai zat galian seperti P, Fe, Ca dan sebagainya. 
 
Kerdas juga didapati mengandungi bahan koloid yang membantu dalam melawaskan sistem perkumuhan terutama membantu dalam ransangan untuk kencing.

Terdapat dakwaan yang menyatakan buah kerdas membantu meneuteralkan kandungan gula dalam darah dan membantu dalam mengawal masaalah darah tinggi.

No comments:

Post a Comment