Tuesday 12 February 2019

JIRAN BAWA BERKAT


Amalan hidup berjiran dulu dan kini, amat berbeza. Budaya hidup berjiran tidak lagi diamalkan. Masyarakat hari ini mengabaikan hubungan dengan orang yang tinggal berdekatan. Islam amat mementingkan soal hubungan kejiranan.

Allah berfirman bermaksud: “Dan sembahlah Allah dan jangan kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun dan buatlah kebaikan untuk ibu bapa, anak yatim, orang miskin, jiran yang ada hubungan kekeluargaan, jiran tiada hubungan kekeluargaan, orang dalam perjalanan dan hamba sahaya. Sesungguhnya Allah tidak suka orang sombong dan bangga diri.” (Surah An-Nisa, ayat 36)

Hubungan kemasyarakatan kian renggang ada kaitan dengan sikap suka hidup tanpa gangguan. Kemewahan dikecapi menyebabkan individu merasakan tidak perlu bergantung kepada orang lain.

Aktiviti membudayakan semangat kejiranan kian berkurangan akibat peredaran zaman. Aktiviti bergotong-royong jarang diamalkan.

Apakah arus pemodenan menuntut masyarakat berkelakuan sedemikian, sedangkan dalam agama hidup berjiran adalah kewajipan perlu dipenuhi bagi menjamin kerukunan dan keharmonian hidup.

Selain tuntutan agama, kehidupan berjiran penting untuk negara kerana keutuhan dan kekuatan sesebuah negara boleh diukur melalui semangat kejiranan yang ada pada warganya. Lebih-lebih lagi Malaysia didiami pelbagai kaum memerlukan rakyat bersatu mewujudkan negara maju.

Justeru, sudah tiba masanya kita mengorak langkah menghidupkan semula semangat kejiranan demi keharmonian hidup dan kesepaduan masyarakat menjadi benteng kukuh kepada pertahanan negara.

No comments:

Post a Comment